Selama beberapa bulan selepas perceraiannya, Encik Muhammad Irwan Mustafa, merasakan dirinya gagal sebagai seorang bapa.
Sebagai bapa tunggal selama sekitar dua tahun, Encik Irwan, 35 tahun, bergelut bagi memenuhi keperluan dua anak lelakinya yang berusia empat dan lima tahun sambil menangani perangai mereka yang sukar dijangka.
Selain itu, pertengkaran yang kerap dan keletihan yang berpanjangan membuatkan keadaan di rumah seolah-olah semakin sukar dikawal, membuatnya semakin hilang arah.
“Memang sangat penat. Mengapa saya perlu buat semua ini? Ini kerja seorang ibu,” katanya, mengimbas kembali hari-hari awal ketika rasa kecewa menguasai diri.
Tanpa sebarang panduan, Encik Irwan bertindak keras apabila anak-anaknya mengamuk, namun ini hanya membuat keadaan bertambah buruk.
“Lagi kuat saya marah, lagi banyak hal mereka buat. Saya memang cepat naik angin, tapi akhirnya saya sedar saya perlu ambil pendekatan berbeza,” tambahnya.
Encik Irwan menjadi bapa tunggal kira-kira dua tahun lalu (2023) selepas hubungan beliau dan bekas isterinya semakin renggang dan akhirnya bercerai.
Beliau mendapat hak penjagaan dua anak lelakinya, tetapi bukan dua anak tiri perempuan, yang telah lama dianggap seperti darah dagingnya sendiri.
Keruntuhan mahligai yang dibina dan kehilangan anak tiri yang dibesarkannya menyebabkan identitinya sebagai seorang bapa terasa seolah-olah musnah.
Selepas perceraian, beliau berasa seperti “kembali ke titik permulaan”, kali ini membesarkan dua anak lelaki yang aktif, masing-masing dengan keperluan dan perangai berbeza.
Mengimbangi kerja dan tanggungjawab menjaga anak menambah tekanan, sehingga Encik Irwan akhirnya kehilangan pekerjaan sebagai ejen kargo kerana kerap tidak hadir ke kerja untuk menjaga anaknya.
Beliau kemudian bertugas sebagai penghantar makanan yang memberinya lebih fleksibiliti, tetapi beban emosinya masih terasa berat.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Encik Irwan pada mulanya enggan mendapatkan bantuan.
“Sebagai seorang lelaki, saya mempunyai ego dan rasa malu mahu dapatkan pertolongan,” ujarnya.
Malah, beliau cuba belajar melalui video keibubapaan dalam talian, tetapi tidak pernah pasti sama ada kaedah yang digunakan itu betul atau tidak.
Tekanan yang dirasai sering membuatkannya hilang sabar, mencetuskan kitaran yang ingin diakhiri.
Namun, beliau tidak tahu bagaimana.
Encik Irwan akhirnya diperkenalkan pengetua sekolah anaknya kepada pertubuhan tidak meraih untung, KidSTART.
Pertubuhan itu menyokong ibu hamil dan memperkasa keluarga berpendapatan rendah dengan teknik keibubapaan bagi meraih hasil perkembangan positif bagi kanak-kanak berumur hingga enam tahun.
Pada mulanya, Encik Irwan menolak cadangan tersebut, tetapi selepas seorang rakan rapat yang juga seorang bapa tunggal meyakinkannya untuk mengetepikan ego, barulah beliau mula mempertimbangkan bantuan.
“Saya rasa kalau saya tidak dapatkan bantuan dan terus ikutkan ego saya, keadaan di rumah pasti jadi lebih buruk,” katanya, yang menyertai KidSTART pada Jun lalu (2025).
Pengamal KidSTART kemudian memperkenalkan Encik Irwan kepada ‘gentle parenting’ atau gaya keibubapaan berlembut, serta komunikasi berkesan.
Daripada bertindak mengikut gerak hati apabila anak mengamuk, Encik Irwan mempelajari untuk berhenti seketika, memerhati, mengakui emosi anak, dan bertindak balas dengan tenang.
“Perubahan tidak berlaku dalam sehari, tetapi saya mula melihat perbezaan, bukan hanya pada anak saya, tetapi pada diri sendiri,” akuinya.
Detik-detik yang dahulunya menjadi punca jeritan kini berubah menjadi peluang untuk saling memahami.
Encik Irwan baru-baru ini telah berkahwin semula dan kini tinggal bersama anak-anaknya di rumah empat bilik milik rakan kakaknya di Tampines, sementara menunggu unit Bina Ikut Tempahan (BTO) beliau siap.
Meskipun hidupnya masih mencabar, Encik Irwan kini lebih yakin dan sabar sebagai seorang bapa.
“Anak-anak saya ialah syurga saya. Mereka yang membuat saya mahu jadi bapa yang lebih baik.
“Dulu, saya fikir saya perlu buat semuanya seorang diri. Tetapi menjadi ibu bapa yang baik tidak bermaksud kita tidak boleh minta bantuan. Saya cuma perlu ketepikan ego,” terangnya.
“
“Anak-anak saya ialah syurga saya. Mereka yang membuat saya mahu jadi bapa yang lebih baik. Dulu, saya fikir saya perlu buat semuanya seorang diri. Tetapi menjadi ibu bapa yang baik tidak bermaksud kita tidak boleh minta bantuan. Saya cuma perlu ketepikan ego.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg