Pada usia 44 tahun, diva pop, Beyonce akhirnya meraih anugerah Album Terbaik di Anugerah Grammy ke-67 buat julung-julung kalinya menerusi album country beliau, Cowboy Carter, pada 2 Februari di Arena Cryto.com, Los Angeles.
Walaupun sebelum ini Beyonce menjadi artis paling banyak menyandang anugerah dalam sejarah Grammy, beliau tidak pernah memenangi kategori yang berkedudukan tinggi dalam empat pencalonan beliau terdahulu.
Ditemani anak perempuannya, Blue Ivy Carter, 13 tahun, naik ke pentas untuk menerima anugerah tersebut, Beyonce berkata: “Saya berasa sangat teruja dan berbesar hati menerima penghargaan ini.
“Sudah bertahun-tahun lamanya saya menunggu saat ini dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Grammy serta penulis lagu dan penerbit atas semua kerja keras anda.”
Antara pesaing lain dalam kategori Album Terbaik termasuk New Blue Sun oleh André 3000, Short n’ Sweet oleh Sabrina Carpenter, Brat oleh Charli XCX, Djesse Vol. 4 oleh Jacob Collier, Hit Me Hard and Soft oleh Billie Eilish, The Rise and Fall of a Midwest Princess oleh Chappell Roan dan The Tortured Poets Department oleh Taylor Swift.
Anugerah Grammy ke-67 turut menandakan kali kelima Beyonce dicalonkan bagi Album Terbaik, menyusuli pencalonan bagi album lainnya seperti Renaissance (2023), Lemonade (2017), Beyonce (2015) dan I Am... Sasha Fierce (2010).
Pada 2025, beliau menerima 11 pencalonan secara keseluruhan termasuk Rakaman Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Country Terbaik.
Sementara itu, penyanyi rap, Kendrick Lamar, 37 tahun, memenangi anugerah Lagu dan Rakaman Terbaik bagi Not Like Us, menjadikan single hip-hop keduanya yang memenangi kategori tersebut selepas This Is America oleh Childish Gambino pada 2019.
Beliau turut menerima pencalonan kedua bagi anugerah Lagu Rap dan Persembahan Terbaik menerusi lagu, Like That, lapor The Straits Times.
Bagi anugerah Artis Baru Terbaik pula, penyanyi pop, Chappell Roan menjadi pemenang anugerah itu, mengatasi persaingan sengit Sabrina Carpenter dan Shaboozey.
Mengimbau perjuangannya dalam industri muzik Barat, Roan, 26 tahun menyeru industri rakaman untuk memberikan lebih banyak penghormatan dan perlindungan sosial kepada artis yang sedang berjuang mengetengahkan karya muzik mereka.
Sebagaimana jelasnya dalam ucapan sewaktu menerima anugerah Artis Baru Terbaik, Roan terpaksa mencari pekerjaan lain selepas kontraknya diberhentikan oleh syarikat rakamannya dek pandemik Covid-19 yang melanda Amerika Syarikat.
Chappell Roan atau nama sebenarnya Kayleigh Rose Amstutz menandatangani kontrak dengan Atlantic Records ketika berusia 17 tahun.
Namun, selepas diberhentikan syarikat tersebut pada 2020, Roan bekerja sebagai barista untuk menyara hidupnya.
Beliau kemudian membangkitkan semangatnya dengan melancarkan beberapa single seperti Pink Pony Club (2020) dan Naked in Manhattan (2022).
Roan kembali mendapat perhatian selepas pelancaran album sulungnya, The Rise and Fall of a Midwest Princess pada 2023.
Selain itu, hadirin Grammy turut menyumbang dana sebanyak AS$7 juta ($9.6 juta) demi menyalurkan bantuan kepada kebakaran hutan yang berlaku di Los Angeles.
Menurut hos acara, Trevor Noah, jumlah tersebut merupakan sumbangan penonton di rumah melalui imbasan kod QR yang dipaparkan semasa siaran berlangsung dan juga hadirin di Arena Cryto.com di Los Angeles.
Dana tersebut akan disalurkan kepada MusiCares, badan amal yang diasaskan The Recording Academy untuk membantu individu dalam industri muzik dengan menyediakan pelbagai sumber dan bantuan bencana. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg