Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas wartawan penyiar RTM ‘menyengat’ dengan kreativiti

Jan 7, 2025 | 3:30 PM
Zehra Zambri adalah peserta ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11), yang tampak tekal dan tidak gentar menyahut cabaran menyanyikan lagu lucu seperti ‘Hai Obat’ dan ‘Sua Sue Kemuning’.
Zehra Zambri adalah peserta ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11), yang tampak tekal dan tidak gentar menyahut cabaran menyanyikan lagu lucu seperti ‘Hai Obat’ dan ‘Sua Sue Kemuning’. - Foto ASTRO

Dari minggu ke minggu, ramai yang nampak usaha penyanyi dan mantan wartawan penyiar serta pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Zehra Zambri, menguasai pentas Gegar Vaganza 11 (GV11) dengan kreativiti persembahan.

Zehra, 37 tahun, sekali lagi tampil bertenaga dan bersahaja menyahut cabaran mendendangkan lagu lucu Tan Sri P. Ramlee, Hai Obat dan Sua Sue Kemuning, pada konsert minggu ketujuh GV11 pada 5 Januari.

Dua lagu itu dipetik daripada filem komedi, Nasib Do Re Mi.

Zehra muncul di tengah ruang auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) persis penjual jamu dan ubat-ubatan sebelum menyertai barisan penari di pentas untuk berdendang dengan mimik muka dan gerak laku lucu.

Juri tetap, Hetty Koes Endang, 67 tahun, menganggap nyanyiannya bersahaja dengan intonasi lucu yang konsisten.

Hetty merumuskan: “Nyanyian kamu aman malam ini...”, memberi gambaran Zehra boleh ke pusingan kelapan pada 12 Januari.

Apabila persembahannya dimuatnaikkan ke Instagram Astro Gempak, beberapa netizen sempat mengulas, menyatakan suaranya merdu dan layak bergelar juara mingguan.

Salah seorang daripada mereka yang menggunakan akaun ‘Cik Unggupurple’, menulis: “Merdu suara Zehra minggu ini. Ingat dia dapat Nombor 1, minggu ini.”

Ashtonnatalie28 pula menambah: “Zehra Zambri konsisten setiap minggu, ‘confirm’ Top 5 ke peringkat akhir.”

Pada akhirnya, Zehra berada di tangga keenam dengan markah 65.4 peratus.

Bagi konsert minggu kelapan kelak, beliau akan menyanyikan lagu dendangan asal Ellya Khadam, Kau Pergi Tanpa Pesan, yang pernah juga dipopularkan Datuk Sharifah Aini.

Zehra yang minat menyanyi sejak kecil pernah mencuba nasib dalam peraduan Malaysian Idol dan berada dalam kalangan 33 peserta terbaik musim pertama yang dimenangi juara GV9 dan All Stars GV (ASGV), Jaclyn Victor.

Tiga album irama pop etnik, Zehra Zambri (2005), Mari Bersama (2006) dan Tari Sahara (2010) pernah dihasilkan sepanjang penglibatan singkatnya dalam industri muzik Malaysia.

Pada 2006, lagu ciptaan Allahyarham Pak Ngah Suhaimi, Semalakama, terpilih untuk bertanding dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) bagi kategori ‘Etnik Kreatif’.

Beliau juga pernah memasuki peraduan Gadis Melayu di TV9 pada 2008 dan muncul sebagai salah seorang finalis peraduan yang mencari wanita Melayu moden yang masih mementingkan nilai warisan.

Zehra juga mencuba nasib dalam program Ikon Siarawan (Musim Ketiga), terbitan RTM, pada 2016, sebelum memulakan kerjaya penyiaran.

Pada November 2024, beliau mengambil keputusan berat meninggalkan kerjaya penyiaran untuk memasuki GV11, sebagai usaha kembali ke cinta pertamanya dalam bidang nyanyian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg