Seperti kebanyakan tahun sudah, pengajaran dan hikmah daripada kisah Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as dikongsi dalam khutbah selepas solat Hari Raya Haji 2025.
Khutbah yang disampaikan pada 7 Jun itu menyebut tentang peristiwa Nabi Ibrahim as diperintahkan Allah swt untuk mengorbankan anaknya.
Khutbah itu mengajak jemaah merenungkan keikhlasan dan kesediaan Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as dalam melaksanakan perintah Allah swt.
Beberapa soalan diutarakan, namun yang paling menarik perhatian saya ialah: “Apakah yang menyebabkan anak itu patuh tanpa sebarang bantahan, membenarkan bapanya melaksanakan perintah Tuhannya?”
“Patuh tanpa sebarang bantahan. Lebih mudah diungkapkan daripada dilakukan,” detik saya dalam hati.
Saya pun terfikir apakah terdapat cara untuk membuat anak-anak mudah mematuhi ibu bapanya.
Anak-anak saya masih kecil, dan mereka rata-rata melakukan apa yang disuruh ibu bapa atau datuk nenek mereka.
Tapi, berdasarkan pengalaman sebagai anak yang sedikit degil, saya tahu saya harus bersiap sedia untuk tahun-tahun lebih mencabar seperti peringkat usia awal remaja dan seterusnya.
Menurut laman web, Institute for Family Studies, bagi anak-anak yang disahkan tidak mengalami masalah pendengaran, ada banyak sebab mengapa mereka tidak ‘dengar cakap’.
Antaranya ialah anak-anak tidak mahu diberitahu apa yang perlu mereka lakukan atau mereka terlalu memberi tumpuan kepada perkara yang mereka sedang lakukan.
Mereka mungkin lebih suka melakukan perkara lain selain apa yang ibu bapa suruh atau mereka sudah pun disuruh melakukan banyak perkara sebelum itu.
Anak-anak itu juga mungkin sedang lapar, marah, penat, tertekan atau kesunyian atau permintaan ibu bapa mereka itu dibuat terlalu awal pagi atau terlalu lewat malam.
Mereka mungkin enggan melakukan perkara yang disuruh kerana adik-beradik mereka tidak perlu melakukannya, atau mereka tidak mahu melakukan perkara itu dengan adik-beradik mereka.
Mereka mungkin tidak peduli tentang perkara yang mereka disuruh buat itu, atau tidak mempunyai kemahiran atau keupayaan melakukannya.
Anak-anak juga mungkin tidak dengar cakap kerana cara ibu bapa meminta atau memberitahu mereka melakukan perkara itu adalah tidak sesuai.
“Dalam banyak kes, ia bukan hanya satu perkara, tetapi gabungan beberapa perkara.
“Memahami keupayaan dan keadaan mental anak-anak kita boleh membantu kita memahami bila kita harus bertanya, apa yang patut kita tanya dan bagaimana kita harus bertanya.
“Tetapi kadangkala perkara perlu dilakukan, tidak kira bagaimana perasaan semua orang. Dalam keadaan tersebut, kita memerlukan pematuhan,” kata laman itu.
Antara perkara yang saya dapati anak-anak saya sukar patuhi dengan segera adalah arahan untuk mandi, mengemas mainan dan menggantung tuala selepas mandi.
Apa yang saya lakukan selama ini adalah untuk mempunyai eye contact atau temuan mata ketika memberi arahan dan menggunakan ayat mudah.
Kalau ada masa, saya akan mengubah permintaan saya menjadi misi yang mendebarkan seperti: “Saya berikan kamu misi menutup semua tingkap dalam masa dua minit, bermula dari sekarang!”
Strategi lain yang boleh ibu bapa lakukan adalah meminta anak-anak mengulangi arahan mereka, dan bercakap dengan lebih perlahan dan bukan lebih kuat apabila anak-anak seperti tidak “dengar”.
Ibu bapa juga boleh menyentuh lengan anak-anak dengan lembut atau memeluk mereka bagi mendapatkan perhatian sebelum memberi arahan.
Ibu bapa boleh mengelak daripada meminta anak-anak mereka melakukan sesuatu perkara ketika mereka sedang asyik melakukan benda lain seperti bermain atau membaca.
Laman web, Children Central, menyarankan agar ibu bapa mengelak daripada mengulangi arahan berulang kali.
“Sebaik memberi arahan yang jelas dan difahami untuk anak-anak menyimpan mainan mereka buat kali pertama, elak mengulangi arahan untuk kali kedua atau ketiga.
“Jika tidak, ini mungkin memberi tanggapan kepada anak-anak bahawa mereka boleh menangguhkan arahan awal anda dan menunggu sehingga anda mengulangi permintaan anda sebelum melakukan apa yang anda minta,” kata laman web itu.
Laman web tersebut turut menyarankan agar ibu bapa menggalak anak-anak menyahut (acknowledge) arahan mereka seperti dengan menyatakan “Okey ibu, saya akan lakukannya” atau “Ya, Ibu”.
Ibu bapa turut digalakkan agar tekal dengan peraturan dan jangkaan yang mereka tetapkan.
Jika ibu bapa telah katakan “tidak” kepada sesuatu perkara, seperti tidak boleh makan di dalam bilik tidur, mereka perlu kekal dengan peraturan itu.
Jika anak-anak mengulangi perkara yang tidak dibenarkan itu, ibu bapa boleh mengenakan akibatnya daripada berdiam sahaja dan tidak mengambil apa-apa tindakan.
Ada banyak lagi strategi yang disarankan, namun saya yakin apa yang penting dalam mengajar anak-anak untuk mematuhi ibu bapa adalah kesabaran dan kebijaksanaan.
Penting juga bagi ibu bapa mempunyai perhubungan baik dengan anak dan ini bermakna membuat anak rasa dilihat, didengar dan dinilai agar mudah untuk mereka mematuhi arahan dan permintaan ibu bapa dengan rela hati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg