Seorang teman pernah berseloroh kepada saya: “Aku lebih suka pergi pejabat daripada duduk di rumah, walaupun syarikat beri pilihan kerja dari rumah dua kali seminggu.”
Katanya, suasana di pejabat terlalu menyeronokkan, penuh sokongan, rakan-rakan yang memahami, malah kopi mesin di pantri terasa lebih nikmat daripada kopi peket di dapurnya sendiri.
Tentu saja, bukan semuanya indah belaka.
Ada juga ragam politik pejabat yang sesekali mencuit hati, sesekali menyakitkan hati.
Namun, kawan saya tetap berasa pejabat itu ibarat rumah keduanya. Bukankah menarik?
Soalnya, kalau kita menghabiskan sekurang-kurangnya lapan jam sehari di tempat kerja, bukankah wajar suasananya terasa selesa dan selamat, bukan sahaja secara fizikal bahkan juga emosi?
Bagaimana pemimpin syarikat boleh menjadikan tempat kerja ‘mesra jiwa’ dan bukan sekadar ‘mesra KPI (penunjuk prestasi utama)’?
Berdasarkan pembacaan saya di laman-laman kerjaya seperti Jobstreet dan LinkedIn, empat perkara yang boleh diusahakan:
Setiap individu mahu tahu bahawa kerja mereka bukan sekadar mengisi fail atau menekan papan kekunci.
Apabila seseorang nampak bagaimana tugas kecilnya menyumbang kepada misi besar pasukan atau organisasi, mereka lebih terdorong untuk berikan yang terbaik.
Pemimpin yang bijak ialah yang pandai mengaitkan titik-titik kecil kerja harian dengan lukisan besar kejayaan bersama.
Kita semua ada kelebihan tertentu. Ada yang cekap dengan angka, ada yang petah berbicara, ada yang mahir mencari jalan keluar saat krisis.
Apabila kekuatan itu dikenal pasti dan dimanfaatkan, seseorang rasa lebih dihargai.
Lebih daripada itu, mereka akan nampak tujuan hidupnya bukan sekadar untuk diri sendiri, bahkan juga untuk kejayaan kumpulan.
Ada beza antara ‘tegur’ dengan ‘menghukum’.
Tempat kerja yang terasa seperti rumah adalah tempat pekerja boleh bercakap secara jujur tanpa rasa takut.
Maklum balas yang jelas, membina dan fokus ke hadapan akan membuka ruang untuk semua orang berkembang, bukan mengecilkan hati.
Siapa tak suka dihargai? Tapi penghargaan itu perlu tulen, secara khusus dan sederhana.
Ucapan terima kasih atas laporan yang disiapkan cepat, atau pujian kerana berani mencetus idea baru, sudah cukup memberi tenaga tambahan.
Bayangkan sahaja, senyum yang ikhlas daripada bos kadangkala lebih berharga daripada bonus hujung tahun (meskipun bonus tetap dinanti!).
Akhirnya, suasana kerja yang ‘berasa seperti rumah’ bukanlah tentang sofa empuk atau hiasan ala ruang tamu.
Ia tentang rasa dihargai, difahami dan selamat untuk menjadi diri sendiri.
Jika pemimpin organisasi mampu menanamkan budaya ini, jangan hairan kalau ada yang lebih rela datang ke pejabat setiap hari, walaupun ada pilihan kerja dari rumah.
Kerana rumah, seperti yang kita tahu, adalah tempat hati kita berasa tenang.
Dan bukankah itu yang kita semua cari, walaupun dalam ruang pejabat?
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg