Apa kaitan ketawa dengan perkembangan kanak-kanak
Walaupun kelihatan pelik, kanak-kanak sebenarnya tidak ketawa hanya kerana rasa gembira.
Kajian sains, termasuk kajian saya sendiri, menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak semestinya seronok atau rasa lucu apabila mereka ketawa.
Dalam kajian terdahulu saya tentang maksud ketawa dalam kalangan orang dewasa, saya mendapati bahawa ketawa ialah tindak balas semula jadi manusia terhadap sesuatu yang mengelirukan atau tidak dijangka.
Ia berfungsi sebagai isyarat bahawa ‘semuanya selamat’ – kepada diri sendiri dan orang lain – bahawa sesuatu yang kelihatan seperti ancaman sebenarnya tidak berbahaya.
Berdasarkan kajian itu, penyelidikan terbaru saya menumpukan kepada ketawa bayi dan kanak-kanak.
Saya mendapati bahawa ketawa sangat berkait rapat dengan perkembangan otak dan personaliti.
Kanak-kanak ketawa atas sebab yang berbeza mengikut peringkat usia, jauh sebelum mereka mampu memahami bahasa, permainan kata atau jenaka.
Faedah evolusi ketawa
Ketawa berlaku apabila otak kita menyedari sesuatu yang ganjil atau tidak selari, kemudian cepat memahami bahawa perkara itu tidak berbahaya.
Ia adalah reaksi spontan kepada peralihan daripada rasa terkejut kepada rasa lega.
Bagi orang dewasa, ketawa menandakan bahawa rasa takut atau ancaman telah berlalu.
Sebab itulah kanak-kanak dan orang dewasa sering ketawa ketika menaiki roller coaster – mereka berubah daripada rasa cemas kepada rasa selamat, dan ketawa menjadi tanda peralihan itu.
Kajian menunjukkan proses ini ialah asas kepada jenaka yang berjaya, terutamanya jenaka fizikal seperti slapstick.
Seorang ahli falsafah Perancis, Encik Henri Bergson, pernah menjelaskan pada tahun 1900 bahawa sesuatu menjadi lucu apabila manusia bertindak seperti mesin – kaku dan tidak semula jadi – sedangkan kita menjangka mereka bertindak dengan fleksibel dan hidup.
Bayi belajar ketawa
Bayi mula ketawa tidak lama selepas dilahirkan.
Mereka belajar ketawa dengan meniru ibu bapa dan kerana mereka mahu mendapat reaksi positif daripada orang dewasa di sekeliling mereka.
Inilah cara bayi belajar hampir segala-galanya pada peringkat awal melalui tiruan dan penerimaan.
Apabila bayi membesar, mereka mula menyedari bahawa diri mereka berbeza daripada ibu bapa dan dunia sekeliling.
Pada usia sekitar dua hingga lima tahun, mereka mula bertindak sendiri dan mula mengalami perasaan baru – ada perkara yang kelihatan pelik, asing atau tidak kena.
Perasaan ini mengejutkan mereka.
Di sinilah ketawa muncul.
Selepas seketika rasa ragu atau takut, mereka menyedari bahawa perkara itu sebenarnya tidak berbahaya – lalu mereka ketawa.
Contohnya, seorang kanak-kanak ketawa apabila melihat ayahnya memakai hidung badut palsu.
Pada awalnya dia mungkin terkejut kerana hidung itu tidak ‘hidup’ seperti biasa.
Namun, apabila dia faham itu hanya gurauan, dia berasa lega dan ketawa. Perkara yang sama berlaku apabila abang atau kakak membuat muka lucu.
Apabila kanak-kanak mula faham jenaka
Pada usia sekitar lima atau enam tahun ke atas, kanak-kanak mula memahami konsep abstrak.
Mereka sudah boleh ‘menangkap’ jenaka kerana mereka semakin mampu memahami cara orang lain berfikir.
Pada peringkat ini, ketawa berlaku atas sebab yang sama seperti orang dewasa – untuk menunjukkan bahawa sesuatu itu tidak masuk akal, kaku atau salah, sama ada dalam perbuatan orang lain atau dalam cara berfikir.
Proses mental inilah yang menjadi asas kepada permainan kata (punchline) yang baik – perkara ganjil, rasa terkejut, kemudian penyelesaian.
Tiga peringkat perkembangan ketawa ini, iaitu meniru dan mencari persetujuan, rasa terkejut, dan rasa tidak setuju, boleh menjadi petunjuk penting kepada perkembangan mental kanak-kanak.
Ketawa ibu bapa bantu perkembangan bayi
Ketawa ibu bapa sangat penting dalam perkembangan bayi. Tetapi mengapa ibu bapa secara semula jadi ketawa apabila melihat bayi mereka?
Apabila memandang bayi, ibu bapa sering mengalami seketika rasa hairan.
Bayi kelihatan seperti orang dewasa kecil, tetapi mereka belum boleh bercakap atau bertindak seperti orang dewasa.
Sebab itulah ibu bapa digalakkan untuk ketawa bersama bayi mereka, tanpa rasa malu atau takut.
Jadilah teman ketawa kepada anak.
Interaksi penuh tawa ini bukan sahaja membantu membentuk tingkah laku dan kesejahteraan bayi kerana ketawa terbukti baik untuk sistem imun.
Malah, ia membantu membina hubungan yang sihat dengan emosi serta reaksi manusia sejak usia yang sangat awal.
Carlo Valerio Bellieni ialah Profesor Pediatrik di Universiti Siena di Itali. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.


