Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ning Baizura sanggup layan peminat di WhatsApp sampai subuh

Feb 4, 2025 | 5:29 PM
Ning Baizura yang layak ke peringkat akhir ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11) pada 9 Februari disayangi anggota kelab peminatnya, HappeNing, kerana keramahan dan semangat positif.
Ning Baizura yang layak ke peringkat akhir ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11) pada 9 Februari disayangi anggota kelab peminatnya, HappeNing, kerana keramahan dan semangat positif. - Foto ASTRO

Bukan mudah mendapat peminat yang setia dan sanggup melakukan apa sahaja bagi melihat bintang kegemaran mereka sampai ke peringkat akhir peraduan realiti, Gegar Vaganza 11 (GV11).

Itulah yang dirasakan penyanyi, Ning Baizura Sheikh Hamzah, 49 tahun, sepertimana dikongsi dalam satu wawancara video dalam talian, Majalah Remaja.

Wawancara tersebut turut menampilkan seorang peminat setianya yang hanya ingin dikenali sebagai Ijah, yang menawarkan diri untuk menjadi pentadbir bagi kelab peminat Ning, HappeNing.

“Dari mengikuti perkembangan Kak Ning di Instagram, saya tahu Kak Ning tak suka makan benda manis dan pedas. Dia suka bersenam.

“Selera makanannya adalah kerana nak menyanyi dengan baik. Justeru, perlu elakkan makanan pedas,” jelas Ijah.

Ning yang ada di sisinya menambah:

“Saya sebenarnya bersyukur dapat peminat macam Ijah. Dah lama tak rasakan semangat peminat yang sanggup beri kita semangat untuk bertanding dalam GV11.

“Memang saya suka berkongsi di Instagram tentang persiapan saya dalam peraduan ini. Saya perlu kuatkan stamina dan makan yang berkhasiat agar saya dapat fokus.

“Secara mental pun, otak kita kuat menangani segala cabaran pertandingan.”

Menurut Ning, yang layak ke peringkat akhir GV11 pada 9 Februari setelah meraih tempat keempat di peringkat separuh akhir dengan markah 67.4 peratus, apabila Ijah menawarkan diri menjadi pentadbir kelab peminat, beliau rasa berbesar hati.

“Saya memanglah ada pembantu dalam mengurus pentadbiran kelab peminat tetapi apa salahnya kalau Ijah juga sama-sama nak menolong?” kata Ning.

Menurut Ijah, apa yang membuatnya terharu ialah apabila Ning sanggup melayan peminat di WhatsApp sampai subuh.

“Biasanya, selepas peraduan, Kak Ning akan kirim pesanan kepada kami semua dan hantar gambar kami. Tapi dia sanggup layan soalan kami sampai subuh... itulah yang bikin terharu,” ujar Ijah.

Dalam pada itu, Ning bukan sahaja melayan kelab peminatnya, malah bintang lain seperti Fairuz Selamat yang terkandas di peringkat suku akhir.

“Saya suka layan peminat peserta lain juga, khususnya, bintang-bintang lama macam Fairuz.

“Sebenarnya, saya amat terharu melihat kesungguhan semua peminat. Mereka bikin kuih, buat kemeja-T khas serta kain rentang dan sama-sama nyanyi lagu kita sebelum pertandingan. Siapa tak suka?” kata Ning.

Ijah pula tidak kisah kalau bintang kesayangannya itu beramah-tamah dengan kelab peminat peserta lain terlebih dahulu.

“Kami tahu Kak Ning peramah dan suka beri dorongan kepada orang lain. Tak apalah.

“Kita pun sanggup tunggu. Kalau Kak Ning dah habis jumpa kelab peminat penyanyi lain, masanya kemudian tertumpu untuk HappeNing!” kata Ijah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg