Dalam satu jamuan bersama penduduk di Blok 1, Hougang Avenue 3, perbualan di meja makan berkisar tentang masakan dan hidangan sebelum beralih kepada topik bau-bauan.

Namun, satu komen daripada seorang warga emas membuatkan Cik Nur Aliyah Mohammad Noor Azman, 22 tahun, terdiam seketika, diselubungi rasa ingin tahu.

Dalam bisikan wanita itu, terselit nada kurang senang terhadap bau yang terhasil apabila jiran yang memasak lauk kari.

“Apabila beliau mengatakannya begitu, muncullah suatu ilham dalam minda.

“Saya tahu perkara itu bukan sesuatu yang dimaksudkan untuk dikongsi secara terbuka.

“Malah, itulah yang membuatkan saya tertanya-tanya tentang rungutan yang biasanya hanya diluahkan kepada orang terdekat, dan mengapa perkara sedemikian wajar diteroka dengan lebih mendalam.

“Kenapa kita mempunyai fikiran sebegitu?” kata mahasiswi program Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Reka Bentuk untuk Masa Depan Sosial dari Maktab Seni Lasalle.

Apabila sesuatu bau itu mula dianggap ‘tidak menyenangkan’, dan siapakah pula gerangan di sebalik bau-bauan tersebut?

Ia persoalan yang menjadi titik permulaan projek akhir tahun Cik Aliyah.

Apa yang bermula sebagai perbualan tentang bau masakan ketika menghadiri sesi Makan Bersama, sebuah inisiatif pembinaan masyarakat yang menyokong penduduk flat sewa, kemudian berkembang kepada pelbagai jenis bau lain yang lahir daripada kegiatan harian di rumah, seperti bau rokok, amalan keagamaan dan rutin penjagaan diri. 

Diberi nama Can You Smell It Too?, projek tersebut membawanya berkunjung ke beberapa blok sewa di estet kejiranan Hougang sambil memerhati interaksi harian penduduk.

Menerusi perbualan santai bersama beberapa penduduk yang berehat di kolong blok, dengan bau rokok yang jelas di antara mereka, satu kesedaran mula berlegar dalam fikirannya.

Apakah yang berlaku apabila kita beralih daripada sekadar menyedari sesuatu bau kepada memahami kehidupan manusia di sebaliknya?

Merokok menjadi lebih daripada sekadar ketagihan bagi seorang penduduk Hougang. Ia cara untuk mengatasi masalah, mengenang kembali, dan mengisi ruang keseorangan semasa meluangkan masa bersama penduduk lain.
Merokok menjadi lebih daripada sekadar ketagihan bagi seorang penduduk Hougang. Ia cara untuk mengatasi masalah, mengenang kembali, dan mengisi ruang keseorangan semasa meluangkan masa bersama penduduk lain. - Foto NUR ALIYAH MOHAMMAD NOOR AZMAN

“Sebagai seorang yang tidak gemar bau rokok, saya sedar bahawa di sebalik tabiat itu, ada perkara yang lebih mendalam.

“Bagi sesetengah penduduk, ia cara untuk mengisi masa bersama orang lain… agar mereka tidak berasa keseorangan,” kata Cik Aliyah kepada Berita Harian (BH).

Dengan membingkaikan semula landskap bau kejiranan sebagai himpunan kisah yang dikongsi bersama, beliau mengumpulkan cerita tersebut dalam satu arkib audio yang merakam pengalaman hidup penduduk, sekali gus menyingkap kehidupan sosial yang wujud di sebalik setiap bau.

Sebuah zine atau majalah kecil turut dihasilkan sebagai panduan untuk mengatasi bau daripada jiran yang mungkin menimbulkan rasa kurang selesa. 

Namun, lebih daripada sekadar panduan, penerbitan itu mengajak pembaca untuk bertanya kepada diri sendiri dan menilai semula tanggapan mereka.

Antara soalan yang diajukan kepada pembaca termasuk ‘mengapa kita menjauhkan diri daripada bau tersebut?’ dan ‘bolehkah anda mendekatinya dengan rasa ingin tahu akan kewujudannya?’.

“Idea utama projek ini bukanlah untuk menjadikan individu itu serta-merta akrab dengan jirannya, tetapi untuk mengubah persepsi dan membina hubungan.

“Membuka ruang untuk bertegur sapa, mengukir senyuman, daripada terus tidak bersemuka dengan mereka.

“Saya rasa perubahan kecil seperti itu mampu mengubah keadaan persekitaran daripada sekadar kita saling menahan, merungut antara satu sama lain kepada benar-benar hidup bersama,” tambahnya.

“Idea utama projek ini bukanlah untuk menjadikan individu itu serta-merta akrab dengan jirannya, tetapi untuk mengubah persepsi dan membina hubungan. Membuka ruang untuk bertegur sapa, mengukir senyuman, daripada terus tidak bersemuka dengan mereka. Saya rasa perubahan kecil seperti itu mampu mengubah keadaan persekitaran daripada sekadar kita saling menahan, merungut antara satu sama lain kepada benar-benar hidup bersama.”
Cik Nur Aliyah Mohammad Noor Azman, mahasiswi Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Reka Bentuk untuk Masa Depan Sosial dari Maktab Seni Lasalle.