Pelihara budaya bermain supaya anak belajar dengan lebih bermakna
Pelihara budaya bermain supaya anak belajar dengan lebih bermakna
Bermain bukan gangguan, malah asas pembelajaran sepanjang hayat bagi kanak-kanak
Di Singapura, kesediaan anak memasuki sekolah rendah sering menjadi kebimbangan utama ibu bapa, dengan ramai mahu anak mereka sudah boleh membaca dengan yakin dan tidak ketinggalan.
Dalam tekanan mengejar persediaan akademik, bermain sering dianggap sebagai sesuatu yang kurang penting, atau sekadar selingan kepada pembelajaran sebenar.
Namun beberapa penyelidikan menunjukkan bermain bukan gangguan kepada pembelajaran.
Malah, bagi kanak-kanak kecil, bermain adalah asas kepada pembelajaran.
Ahli psikologi perkembangan, Cik Jean Piaget, menggambarkan kanak-kanak sebagai pembina pengetahuan yang aktif. Mereka belajar melalui perbuatan, eksperimen dan interaksi.
Penyelidik kontemporari seperti Cik Kathy Hirsh-Pasek dan Cik Roberta Golinkoff pula menunjukkan permainan berpandu menghasilkan pemahaman yang lebih mendalam berbanding pengajaran langsung semata.
Hal ini berlaku apabila orang dewasa menyediakan persekitaran yang kaya dengan rangsangan, malah memberi ruang kepada kanak-kanak membuat pilihan.
Namun persoalan yang sering ditanya oleh ibu bapa adalah adakah semua ini benar-benar relevan dalam konteks hari ini?
Kepentingan bermain menurut kajian tempatan
Satu kajian tempatan yang diterbitkan dalam Journal of Childhood, Education & Society mendapati walaupun ramai ibu bapa di Singapura mengakui kegiatan bermain menyokong perkembangan menyeluruh, mereka pada masa yang sama berasa tertekan untuk memberikan keutamaan kepada persediaan ke prasekolah.
Namun, sistem pendidikan Singapura semakin menegaskan kepentingan bermain secara bermakna.
Rangka Kerja Memupuk Pelajar pada Peringkat Awal (NEL) oleh Kementerian Pendidikan (MOE) secara jelas meletakkan bermain secara berstruktur sebagai pendekatan pedagogi utama dalam pendidikan prasekolah.
Ia menekankan penerokaan, interaksi, pilihan, serta pengalaman yang dipenuhi dengan rasa ingin tahu dan kegembiraan.
Ini mencerminkan peralihan yang disengajakan ke arah pembelajaran berpusatkan kanak-kanak dan berasaskan pertanyaan, selaras dengan sains perkembangan.
Penyelidikan kognitif terkini turut mengukuhkan hujah ini.
Kajian juga mendapati campur tangan yang melibatkan bermain secara berstruktur meningkatkan kemahiran fungsi eksekutif kanak-kanak prasekolah secara ketara, termasuk kawalan diri dan fleksibiliti kognitif.
Ini merupakan keupayaan penting untuk kanak-kanak menumpukan perhatian, mengikuti arahan dan menyesuaikan diri di sekolah rendah.
Satu kajian diterbitkan pada 2023 dalam Education Sciences pula menunjukkan bermain bebas memberi kesan positif terhadap pengawalan perhatian dalam kalangan kanak-kanak kecil.
Keupayaan menumpukan perhatian dan mengawal diri merupakan peramal kukuh kepada pencapaian akademik pada masa hadapan.
Ringkasnya, bermain dapat membina perkembangan otak yang menyokong pembelajaran di bilik darjah.
Muzium Kanak-Kanak Singapura semarak budaya bermain
Di Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG), hasil penyelidikan ini diterapkan di dalam program serta pameran yang direka berteraskan permainan secara bermakna.
Misalnya, apabila kanak-kanak berlakon sebagai peneroka atau pencerita, mereka sebenarnya sedang mempelajari cara berunding, menyelesaikan masalah, merancang dan mengawal emosi, iaitu kemahiran teras fungsi eksekutif.
Pendekatan penciptaan bersama kanak-kanak turut menjadi tunjang usaha kami.
Salah satu contoh utama ialah ruang ‘PLAY + MAKE’, iaitu persekitaran kreatif yang direka bersama kanak-kanak.
Kanak-kanak daripada beberapa prasekolah serta sukarelawan berusia antara tujuh dengan 12 tahun, yang digelar Little Ambassadors, telah menyertai sesi perbincangan secara berkumpulan yang membantu mencipta reka bentuk dan kegiatan ruang ini.
