Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arrrora Salwa cekal tangani tohmahan netizen

Jan 7, 2025 | 5:30 PM
Arrora Salwa akur tidak akan mudah patah semangat dengan komen melulu netizen dalam talian yang menyebar fitnah bahawa beliau menggunakan khidmat bomoh untuk lolos dalam setiap pusingan ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11).
Arrora Salwa akur tidak akan mudah patah semangat dengan komen melulu netizen dalam talian yang menyebar fitnah bahawa beliau menggunakan khidmat bomoh untuk lolos dalam setiap pusingan ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11). - Foto ASTRO

Lumrahnya nasib peserta cantik dalam apa jua pertandingan realiti – mereka sama ada dipuji atau dikeji.

Itulah yang berlaku kepada peserta Gegar Vaganza 11 (GV11), Arrora Salwa, 39 tahun, atau nama sebenarnya, Salwa Md Razak.

Kasihan melihat pramugari Malaysia Airlines (MAS) yang kini sedang bercuti empat bulan bagi tuntutan GV11.

Awal-awal beliau memang dipuji netizen kerana memiliki wajah yang cantik menawan.

Tapi apabila minggu ke minggu berlalu dengan beliau masih bertahan sedangkan beberapa peserta lain seperti Nai Dinamik, Inka Christie, Yazid Lovehunters, Reshmonu dan Illa Sabry, tersingkir, nama baik Arrora pula diburukkan netizen dengan bermacam tohmahan.

Ada yang kata beliau menggunakan pendinding ‘Mak Esah’ (khidmat bomoh) untuk terus bertahan dalam pertandingan tersebut.

Mengulas isu itu dalam laporan Berita Harian Malaysia (BHM), Arrora berkata:

“Ada yang kata saya guna ‘Mak Esah’. Mereka kata, saya ‘mandrem’ (guna sihir). Pada saya, tak perlu pakai ‘Mak Esah’.

“Saya amalkan surah Al-Baqarah, ayat satu sampai lima. Lepas itu, ayat Kursi. Kemudian, ayat terakhir Al-Baqarah. Saya hafal.

“Insya-Allah, kalau orang nak buat apa-apa benda tak baik kepada kita, benda itu berbalik semula kena kepadanya.”

Pada 5 Januari, Arrora yang mendendangkan lagu Hindustan, Wada Karo Nahin Chodoge Tum Mera Saath, nyanyian asal Lata Mangeshkar dan Kishore Kumar, turut melihat sendiri kecaman netizen yang dibacakan Dina Nadzir, pengacara program susulan, Vazz Vaganza.

Ada yang berpendapat Arrora sewajarnya mendapat markah paling rendah dan bukannya Fairuz Selamat.

Arrora berada di tangga kelapan dengan markah 59.8 peratus, manakala Fairuz meraih markah 59.2 peratus di tangga kesembilan.

Apabila ditanya mengenai kecaman netizen, Arrora berkata:

“Saya adalah seorang insan yang cekal. Semakin menerima kecaman orang, semakin saya bersemangat nak buat yang terbaik.

“Tak apalah, orang nak beri saya pahala percuma. Saya takkan terjejas dengan apa kata-kata, tohmahan dan fitnah orang.”

Tiada penyingkiran berlaku pada konsert minggu ketujuh pada 5 Januari.

Arrora mara ke pusingan kelapan dengan tugasan menyanyikan lagu Siti Nordiana, Cinta Hanya Sandaran.

Fairuz, 39 tahun, pula diberi lagu Tan Sri S.M. Salim dan Datuk Zainal Abidin, Satu, bagi konsert minggu kelapan.

Tapi, tak habis-habis pula netizen mengecam sehingga ada dalam kalangan peminat Siti Nordiana yang khuatir Arrora merosakkan lagu bintang kesayangan mereka yang menjuarai GV2 pula.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg