Bapa ingin kongsi nilai hidup dengan anak melalui koleksi video peribadi
Bapa ingin kongsi nilai hidup dengan anak melalui koleksi video peribadi
Lima hari selepas kelahiran anak perempuannya, Encik Rizky Budiyanto berdiri di sebuah taman permainan berhampiran rumahnya dan merakam satu video ringkas.
Tiada nasihat atau kata-kata berbunga dalam video itu, tetapi sekadar seorang bapa yang masih terkesima, meluahkan rasa syukur kerana anaknya lahir dengan sihat dan selamat.
“Perasaan itu masih sangat segar. Saya mahu dia tahu betapa saya dan isteri menyayanginya sejak hari pertama,” ujar Encik Rizky, 41 tahun.
Video itu merupakan antara puluhan rakaman yang kini disimpan dalam arkib digital peribadinya, memuatkan koleksi pesanan dan pelajaran hidup yang satu hari nanti akan ditonton oleh anaknya, Aurora Budiyanto, yang kini berusia empat tahun, apabila dia dewasa.
Bagi Encik Rizky, rakaman itu bukan sekadar kenangan, tetapi satu usaha untuk memastikan anaknya membesar dengan panduan di dalam dunia yang semakin bising dengan pelbagai pandangan dan nilai yang bersaing di media sosial.
“Kita semua hidup dalam ‘algoritma’ sendiri. Apa yang kita suka, itu yang kita lihat. Tetapi di luar itu ada dunia lain.
“Saya mahu anak saya tahu bagaimana cara saya melihat dunia supaya dia ada titik rujukan apabila dia keliru,” jelasnya.
Dorongan untuk Encik Rizky merakam pesanan tersebut datang daripada pengalaman peribadi yang meninggalkan kesan mendalam.
Warganegara Indonesia itu kehilangan bapanya yang sebelum ini bekerja selama kira-kira 30 tahun dalam sektor korporat.
Encik Rizky selalu menyangka mereka masih mempunyai banyak masa untuk berbual dan belajar antara satu sama lain.
Penyesalan paling besar baginya ialah apabila arwah bapanya pernah meminta bantuannya dengan projek peribadi tetapi beliau menangguhkannya.
“Saya fikir bila beliau bersara nanti, barulah saya boleh luangkan masa dengannya tetapi ia tak pernah berlaku.
“Seminggu selepas ayah saya minta bantuan itu, beliau meninggal dunia. Itu membuat saya sedar… kita selalu fikir kita ada banyak masa tetapi sebenarnya kita tidak ada,” katanya dengan perlahan.
Kesedaran itulah yang kini mendorong Encik Rizky untuk tidak lagi menangguh apa-apa yang ingin disampaikan kepada anaknya.
“Kalau hari ini saya belajar sesuatu, saya rakam. Kalau esok saya tiada, sekurang-kurangnya pesanan itu masih ada,” tambahnya.
Ratusan video yang dirakam Encik Rizky untuk anaknya merangkumi pelbagai perkara, daripada nilai hidup, cara melihat kegagalan, hingga refleksi kecil tentang kehidupan seharian.
Namun, beliau menegaskan ia bukan garis panduan keras.
“Saya tidak mahu anak saya ikut semuanya. Saya cuma mahu dia tahu bagaimana ibu dan bapanya berfikir. Selebihnya, dia sepatutnya (cari jalan) sendiri,” terangnya.
Harapan Encik Rizky ialah untuk anak perempuannya bukan sahaja menerima pesanan itu, tetapi akan melakukan perkara sama pada satu hari nanti kepada anaknya sendiri.
Apa yang bermula sebagai video peribadi akhirnya berkembang menjadi sesuatu projek besar.
Dengan latar belakang hampir dua dekad dalam industri kreatif, Encik Rizky mendapati keperluan untuk sebuah ruang selamat bagi golongan ibu bapa menyimpan kenangan, pesanan, dan ilmu untuk anak mereka.
Itu mendorongnya untuk bekerjasama dengan seorang rakan untuk membangunkan aplikasi mudah alih yang berfungsi sebagai kapsul masa digital untuk keluarga.
Dipanggil Heritage, aplikasi itu membolehkan pengguna menyimpan video, audio, gambar, dokumen, atau teks dalam sistem yang disulitkan sepenuhnya.
Namun bagi Encik Rizky, aplikasi itu tetap berakar kepada perkara paling asas, iaitu hubungan antara ibu bapa dengan anak.
Menurutnya, pembangunan aplikasi itu kini dalam proses mengumpul dana dan versi beta dijangka siap pada suku pertama 2026.
Kini, sebagai seorang bapa, Encik Rizky mengakui beliau lebih sedar tentang kesan jangka panjang kehadiran atau ketiadaan seorang ibu bapa dalam kehidupan seorang anak.
“Kita selalu ingat zaman kanak-kanak, walaupun kita lupa apa yang berlaku dua minggu lepas. Itu menunjukkan betapa pentingnya tempoh awal kehidupan kanak-kanak.
“Dulu saya fikir kita ada banyak masa. Sekarang saya tahu, masa itulah yang paling berharga,” ujarnya.

