‘Boot camp’ persiap anak jalani ujian masuk madrasah
Lebih ramai ibu bapa hantar anak persiap diri hadapi ujian masuk darjah satu madrasah; Muis: Kadar kemasukan madrasah mencukupi untuk penuhi keperluan masyarakat
Persaingan masuk ke Darjah 1 di madrasah tempatan sepenuh masa menjadi semakin sengit sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kian ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke program dan kelas persediaan.
Beberapa pusat pendidikan yang menawarkan khidmat itu memberitahu Berita Minggu (BM) ibu bapa yang berminat memasukkan anak ke madrasah kini lebih cenderung menghantar anak mereka mengikuti kelas persediaan untuk Ujian Kemasukan Madrasah (MET).
MET merupakan ujian yang menilai kesediaan kanak-kanak untuk mengikuti pembelajaran di madrasah sepenuh masa, merangkumi aspek akademik dan asas pendidikan Islam.
Salah satu daripada pusat pendidikan tersebut, Our Little Ummah Learning Centre, melaporkan peningkatan berganda dalam bilangan kelas yang ditawarkan sepanjang tujuh tahun lalu.
Sementara itu, Little Imtiyaz Centre berkembang daripada menyokong hanya empat pelajar bagi setiap kumpulan pada 2016 kepada lebih 100 pelajar yang mengikuti program fizikal dan dalam talian hari ini.
Future Khulafa pula telah memperluaskan kurikulumnya agar selaras dengan keperluan penuh MET, serta memperkenalkan program peralihan bagi pelajar yang berjaya lulus MET tetapi memerlukan persiapan tambahan untuk memasuk Darjah 1.
BM difahamkan program persediaan bagi MET lazimnya bermula sekitar usia empat tahun atau pada peringkat tadika. Ada yang menyediakan sesi ‘boot camp’ atau latihan lebih intensif menjelang ujian tersebut.
“Pada masa inilah kanak-kanak biasanya mula membina keupayaan berdikari dan lebih selesa berjauhan daripada ibu bapa dalam suasana bilik darjah,” jelas pengasas bersama Future Khulafa, Cik Sharifah Fatimah Azzahra Alhadad.
Namun begitu, asatizah di Our Little Ummah Learning Centre, Ustazah Nurulhuda Sulaimun, berkata pusatnya menerima sambutan menggalakkan selepas memperkenalkan program dwibahasa Arab dan Inggeris untuk kanak-kanak berusia 18 bulan.
Menurut tinjauan BM, terdapat sekurang-kurangnya 10 pusat di sini yang menawarkan kelas persediaan MET, sama ada dalam bentuk kelas fizikal, dalam talian, atau kedua-duanya.
Menjawab pertanyaan BM berhubung trend permohonan ke madrasah sepenuh masa, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyatakan bahawa tahap kemasukan madrasah ketika ini mencukupi bagi memenuhi keperluan masyarakat.
Jurucakap Muis berkata madrasah sepenuh masa secara keseluruhan menyediakan sehingga 400 tempat bagi Darjah 1 setiap tahun, dengan purata sekitar 500 permohonan diterima setiap tahun.
Bagi madrasah tertentu seperti Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, jurucakapnya berkata permintaan adalah lebih tertumpu, dengan jumlah permohonan biasanya mencecah dua kali ganda daripada 70 tempat yang ditawarkan.
Setakat ini, kurikulum di madrasah sepenuh masa merangkumi kedua-dua mata pelajaran sekular dan keagamaan, lantas menjadikan waktu persekolahan lebih panjang berbanding sekolah kebangsaan.
Antara mata pelajaran yang ditawarkan di madrasah ialah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Al-Quran, serta beberapa mata pelajaran pengajian Islam lain seperti fiqh, hadis, tauhid dan akhlak.
Pakar pendidikan dan keibubapaan berkata proses kemasukan ke madrasah bertujuan mempersiapkan pelajar dan ibu bapa secara mental terhadap kurikulum yang bakal dilalui murid.
Ibu bapa disyorkan menilai adakah anak mereka mampu mengikuti pendidikan madrasah, dan tidak menganggap anak tidak mampu membesar dengan asas agama kukuh jika menuntut di sekolah aliran utama.

