Pernahkah anda memakai satu warna yang membuat wajah kelihatan segar dan berseri, tetapi apabila mencuba warna lain, wajah tiba-tiba kelihatan penat atau kusam?

Ketika analisis warna terus menjadi trend di wadah media sosial seperti TikTok, dengan sesetengah individu ke Korea Selatan untuk mengetahui palet warna paling sesuai untuk mereka, trend kecantikan ini terus mendapat perhatian dalam kalangan wanita yang ingin memahami gaya peribadi mereka.

Untuk melihat sendiri apakah sebenarnya yang berlaku semasa sesi analisis warna peribadi, Berita Harian (BH) menyertai sesi yang dikendalikan Cik Nora Anuar, daripada penyedia khidmat My Colour Edit.

Pada awalnya, penulis menganggap analisis warna sekadar proses mencuba warna berbeza untuk melihat mana yang paling cantik.

Namun menurut Cik Nora, 37 tahun, analisis warna sebenarnya melihat lebih daripada itu.

“Kalau anda lihat daripada Tiktok, anda mungkin fikir analisis warna hanya cara untuk padankan warna. Tetapi sebenarnya ada lebih banyak perkara di sebaliknya,” jelas beliau.

Sesi ‘draping’ membolehkan pelanggan melihat bagaimana warna berbeza boleh membuat wajah kelihatan lebih cerah, segar atau sebaliknya kusam.
Sesi ‘draping’ membolehkan pelanggan melihat bagaimana warna berbeza boleh membuat wajah kelihatan lebih cerah, segar atau sebaliknya kusam. - GRAFIK BH oleh HISYAM ABDUL RAHMAN

Dalam satu sesi analisis warna, antara perkara utama yang diperhatikan adalah undertone atau warna dasar kulit, warna mata, warna rambut dan ciri wajah seseorang.

Secara umum, warna kulit boleh dibahagikan kepada dua kategori – warna ‘hangat’ dan ‘dingin’.

Palet warna bermusim dibahagikan kepada empat kategori iaitu Musim Bunga, Musim Panas, Musim Luruh dan Musim Sejuk.
Palet warna bermusim dibahagikan kepada empat kategori iaitu Musim Bunga, Musim Panas, Musim Luruh dan Musim Sejuk. - GRAFIK BH oleh HISYAM ABDUL RAHMAN

Dalam palet warna mengikut tema musim, warna undertone hangat biasanya dikaitkan dengan musim bunga dan luruh, manakala warna dingin pula dikaitkan dengan musim panas dan sejuk.

Cik Nora Anuar (kiri) meletakkan helaian kain pelbagai warna berhampiran wajah penulis, Cik Humaira Safiya Mohd Helmi, bagi mengenal pasti palet warna yang paling sesuai menerusi sesi analisis warna peribadi.
Cik Nora Anuar (kiri) meletakkan helaian kain pelbagai warna berhampiran wajah penulis, Cik Humaira Safiya Mohd Helmi, bagi mengenal pasti palet warna yang paling sesuai menerusi sesi analisis warna peribadi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Cik Nora menjelaskan bahawa musim bunga dan luruh mempunyai warna lebih hangat.

Musim bunga boleh dikaitkan dengan warna cerah seperti bunga matahari dan mawar, sementara musim luruh pula dikaitkan dengan warna daun, coklat dan kekuningan.

Musim panas dan sejuk pula dikaitkan sebagai warna dingin.

Warna musim panas disifatkan sebagai lembut, seperti warna merah jambu sakura dan rona pastel, manakala warna musim sejuk lebih ‘berani’ dan kontras, seperti putih salji atau warna yang lebih ‘garang’.

Namun, dua orang yang mempunyai rona kulit hampir serupa tidak semestinya mempunyai palet warna yang sama.

Faktor seperti warna overtone atau permukaan kulit dan cara sesuatu warna memberi kesan pada wajah juga perlu dilihat.

Dalam sesi ‘draping’ yang penulis lalui, Cik Nora meletakkan beberapa helai kain berbeza warna berhampiran wajah.

Pada saat itu, penulis mula faham mengapakah warna boleh memberi kesan besar.

Ada warna yang membuat wajah kelihatan lebih segar, cerah dan seimbang. Ada pula yang membuat wajah tampak kusam, penat atau seolah-olah “tenggelam”.

Bagi wanita bertudung, kesan itu lebih ketara kerana tudung seakan ‘membingkai’ wajah dan berada paling dekat dengan kulit.

Menurut Cik Nora, wajah biasanya menjadi perkara yang diperhatikan pada penampilan pertama sekali gus membuat individu membuat tanggapan.

Oleh itu, warna tudung boleh mempengaruhi sama ada seseorang kelihatan lebih segar, yakin atau letih.

Antara salah faham biasa ialah menganggap warna hitam sesuai untuk semua orang.

Beliau berkata hitam tetap satu warna yang mempunyai kesan tersendiri.

Bagi mereka yang mempunyai ciri wajah lebih lembut, warna terlalu gelap boleh membuat wajah kelihatan lebih ‘berat’ atau penat.

Namun, analisis warna bukan bermakna seseorang perlu berhenti memakai warna kegemaran mereka.

Jika warna itu kurang sesuai dipakai dekat wajah, ia masih boleh digayakan pada bahagian lain seperti skirt, seluar, beg atau aksesori.

Bagi penulis, pengalaman itu menunjukkan bahawa warna bukan sekadar soal trend atau cita rasa.

Melalui sesi itu, penulis mendapati dirinya lebih sesuai dengan palet musim panas dan warna tudung seperti merah jambu, putih krim dan coklat.

Palet warna musim seperti musim bunga, panas, luruh dan sejuk membantu mengenal pasti warna yang paling sesuai mengikut warna dasar atau ‘undertone’ seseorang.
Palet warna musim seperti musim bunga, panas, luruh dan sejuk membantu mengenal pasti warna yang paling sesuai mengikut warna dasar atau ‘undertone’ seseorang. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Lebih daripada mencari warna yang cantik, analisis warna membantu seseorang memahami bagaimana warna boleh menyerlahkan keyakinan dan membuat mereka lebih selesa dengan gaya sendiri.

“Kalau anda lihat daripada Tiktok, anda mungkin fikir analisis warna hanya cara untuk padankan warna. Tetapi sebenarnya ada lebih banyak perkara di sebaliknya.”
Cik Nora Anuar, pengasas khidmat My Colour Edit.