Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apakah Liza Aziz, Dadali Dyrga bakal juarai GV11?

Setiap peserta miliki kelebihan untuk menang, ditambah rakan duet ‘nama besar’
Feb 5, 2025 | 5:30 AM
Liza Aziz disebut-sebut sebagai juara ‘Gegar Vaganza’ 11 dari awal rancangan kerana persembahannya yang konsisten dan juga kedudukannya yang sentiasa di tiga tangga teratas peraduan selama 11 minggu.
Liza Aziz disebut-sebut sebagai juara ‘Gegar Vaganza’ 11 dari awal rancangan kerana persembahannya yang konsisten dan juga kedudukannya yang sentiasa di tiga tangga teratas peraduan selama 11 minggu. - Foto ASTRO

Sebagai satu-satunya peserta yang kekal di tiga tangga teratas peraduan sepanjang 11 minggu, penyanyi veteran bersuara emas, Liza Aziz, diramalkan ramai bergelar juara peraduan realiti Astro, Gegar Vaganza 11 (GV11).

Ditambah dengan kehadiran diva Indonesia dan juara Asia Bagus pertama, Kris Dayanti, yang akan mengiringinya dalam persembahan pusingan duet, saya kira memang Liza yang akan dinobatkan sebagai johan selepas bintang lain seperti Datuk Wan Aishah Wan Ariffin, Jaclyn Victor, Hady Mirza, Siti Nordiana, Azharina Azhar dan Noryn Aziz.

Bagaimanapun, seperti yang ditekankan Ketua Juri, Datuk Ramli MS, walaupun Liza berada di tangga tertinggi peraduan selama beberapa pusingan, melebihi peserta lain, beliau tetap berdepan dengan saingan sengit daripada penyanyi lagu balada Indonesia, Dadali Dyrga, 43 tahun, dan peserta ‘underdog’ (tidak diduga akan menang), Sheila Abdull, 36 tahun.

Dyrga bakal berduet dengan bintang legenda Malaysia yang mempunyai aura tersendiri, Datuk Jamal Abdillah, bagi lagu Kekasih Awal dan Akhir, manakala Sheela pula akan berpadu suara dengan juara, Singapore Idol (Musim Pertama), Taufik Batisah, bagi lagu Aku Bersahaja.

Cuma lagu Cinta (nyanyian asal Kris Dayanti dan Melly Goeslaw) yang bakal dipertaruhkan Liza di peringkat akhir GV11 di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 9 Februari adalah mahakarya yang tidak dapat saya nafikan impak luar biasanya.

Kris Dayanti mempunyai vokal yang gemersik indah dan bertenaga. Kalau disatukan dengan vokal Liza yang dianggap ‘telan kaset’, saya yakin Cinta akan jadi setanding dengan persembahan duet lain sebelum ini, yang dianggap juri tetap, Hetty Koes Endang, sebagai ‘gebrek’ (bagus).

Ini termasuk duet Suki Low dan Khai Bahar, Jaclyn Victor dan Aina Abdul serta Aishah dan Liza Hanim.

Pada separuh akhir yang berlangsung pada 2 Februari, Liza kalah tipis dengan Dyrga.

Beliau meraih 73.9 peratus di tangga kedua manakala Dyrga di tangga pertama dengan 74.1 peratus.

Sheila pula di tangga ketiga dengan markah 67.9 peratus.

Mungkin ramai yang tidak sabar menanti peringkat akhir yang terbahagi kepada tiga pusingan – solo, duet dan ‘battle’ atau pertarungan, yang seperti biasa, melibatkan dendangan lagu hip-hop atau rap.

Sebabnya, dahlah saingan semakin sengit, banyak tugasan yang perlu dikendalikan peserta dalam saat-saat tertekan.

Cuma mungkin, yang tak ‘best’, lagu yang dijadikan tugasan solo merupakan ‘makanan’ peserta, tidak seperti GV pada musim-musim awal, apabila bintang GV diberi cabaran untuk keluar dari zon selesa.

Kalau tengok senarai lagu, rasanya kemenangan pusingan itu boleh berpihak kepada Dyrga yang mendapat lagu Samsons, Kenangan Terindah, genre lagu pop Indonesia, yang biasa dinyanyikannya.

Tapi Liza pastinya dapat memberikan saingan sengit buatnya menerusi lagu Celine Dion, I Surrender, yang dikhususkan buat penyanyi ‘powerhouse’.

Manakala lagu Beyonce, Listen, memang sesuai buat Sheila yang paling ‘champion’ kalau diminta lontar suara pada nada tinggi.

Apakah yang akan menimbulkan cabaran buat peserta pada peringkat akhir ini?

Saya kira pusingan ‘battle’, apabila pasukan finalis wanita (Liza, Sheila, Ning Baizura dan Zehra Zambri), akan bergabung tenaga bagi menyanyikan lagu terkini Mimifly, Angkat.

Kumpula The Lima dan Dyrga pula akan sama-sama menyanyikan lagu Too Phat dan Datuk Yusni Hamid, Ala Canggung II.

Ini kali pertama diadakan pusingan ‘battle’ dengan empat peserta lawan empat peserta.

Jadi, bagaimana agaknya prestasi peserta? Kita perlu tunggu pada 9 Februari apabila pentas MBSA pastinya berbahang dengan persembahan bertenaga peserta.

Yang saya tak sabar adalah menyaksikan kemunculan penyanyi undangan yang handal-handal belaka. Ada Kris Dayanti, Pasha Ungu, Taufik Batisah, Datuk Jamal Abdillah, kumpulan Dolla dan Jaclyn Victor.

Pastinya hiburan tiga jam tanpa henti yang menyeronokkan Ahad anda sampaikan ada teman yang kata nak ambil cuti keesokan harinya pula seandainya selepas tamat program, masih ada sembang kedai kopi tentang keputusan GV11 yang perlu diadakan.

Peringkat akhir GV11 diadakan mulai 9 malam, pada 9 Februari, di Saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg