Ibu bapa kini boleh menjadikan Al-Quran sebagai panduan harian untuk anak dengan lebih mudah menerusi aplikasi web baharu yang membolehkan mereka mendapatkan bimbingan berdasarkan ayat suci, tanpa perlu memahami bahasa Arab.

Demikian matlamat di sebalik, Doa Bersama, yang dilancarkan pada Jun oleh syarikat teknologi keibubapaan hrtg, bagi membantu keluarga Muslim menjadikan Al-Quran sebahagian daripada kehidupan seharian dengan cara yang lebih mudah diakses.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berpangkalan Singapura itu, Encik Rizky Budiyanto, memberitahu Berita Harian (BH), aplikasi tersebut diwujudkan untuk membantu kanak-kanak mendekati Al-Quran, bukannya menggantikan pembelajaran agama secara formal.

Menurut Encik Rizky, 41 tahun, idea itu tercetus selepas beliau menyedari ramai orang, termasuk dirinya sendiri, sering mendapatkan nasihat melalui wadah kecerdasan buatan (AI), namun tidak mempunyai cara mudah untuk merujuk kepada Al-Quran apabila berdepan dengan cabaran kehidupan.

“Kalau kita boleh bertanya kepada ChatGPT untuk mendapatkan nasihat, kenapa tidak bertanya terus kepada Al-Quran sebagai panduan hidup?

“Saya berharap aplikasi ini dapat menjadi batu loncatan supaya lebih ramai orang terdorong mendekati Al-Quran,” ujarnya.

Pengguna boleh mengemukakan pelbagai persoalan kehidupan (kiri) sebelum dipadankan dengan ayat Al-Quran, lengkap dengan penerangan dan cadangan surah untuk dijadikan renungan (kanan).
Pengguna boleh mengemukakan pelbagai persoalan kehidupan (kiri) sebelum dipadankan dengan ayat Al-Quran, lengkap dengan penerangan dan cadangan surah untuk dijadikan renungan (kanan). - Foto HRTG

Menerangkan penggunaan, Doa Bersama, Encik Rizky berkata pengguna boleh mengemukakan pelbagai soalan mengenai kehidupan, sebelum dipadankan dengan ayat Al-Quran yang berkaitan, lengkap dengan penerangan ringkas, serta cadangan surah untuk dijadikan renungan.

“Saya berharap amalan mengemukakan soalan secara konsisten bukan sahaja membantu kanak-kanak membiasakan diri merujuk kepada Al-Quran, tetapi juga dapat memupuk sifat ingin tahu terhadap ajaran agama sejak kecil,” kongsinya.

Doa Bersama, turut menawarkan doa harian secara rawak, ciri menyimpan doa kegemaran, serta unsur permainan, seperti pencapaian dan ganjaran bagi menggalakkan kanak-kanak terus mempelajari doa baharu.

Aplikasi itu, yang menawarkan kandungan dalam bahasa Inggeris dan Indonesia, boleh digunakan secara percuma, manakala beberapa ciri tambahan seperti refleksi harian, kandungan audio, dan fungsi perkongsian keluarga ditawarkan menerusi langganan.

Namun, pengguna menggunakan versi percuma hanya boleh mengemukakan sebanyak lima soalan sehari.

Encik Rizky berkata pasukannya sedang membangunkan ciri baharu yang memadankan pengguna dengan hadis berkaitan supaya mereka memperoleh pemahaman yang lebih menyeluruh.

‘Doa Bersama’ boleh digunakan secara percuma tetapi ciri tambahan seperti refleksi harian, kandungan audio, dan fungsi perkongsian keluarga ditawarkan menerusi langganan.
‘Doa Bersama’ boleh digunakan secara percuma tetapi ciri tambahan seperti refleksi harian, kandungan audio, dan fungsi perkongsian keluarga ditawarkan menerusi langganan. - Foto TANGKAP LAYAR LAMAN WEB HRTG

Selain menerusi komputer, Doa Bersama, boleh diakses di telefon bijak dan tablet, tanpa mengira sama ada pengguna menggunakan sistem pengendalian Android atau iOS.

Menurut Encik Rizky, hasil semakan yang dilakukannya mendapati belum ada aplikasi seumpama itu dibangunkan di Singapura, sekali gus mendorong beliau menghasilkannya.

Bapa kepada seorang anak perempuan berusia lima tahun itu berkata Doa Bersama menyasar golongan ibu bapa yang ingin menerapkan amalan agama dalam kehidupan anak melalui tabiat harian yang mudah dipupuk.

“Saya sedar anak saya masih kecil dan mungkin belum benar-benar memahaminya, tetapi saya percaya tabiat yang baik perlu dibina sedikit demi sedikit.

“Saya rasa pembelajaran Al-Quran selalunya dilihat sebagai sesuatu yang hanya akan diberi perhatian apabila seseorang semakin berusia.

“Oleh itu, saya berharap teknologi dapat membantu mengubah persepsi tersebut dan menjadikan Al-Quran lebih mudah didekati oleh generasi muda,” kata beliau.

Aplikasi, Doa Bersama, boleh dikases menerusi pautan, https://doabersama.me/

“Kalau kita boleh bertanya kepada ChatGPT untuk mendapatkan nasihat, kenapa tidak bertanya terus kepada Al-Quran sebagai panduan hidup? Saya berharap aplikasi ini dapat menjadi batu loncatan supaya lebih ramai orang terdorong mendekati Al-Quran.”
Encik Rizky Budiyanto, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), syarikat teknologi keibubapaan, hrtg.