Dengan mendengar perspektif kanak-kanak, muzium kami memastikan tawarannya selari dengan minat dan gaya pembelajaran mereka.
Ruang ‘PLAY + MAKE’ menggabungkan bahan sentuhan, penerokaan deria dan permainan pelbagai cara.
Kanak-kanak bukan sekadar melihat tema warisan seperti budaya makanan dan kraf, malah menerokainya secara aktif.
Mereka boleh menghasilkan anak patung kertas, mereka bentuk pinggan mangkuk sendiri, atau mencuba corak tenunan.
Pengalaman secara langsung ini mengaktifkan deria, imaginasi dan kebolehan membuat keputusan kreatif, sekali gus memperdalam pemahaman melalui perbuatan.
Teknologi interaktif turut memperkayakan pengalaman ini.
Inisiatif seperti WonderBot 2.0 menggunakan kecerdasan buatan (AI) berbentuk perbualan dan interaksi berunsur permainan untuk membimbing kanak-kanak meneroka pameran mengikut kadar masing-masing.
Dengan soalan dan dialog yang disesuaikan mengikut respons kanak-kanak, teknologi menjadi pemangkin rasa ingin tahu, bukan gangguan.
Penyelidikan secara konsisten menunjukkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif meningkatkan penglibatan serta daya ingatan.
Budaya bermain di CMSG juga melangkaui dinding muzium.
Melalui program berasaskan keluarga dan kerjasama masyarakat, termasuk acara tahunan Children’s Season, muzium kami mewujudkan pengalaman bermain bersama antara kanak-kanak dengan pengasuh, sekali gus menegaskan bermain adalah alat pembelajaran sepanjang hayat.
Yang penting, bermain dengan bertujuan bukanlah sesuatu gangguan.
Persekitaran bermain dirancang dengan teliti, objektif pembelajaran jelas dan kanak-kanak diberi ruang membuat pilihan dalam batasan yang bermakna, selaras dengan rangka kerja NEL Singapura.
Kegiatan cuti sekolah Mac
Cuti sekolah Mac memberi peluang berharga kepada keluarga untuk memberi ruang kepada anak bermain tanpa tekanan jadual padat.
Setiap hari tidak perlu diisi dengan kelas tambahan, jadi peliharalah masa yang tidak berstruktur dan amalkan bermain secara berpandu semasa bersiar.
Ketika melawat muzium, taman kejiranan, atau pusat penjaja, ajukan soalan terbuka seperti, “Apakah yang kamu perhatikan?” atau “Bagaimanakah kita boleh selesaikan ini?” dan kemudian ikuti saranan anak anda.
Kegiatan harian boleh dijadikan sebagai ruang pembelajaran.
Sebagai contoh, lawatan ke pasar boleh menjadi pelajaran matematik apabila anak mengira buah-buahan atau membandingkan harga, manakala perjalanan menaiki bas boleh menjadi permainan mengenal tapak bersejarah di Singapura.
Di samping itu, sediakan bahan terbuka di rumah – kotak kadbod, bekas kitar semula dan blok binaan boleh menjadi kedai, muzium, atau dunia imaginasi.
Hargai proses, bukan sekadar hasil.
Jika sesuatu binaan runtuh, jangan tergesa-gesa memperbaikinya.
Sebaliknya, tanyakan, “Apakah yang boleh kita lakukan secara berbeza?”
Kemahiran fungsi eksekutif berkembang melalui percubaan dan renungan.
Nilai semula makna kejayaan
Pada asasnya, landskap pendidikan Singapura sedang berkembang.
Mengutamakan bermain tidak bermakna merendahkan tahap kecemerlangan, sebaliknya ia menyelaraskan pendekatan kita dengan dapatan sains tentang cara kanak-kanak belajar dan berkembang.
Apabila kita melindungi masa untuk bermain, kita tidak memilih antara kegembiraan dengan pencapaian.
Malah, kita mengiktiraf kegembiraan mendorong pencapaian.
Jika kita mahukan anak yang boleh menyesuaikan diri, berdaya tahan, penuh rasa ingin tahu, dan bukan sekadar bersedia menghadapi peperiksaan namun bersedia menghadapi kehidupan, maka memelihara budaya bermain bukanlah pilihan.
Oleh itu, bermain bukan sekadar main-main.
Asmah Alias merupakan Pengarah di Muzium Kanak-Kanak Singapura. Beliau mempunyai hampir dua dekad pengalaman dalam bidang muzium, pendidikan warisan dan pembangunan program pembelajaran untuk kanak-kanak serta masyarakat umum. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar di Taman Warisan Melayu, Timbalan Pengarah (Pendidikan) di Lembaga Warisan Negara, serta Pensyarah di Politeknik Republic.

