Lihat anak membesar dengan yakin satu pengalaman penuh makna bagi benefisiari KidSTART

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lihat anak membesar dengan yakin satu pengalaman penuh makna bagi benefisiari KidSTART

886 kanak-kanak dirai dalam majlis tamat program KidSTART yang kali pertama diadakan
Jan 29, 2026 | 5:30 AM

Lihat anak membesar dengan yakin satu pengalaman penuh makna bagi benefisiari KidSTART

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
 Siti Fatimah Mohamed Motali , Sheik Fayyad Sheik Firdaus, Saidatul Fathiyah Sheik Firdaus,  Sheik Firdaus Ahmad,
(Dari kanan) Cik Siti Fatimah Mohamed Motali memikul sebahagian besar tanggungjawab penjagaan anaknya, Sheik Fayyad Sheik Firdaus dan Saidatul Fathiyah Sheik Firdaus, kerana suaminya, Sheik Firdaus Ahmad, bekerja syif. - Foto KIDSTART SINGAPURA

Bagi Cik Siti Fatimah Mohamed Motali, melihat perubahan kepada anak sulungnya dari seorang kanak-kanak kecil kepada murid sekolah rendah merupakan satu perjalanan yang penuh makna.

Ibu kepada dua anak itu tidak dapat menahan rasa sebak dan bangga apabila melihat anaknya, Sheik Fayyad Sheik Firdaus, melangkah ke pentas majlis tamat program, satu detik yang membuatkan beliau tersedar betapa cepat masa berlalu.

“Sebagai ibu, saya dapat lihat dia membesar dari seorang anak yang pendiam ke seorang anak yang lebih yakin,” ujar Cik Siti Fatimah, 38 tahun, mengimbau perjalanan anaknya sejak usia kecil.

Kegembiraannya melihat Fayyad menamatkan fasa awal kehidupan turut disertai kebimbangan apabila anaknya melangkah ke alam sekolah rendah.

“Apabila dia semakin besar, kebimbangan itu tetap ada, tetapi saya yakin dia boleh uruskan hidupnya kerana perkembangan yang dia lalui sepanjang lima tahun ini,” kata Cik Fatimah.

Fayyad, kini berusia tujuh tahun, adalah antara 886 kanak-kanak yang baru menamatkan pengajian daripada program KidSTART.

Sheik Fayyad Sheik Firdaus (barisan depan, kiri) antara lebih 800 kanak-kanak yang baru menamatkan pengajian daripada program KidSTART. Majlis tamat pengajian itu diadakan di Gardens by the Bay pada 24 Januari. Turut hadir ialah (barisan belakang, dari kanan) Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; ibu Fayyad, Cik Siti Fatimah Mohamed Motali; saudara Cik Fatimah; dan Ketua Pegawai Eksekutif KidSTART Singapura, Encik Joel Tan.
Sheik Fayyad Sheik Firdaus (barisan depan, kiri) antara lebih 800 kanak-kanak yang baru menamatkan pengajian daripada program KidSTART. Majlis tamat pengajian itu diadakan di Gardens by the Bay pada 24 Januari. Turut hadir ialah (barisan belakang, dari kanan) Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; ibu Fayyad, Cik Siti Fatimah Mohamed Motali; saudara Cik Fatimah; dan Ketua Pegawai Eksekutif KidSTART Singapura, Encik Joel Tan. - Foto KIDSTART SINGAPURA

Program tersebut, yang menyediakan sokongan awal bagi kanak-kanak dari tempoh kehamilan hingga berusia enam tahun, menyasarkan untuk menjangkau 80 peratus kanak-kanak yang layak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Sejak projek rintisnya pada 2016, KidSTART telah menyokong lebih 11,000 kanak-kanak, termasuk Fayyad yang menyertai program itu pada Disember 2021 ketika berusia dua tahun.

Majlis tamat program tersebut diadakan di Gardens by the Bay pada 24 Januari dan juga diadakan sempena ulang tahun KidSTART yang ke-10.

Menurut Cik Fatimah, Fayyad yang merupakan murid Darjah 1 di Sekolah Rendah West Grove di Jurong West, menyesuaikan diri dengan baik, apatah lagi apabila empat orang sepupunya bersekolah di tempat yang sama.

Persekitaran sekolah yang terletak berdekatan rumah, serta rutin makan bersama sepupunya ketika waktu rehat, menjadikan pengalaman sekolah kurang menakutkan baginya.

Tambah Cik Fatimah, Fayyad kini lebih bersedia untuk ke sekolah, mampu mengikut rutin, boleh mengawal emosi dengan lebih baik, serta menyampaikan keperluannya dengan lebih jelas.

Sebelum menyertai program KidSTART, Cik Fatimah berkata Fayyad sering membuat perangai dan sukar meluahkan perasaannya.

Menurutnya, itu sesuatu yang mencabar kesabaran beliau sebagai ibu.

“Saya tidak faham apa yang dia cuba mahu sampaikan, dan saya pula seorang yang mudah marah.

“Secara perlahan, saya belajar bagaimana untuk bertenang dan mengesahkan perasaan Fayyad,” dedah Cik Fatimah.

Kini, beliau berkata Fayyad mampu menyatakan apabila dia lapar tanpa perlu mengamuk, dan beliau lebih yakin bercakap dengan orang yang baru sahaja dikenalnya.

Guru Fayyad juga memaklumkan bahawa dia kini lebih aktif dan berani mengambil bahagian dalam kelas, kongsi Cik Fatimah.

Beliau menambah bahawa perubahan itu tidak mungkin tercapai tanpa sokongan berterusan daripada kakitangan KidSTART, terutama ketika beliau membesarkan Fayyad semasa tempoh pandemik Covid-19.

“Lima tahun yang lepas mengajar saya bahawa tingkah laku kanak-kanak sebenarnya adalah satu bentuk komunikasi.

“Jika mereka merengek, biasanya mereka mahukan sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana untuk memberitahu kami apa yang mereka mahu.

“Dari situ, saya secara perlahan belajar untuk mengenal pasti tingkah laku Fayyad… ia memang perlukan banyak kesabaran dan mengambil banyak masa,” jelasnya.

Cik Fatimah, yang bekerja dalam sektor logistik, memikul sebahagian besar tanggungjawab penjagaan anak memandangkan suaminya bekerja syif.

Setiap lulusan program KidSTART turut menerima baucar buku dan alat tulis bernilai $100 serta baucar pengangkutan $100, yang menurut Cik Fatimah banyak membantu perbelanjaan harian keluarganya.

“Sebagai ibu, saya hanya mengharapkan kedua-dua anak saya sentiasa sihat dan berjaya, serta diberi kejayaan dalam apa jua yang mereka lakukan pada masa hadapan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg