Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Merungkai misteri ular

Jan 19, 2025 | 5:30 AM
Masyarakat Cina serata dunia menyambut ketibaan Tahun Ular pada 29 Januari 2025.
Masyarakat Cina serata dunia menyambut ketibaan Tahun Ular pada 29 Januari 2025. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Ular adalah haiwan yang sering disalah erti.

Ia selalu dikaitkan dengan bahaya, kelicikan dan kejahatan.

Ramai orang berpendapat semua ular berbahaya dan ganas.

Tidak kurang juga yang geli-geman melihat haiwan itu merayap di tanah atau menelan mangsa.

Tetapi ular mempunyai perlambangan, atau simbolisme, mendalam dalam banyak budaya, termasuk Cina.

Haiwan reptilia itu juga berperanan penting dalam ekosistem Singapura sedang negara ini berusaha mencapai visi Bandar Dalam Alam Semula Jadi.

Dalam satu wawancara bersama Berita Minggu menjelang Tahun Baru Cina 2025, yang menandakan permulaan Tahun Ular, sebuah kumpulan ramalan tempatan, Way Fengshui, berkata masyarakat Cina purba berpendapat bahawa ular boleh memanjangkan nyawa dan ia dianggap sebagai lambang tuah, hasil tuaian baik dan pembiakan.

Banyak peninggalan di China juga menunjukkan rasa hormat terhadap ular oleh masyarakat Cina purba.

Corak ular, misalnya, sering dilihat pada peninggalan gangsa yang digunakan bagi upacara sembahyang dan meminta hasil tuaian baik.

Dengan banyak perhatian diberikan pada ular menjelang Tahun Ular, seorang ahli entomologi dan eksekutif teknikal syarikat penghapus haiwan perosak Origin Exterminators, Cik Daphne Ling, berharap kesedaran dapat ditingkatkan dalam kalangan orang ramai tentang pentingnya untuk wujud bersama haiwan itu.

“Sedang kita menghampiri Tahun Ular, sering kita mendengar mitos budaya tentang ular sebagai lambang nasib baik atau nasib malang.

“Sesetengah orang percaya bahawa melihat ular boleh membawa kekayaan, sementara sesetengah yang lain menganggapnya sebagai petanda buruk.

“Bagaimanapun, dari sudut pandangan praktikal, penting untuk kita memberi tumpuan kepada usaha wujud bersama haiwan ini daripada bergantung pada kepercayaan karut,” kata Cik Ling.

Cik Ling berkata antara salah faham melibatkan ular ialah bahawa semua ular berbahaya dan ganas.

Ini tidak tepat, katanya. Malah, kebanyakan jenis ular yang ditemui di Singapura tidak berbisa dan lebih suka menjauhi manusia.

Satu lagi salah tanggapan terhadap ular ialah haiwan itu sengaja mencari manusia atau rumah.

“Sebenarnya, ular memasuki kawasan perumahan secara tidak sengaja ketika mencari makanan atau tempat berlindung,” katanya.

Seorang penjaga ular di Taman Haiwan Singapura, Encik Timothy Lim, berkata dengan peningkatan dalam bilangan ular yang dilihat di Singapura kebelakangan ini, adalah penting untuk mengingatkan orang ramai bahawa ular tidak keluar dari sarangnya untuk membahayakan manusia.

“Dengan kesedaran lebih tinggi tentang ular sempena Tahun Ular, saya berharap orang ramai memahami ular dengan lebih baik, menyayanginya dan tahu apa perlu dilakukan jika terserempak dengannya,” kata Encik Lim.

Sebagai penjaga ular, beliau juga rasa tugasnya amat bermakna apabila beliau dapat berkongsi ilmu tentang reptilia ini bersama pengunjung Taman Haiwan Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg