Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sabrina Carpenter menang ‘Album Vokal Pop Terbaik’ di Anugerah Grammy ke-67

Feb 3, 2025 | 4:56 PM
Sabrina Carpenter diumumkan sebagai pemenang Persembahan Pop Solo Terbaik bagi lagu Espresso.
Sabrina Carpenter diumumkan sebagai pemenang Persembahan Pop Solo Terbaik bagi lagu Espresso. - Foto REUTERS

Apakah era Taylor Swift yang dulunya bersinar penuh gemilang, menyapu habis semua kategori dalam Anugerah Grammy, kini surut bagai senja yang sedang berlabuh?

Dalam majlis pencapaian muzik gilang-gemilang dunia, Anugerah Grammy ke-67 yang diadakan pada 2 Februari, penggubah lagu muda dan pelantun lagu Nonsense, Sabrina Carpenter, berjaya menyandang anugerah ‘Album Vokal Pop Terbaik’ bagi albumnya berjudul Short n’ Sweet.

Beliau turut mengatasi artis terkenal seperti Ariana Grande, pendatang baru Chappell Roan dan penyanyi sensasi Taylor Swift, yang pernah menguasai pentas dunia hiburan, pada majlis yang berlangsung di Cryto.com Arena di Los Angeles itu.

Walaupun ini adalah penampilan pertamanya di Anugerah Grammy, Carpenter telah mencuri perhatian dengan beberapa pencalonan dalam enam kategori utama.

Semasa praacara Anugerah Grammy, Premiere Ceremony, beliau telah diumumkan sebagai pemenang Persembahan Pop Solo Terbaik bagi lagu Espresso.

Selain itu, album Short n’ Sweet yang dilancarkan pada Ogos 2024, telah melambungkan namanya ke puncak kejayaan. 

Dalam ucapan semasa menerima anugerah Album Vokal Pop Terbaik, beliau berkongsi betapa mendalam makna album itu baginya sambil mengutarakan setinggi penghargaan kepada peminat, pasukan kreatif dan keluarga. 

Beliau yang berusia 25 tahun itu berkata: “Anugerah ini merupakan pencapaian yang sangat istimewa dan album Short n’ Sweet adalah segala-galanya bagi saya.

“Saya sangat beruntung kerana dapat berkumpul, melakukan sesuatu yang istimewa dan indah serta meraikan muzik bersama-sama rakan artis yang lain,” tambahnya. 

Sebelum menerima anugerah tersebut, bintang pop itu turut mempersembahkan lagu popularnya, Please Please Please dan Espresso di hadapan hadirin.

Lagu Espresso telah mencatat lebih 1.6 bilion penstriman di Spotify pada 2024. 

Sejak 2024, perjalanan seni Carpenter telah berkembang maju daripada menjadi artis jemputan dalam konsert jelajah mega Taylor Swift, Eras, sehingga menjadi artis terkenal dengan lagu yang memikat hati. 

Lebih daripada itu, setiap lagu dalam album Short n’ Sweet juga menyelit pelbagai maksud tersirat dan kiasan, menambah lagi daya tarikan dalam karya beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg