Program pengayaan selepas sekolah dilancarkan di Masjid Al-Istighfar
Program pengayaan selepas sekolah dilancarkan di Masjid Al-Istighfar
Program ‘Ahlan After School Care’ kendalian Hayba Academy juga bakal dilancarkan di Masjid An-Nur pada Februari
Satu program pengayaan baru telah dilancarkan baru-baru ini untuk memanfaatkan ruang yang kurang digunakan di masjid pada hari bekerja bagi menyokong pembelajaran dan perkembangan murid sekolah rendah.
Dilancarkan di Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris pada 19 Januari, Ahlan After School Care (AASC) kendalian Hayba Academy merupakan program pengayaan Islam dan bahasa Arab pertama seumpamanya yang diadakan di masjid dan berlangsung selepas waktu persekolahan.
Pengarah Hayba Academy, Ustaz Dr Muhammad Fadli Mohamed Ayub, berkata AASC bukan sahaja memberi sokongan akademik, emosi, dan pendidikan rohani kepada kanak-kanak, tetapi juga mencerminkan usaha memanfaatkan ruang masjid secara lebih menyeluruh di luar waktu solat.
Menjelaskan motivasi di sebalik AASC, Ustaz Fadli berkata idea itu lahir daripada kebimbangan ibu bapa yang bekerja dan ingin menyediakan pendidikan berasaskan nilai untuk anak mereka.
“Pembelajaran di masjid lazimnya terhad kepada hujung minggu atau sesi seminggu sekali.
“Dalam iklim sosial yang semakin mencabar hari ini, itu tidak mencukupi untuk membentuk sahsiah yang mendalam serta memupuk identiti Muslim yang berdaya tahan.
“Ibu bapa hari ini berdepan dengan landskap cabaran yang unik dan semakin mencabar, daripada pengaruh digital hinggalah perubahan norma sosial, yang tidak dialami generasi terdahulu,” terangnya.
Tambahnya, program itu menyediakan pilihan alternatif kepada ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak mereka ke madrasah sepenuh masa tetapi tidak dapat membuat demikian atas pelbagai kekangan.
Kini, program AASC menawarkan dua kelas di Masjid Al-Istighfar untuk murid lelaki dan perempuan daripada Darjah 1 hingga Darjah 4.
Kelas itu diadakan selama empat jam dari 2.30 petang hingga 6.30 petang.
Program tersebut bakal dilancarkan di Masjid An-Nur di Admiralty pada 2 Februari dan akan menawarkan tiga kelas.
Ia akan dikembangkan untuk mengambil murid Darjah 5 dan Darjah 6 di Masjid Al-Istighfar dan Masjid An-Nur pada masa depan, kata Ustaz Fadli.
Menurutnya, seramai sekitar 10 asatizah bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) mengendalikan program itu di kededua masjid.
“Kami tidak menganggap pembinaan sahsiah sebagai satu mata pelajaran tambahan yang memerlukan tenaga mental berlebihan.
“Sebaliknya, ia disepadukan dalam rutin harian, contohnya, mengamalkan kesabaran semasa menyiapkan kerja rumah atau bekerjasama semasa bermain,” kata Ustaz Fadli.
Tambahnya, program AASC tidak mengadakan peperiksaan, sebaliknya memerhati dan menilai kanak-kanak berdasarkan rubrik tingkah laku dan kemahiran untuk melihat bagaimana mereka menerapkan pembelajaran dalam situasi sebenar.
Namun, beliau mengakui pembangunan program AASC tidak tanpa cabarannya.
Ini termasuk memastikan program itu kekal mudah diakses dan mampu untuk ibu bapa sambil menawarkan makan tengah hari dan pengangkutan untuk kanak-kanak.
Menurut Ustaz Fadli, dengan bekerjasama bersama masjid untuk memanfaatkan bilik darjah yang kosong pada waktu petang, ia membantu mengurangkan kos operasi dan perbelanjaan pengangkutan bagi keluarga yang tinggal berdekatan.
Beliau menambah bahawa syarikat induk Hayba Academy, iaitu firma perundingan Hayba Private Limited, menyalurkan sebahagian keuntungan daripada unit perniagaan lain untuk mensubsidi yuran program AASC.
“Matlamat utama kami ialah menyediakan peluang saksama untuk semua, agar kekangan kewangan tidak menghalang mana-mana kanak-kanak daripada mendapat pendidikan dan penjagaan Islam yang bermutu,” ujar Ustaz Fadli.
Pihak Hayba Academy mengakui sesetengah ibu bapa mungkin melihat program pengayaan selepas sekolah sebagai tempat untuk ‘menyerahkan’ tanggungjawab menjaga anak.
Sehubungan itu, Ustaz Fadli berkata AASC menekankan pendekatan perkongsian dengan ibu bapa agar peranannya kekal sebagai kerjasama, bukan pengganti keibubapaan.
Ini termasuk memberi ibu bapa kemas kini terkini mengenai kegiatan harian anak mereka, agar ibu bapa sentiasa terlibat dalam rutin harian mereka.
“Kami menekankan bahawa penanaman nilai dan penyediaan teladan yang baik tidak boleh hanya bergantung kepada pusat jagaan, tetapi ia adalah usaha penting yang mesti dipupuk, terutamanya di rumah,” kongsi Ustaz Fadli.
“
“Matlamat utama kami ialah menyediakan peluang saksama untuk semua, agar kekangan kewangan tidak menghalang mana-mana kanak-kanak daripada mendapat pendidikan dan penjagaan Islam yang bermutu.”
