Ada peribahasa menyatakan jika ular menyusur akar, tiada hilang bisanya yang bermaksud orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya.
Tetapi di Singapura, ular kian dilihat menyusur jalan raya, longkang dan tangga flat perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Berita tentang ular yang ditemui dekat kawasan tempat tinggal manusia semakin banyak dilaporkan.
Pada Disember 2024 sahaja, sekurang-kurangnya dua kejadian ular di kawasan perumahan dilaporkan termasuk yang melibatkan ular sawa di Eunos Crescent yang memuntahkan kucing yang ia baham, dan ular sawa yang ‘mengetuk’ tingkap bilik flat tingkat dua di Jurong West.
‘Penampakan’ ular memang sudah bertambah sedikit kebelakangan ini.
Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), pada 2024, ia menerima sekitar 3,500 kes maklum balas tentang ular – lebih tinggi berbanding sekitar 3,000 kes pada 2023.
Maklum balas itu rata-rata terdiri daripada laporan ular yang dilihat oleh orang awam, kata pengarah kumpulan pengurusan hidupan liar NParks, Encik How Choon Beng.
“Sedang Singapura berubah menjadi Bandar Dalam Alam Semula Jadi, orang ramai dibawa lebih dekat kepada alam semula jadi melalui usaha penghijauan dan pemuliharaan. Ini, ditambah dengan kesedaran awam yang lebih tinggi tentang saluran laporan, boleh menyebabkan peningkatan dalam bilangan penampakan dan pertemuan dengan hidupan liar yang dilaporkan,” katanya.
Melihat ular di kebun, taman dan hutan simpanan di Singapura bukan sesuatu yang jarang berlaku walaupun ular rata-rata adalah haiwan yang pemalu dan akan cuba mengelakkan manusia, kata Encik How.
Disebabkan iklim tropika di Singapura, ular aktif sepanjang tahun.
Terdapat 64 spesies asli ular di sini dengan 27 daripadanya diklasifikasikan sebagai terancam atau sangat terancam, kata Encik How.
Spesies ular yang biasa dilihat termasuk ular rumah atau Common Wolf Snake, ular sawa batik atau Reticulated Python dan ular sawa burung atau Paradise Tree Snake.
Menurut laman NParks, ular mempunyai peranan ekologi penting. Ular sawa misalnya membantu mengawal bilangan tikus di sesebuah tempat.
Ular juga merupakan komponen penting dalam jaringan makanan – sebagai haiwan pemangsa kepada binatang kecil dan sebagai sumber makanan bagi burung dan mamalia lebih besar.
Ahli entomologi dan eksekutif teknikal syarikat penghapus haiwan perosak, Origin Exterminators, Cik Daphne Ling, berkata ular sering ditemui di kawasan dengan bekalan makanan yang baik seperti burung atau tikus, dan tempat berlindung seperti longkang, kebun dan taman, katanya.
“Peningkatan bilangan ular yang dilihat di kawasan perumahan boleh dikaitkan dengan kerja pembinaan berterusan yang mengganggu habitat semula jadi mereka. Selain itu, ular mungkin memasuki kawasan perumahan untuk mencari makanan, lebih-lebih lagi jika terdapat bilangan haiwan mangsa yang tinggi seperti tikus,” kata Cik Ling.
Beliau berkata adakala pihaknya menemui spesies ular berbisa seperti ular senduk sembur yang juga dikenali sebagai Equatorial Spitting Cobra.
Namun beliau menambah bilangan ular berbisa yang pihaknya temui telah kekal agak stabil dan jauh lebih rendah berbanding spesies ular tidak berbisa.
Cik Ling menasihatkan orang awam supaya kekal tenang dan menjauhkan diri jika ternampak ular di dalam atau luar rumah.
Beliau juga mengingatkan orang awam supaya tidak mengepung atau mengadang ular itu di satu sudut kerana ini mungkin akan menyebabkan ular itu bertindak ganas.
NParks berkata orang awam boleh memerhatikan ular itu dari jauh kerana ular tidak akan menyerang jika tidak diganggu atau diusik.
Ia menasihatkan orang awam supaya memberi ruang kepada ular mengundurkan diri dan tidak mendekati atau cuba menangkap ular itu.
Jika ular itu dilihat dalam habitat aslinya, orang awam boleh membiarkan sahaja ular itu berlalu pergi.
Jika ular ditemui di dalam rumah, NParks menggesa penghuni mencari sebab ular itu datang ke kawasan tempat tinggal mereka.
“Satu sebab ialah pembuangan sampah yang tidak betul yang menarik perhatian binatang yang menjadi makanan ular,” kata NParks di lamannya.
Menjelang Tahun Baru Cina yang akan menandakan bermulanya Tahun Ular dalam kalendar Cina, beberapa kawasan di Singapura telah memaparkan hiasan berbentuk ular seperti tanglung bertema ular di Chinatown dan pemasangan ular gergasi di bumbung Pusat Kebudayaan Cina Singapura yang juga berfungsi sebagai sorot-sorot untuk kanak-kanak.
Di Gardens by the Bay pula, pameran bunga baru berdasarkan legenda Cina menampilkan patung bunga setinggi 4.5 meter yang menggambarkan watak Madam White Snake.
Lebih menarik, Tahun Baru Cina ini menandakan bermulanya Tahun Ular Kayu yang kali terakhir jatuh pada 1965.
Setiap tahun, satu haiwan dalam zodiak Cina diganding dengan satu daripada lima unsur iaitu emas, kayu, air, api dan tanah.
Gabungan haiwan zodiak ular dan unsur kayu ini dianggap bertuah, menurut kumpulan ramalan Singapura, Way Fengshui.
“Tidak semua tahun ular sama bertuah. Ular dikaitkan dengan unsur api, dan memandangkan kayu menghasilkan api, sokongan antara kedua-duanya meningkatkan tenaga tahun ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg