Walaupun ramai ibu bapa bimbang sama ada anak mereka sudah bersedia membaca atau menulis menjelang Darjah 1, mereka sepatutnya memberi perhatian kepada kesediaan emosi, kebolehan berdikari, dan kebiasaan anak dengan rutin harian.
Demikian menurut beberapa pakar yang dihubungi Berita Harian (BH).
Mereka rata-rata menegaskan kanak-kanak yang rasa selamat, yakin, dan disokong, lebih cenderung menyesuaikan diri dengan baik semasa Darjah 1.
Ini walaupun mereka menghadapi kebimbangan, rasa cemas berpisah daripada ibu bapa, atau cabaran mengurus diri sendiri pada peringkat awal.
Menurut Pakar Psikologi Kanan di Jabatan Pediatrik, Hospital Universiti Nasional (NUH), Cik Noor Hafizah Wahianuar, ramai ibu bapa masih menekankan aspek akademik.
Beliau berkata salah faham paling biasa dalam kalangan ibu bapa adalah menyangka kesediaan ke sekolah adalah sama dengan kesediaan akademik.
“Sebenarnya, yang lebih penting ialah anak mempunyai kemahiran untuk berdikari di sekolah, seperti boleh mengurus diri sendiri, menyuarakan keperluan mereka, mengikut arahan, serta tahu berinteraksi dengan rakan sebaya,” jelas Cik Noor Hafizah.
Kebimbangan berpisah dengan ibu bapa, rasa takut terhadap guru, konflik dengan rakan sebaya, atau hanya lebih menyukai kegiatan di luar sekolah, ialah antara punca biasa kanak-kanak enggan pergi ke sekolah, ujar beliau.
Menurut Cik Noor Hafizah, ibu bapa boleh membantu dengan berbual dengan anak tentang ketakutan mereka, menggunakan lukisan atau bercerita untuk meneroka perasaan, serta mengajar strategi menenangkan diri seperti pernafasan, mengira hingga 10, atau bercakap positif kepada diri sendiri.
“Jika seorang kanak-kanak sudah menunjukkan tanda mereka enggan ke sekolah, meletakkan terlalu banyak tekanan terhadap prestasi akademik sejak awal tahun boleh memburukkan keadaan.
“Sebaliknya, galakkan dan puji anak atas usaha mereka untuk hadir ke sekolah, dan bantu mereka rasakan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan,” nasihatnya.
Selain itu, Cik Noor Hafizah menyarankan agar membiasakan anak dengan rutin dan membuat persiapan awal untuk membantu mengurangkan kebimbangan mereka apabila sekolah bermula.
Ia termasuk membeli makanan sendiri semasa waktu rehat, mengunjungi sekolah atau menunjukkan gambar lokasi penting seperti dewan, pejabat sekolah, kantin, dan bilik darjah, yang boleh membantu anak rasa lebih selesa dengan persekitaran sekolah.
Pakar Strategi Keibubapaan dan pengasas Cool Parenting Studio, Cik Haryani Bakri, menekankan ketenangan ibu bapa menjadi faktor utama yang membantu anak berasa selamat dan yakin.
Menurutnya, ibu bapa sememangnya mahu semuanya berjalan lancar untuk anak mereka di Darjah 1, namun jika terlalu banyak perkara dilakukan untuk anak, ia boleh memberi mesej secara tidak langsung bahawa anak tidak mampu mengurusnya sendiri.
“Saya sering berkongsi dengan ibu bapa ketenangan mereka adalah pelindung emosi bagi anak mereka.
“Walaupun kita mungkin menyangka anak tidak perasan, mereka sebenarnya sangat peka terhadap nada suara dan bahasa tubuh kita.
“Apabila seorang dewasa kekal tenang, anak mereka biasanya lebih cepat menenangkan diri kerana mereka dapat rasakan perasaan ibu bapanya,” terang Cik Haryani.
Menurut beliau, memberikan anak tanggungjawab kecil di rumah juga boleh membantu mereka membina keyakinan.
Beliau mengesyorkan melibatkan mereka dalam tugasan mudah, seperti menyediakan seragam dan beg sekolah, serta mewujudkan rutin konsisten untuk waktu tidur dan makan.
Refleksi ringkas pada waktu malam juga boleh menyokong penyesuaian emosi, agar anak dapat berkongsi satu perkara positif dan satu cabaran daripada hari tersebut.
Guru Kanan di Sekolah Rendah Yishun, Cik Wong Pei Fen, memberi jaminan tumpuan utama pihak sekolah semasa beberapa minggu pertama persekolahan bukan kepada akademik, tetapi lebih kepada membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan rutin dan berinteraksi dengan rakan sebaya.
Sekiranya murid enggan ke sekolah, Cik Wong berkata guru bekerjasama rapat dengan ibu bapa untuk mengenal pasti punca isu – sama ada kebimbangan perpisahan, ketakutan terhadap perkara yang tidak diketahui, atau kesukaran menyesuaikan diri dengan rutin.
“Ibu bapa digalak berbual dengan anak setiap hari tentang pengalaman mereka di sekolah dan berempati dengan mendengar perkongsian anak secara aktif, menggalakkan mereka berkongsi secara terbuka apabila menghadapi sebarang masalah, serta memberikan perhatian dan sokongan.
“Di rumah, ibu bapa boleh mewujudkan rutin konsisten, memastikan anak mendapat rehat yang mencukupi, serta mengukuhkan tabiat positif yang menyokong pembelajaran dan nilai yang diterapkan di sekolah,” sarannya.
Selain itu, Cik Wong berkata ibu bapa juga perlu mengehadkan masa anak menggunakan peranti digital dan memastikan penggunaan tersebut sentiasa dipantau.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh menetapkan had masa kurang dari sejam sehari bagi kandungan pendidikan untuk kanak-kanak hingga enam tahun, selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan (MOH).
Menurut Cik Wong, murid yang dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah biasanya boleh mengenal pasti dan meluahkan perasaan mereka, menggunakan kaedah sihat untuk menenangkan diri apabila berasa tidak selesa, kekal fokus dalam kelas, serta bergaul dengan rakan sebaya secara positif.
“Sebaliknya, murid yang menghadapi kesukaran menyesuaikan diri mungkin sering menangis, terlalu bergantung kepada ibu bapa, cemas untuk ke sekolah, atau mengalami ketidakselesaan fizikal seperti sakit perut dan gangguan tidur.
“Tanda lain termasuk sukar mengikuti rutin kelas, menjauhkan diri daripada rakan, menunjukkan tingkah laku kasar, atau mempunyai perasaan negatif terhadap sekolah yang berlarutan melebihi tempoh penyesuaian biasa selama beberapa minggu,” kongsinya.
Para pakar menekankan keselamatan emosi, kebolehan berdikari, dan kebiasaan dengan rutin harian, menjadi faktor utama bagi anak menyesuaikan diri dengan baik di Darjah 1, bukannya pencapaian akademik.
Selain itu, ibu bapa dinasihatkan agar memberi sokongan tenang di rumah, membimbing anak menghadapi cabaran kecil secara sendiri, dan bekerjasama dengan guru bagi memastikan peralihan ke sekolah berjalan lancar.
1) Utamakan persiapan emosi
– Bincang dengan anak tentang perasaan mereka dan akui kebimbangan mereka.
– Gunakan lukisan, cerita, atau permainan untuk meneroka emosi anak.
2) Galakkan kebolehan berdikari
– Libatkan anak dalam rutin harian seperti menyediakan seragam dan beg sekolah.
– Beri tanggungjawab kecil dan puji usaha mereka untuk membina keyakinan diri.
3) Biasakan dengan rutin harian
– Latih anak dengan rutin tidur, sarapan, dan persiapan pagi.
– Buat persiapan sekolah seperti menyemak buku dan botol air sehari sebelum sekolah.
4) Kurangkan tekanan akademik
– Beri tumpuan kepada usaha dan penyesuaian anak, bukan prestasi akademik.
– Sokong mereka dalam menghadapi cabaran kecil sendiri tanpa terus campur tangan.
5) Ketenangan ibu bapa penting
– Nada suara dan bahasa tubuh ibu bapa memberi kesan besar kepada anak.
– Kekal tenang dan positif kerana anak dapat rasa perasaan ibu bapa.
6) Jalin komunikasi dengan sekolah
– Sentiasa berbual dengan guru untuk memahami perkembangan anak.
– Ikuti nasihat guru dan bekerjasama dalam membina pengalaman positif anak.
7) Hadkan penggunaan peranti digital
– Tetapkan masa kurang dari sejam sehari untuk kandungan pendidikan.
– Sentiasa pantau penggunaan peranti bagi memastikan interaksi yang sihat.
“
“Jika seorang kanak-kanak sudah menunjukkan tanda mereka enggan ke sekolah, meletakkan terlalu banyak tekanan terhadap prestasi akademik sejak awal tahun boleh memburukkan keadaan. Sebaliknya, galakkan dan puji anak atas usaha mereka untuk hadir ke sekolah, dan bantu mereka rasakan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg