Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tersingkir: Perasaan Reshmonu, Illa Sabry, campur baur

Jan 1, 2025 | 5:30 AM
Reshmonu payah memikirkan faktor penyebab penyingkirannya dalam ‘Gegar Vaganza 11’ kerana sudah mencuba seberapa daya untuk menyanyi sambil menari di samping memanfaatkan ruang pentas untuk bercerita dalam lagu.
Reshmonu payah memikirkan faktor penyebab penyingkirannya dalam ‘Gegar Vaganza 11’ kerana sudah mencuba seberapa daya untuk menyanyi sambil menari di samping memanfaatkan ruang pentas untuk bercerita dalam lagu. - Foto ASTRO

Walau apa pun penilaian pengadil dan kesudahan keputusan, dua peserta Gegar Vaganza 11 (GV11), Reshmonu dan Illa Sabry, yang tersingkir pada konsert minggu keenam, enggan membiarkan kesedihan menyelubungi jiwa mereka.

Reshmonu, 48 tahun, atau nama sebenarnya, Hiresh Haridas, yang mendapat tempat ke-10 dengan markah 57.3 peratus, berkata: “Jangan risau. Bohonglah kalau saya kata saya tak sedih.

“Saya sedih meninggalkan keluarga besar saya di GV11 dan akan rindu nasihat dan panduan Datuk Ramli MS selaku ketua juri dan pengarah muzik.

“Tapi saya tetap gembira. Saya rasa Illa pun begitu. Kami memang ceria orangnya. Saya akan terus berkarya bahkan tak sabar nak anda dengar album baru saya pada 2025.”

Bapa tunggal tiga anak lelaki itu sentiasa melihat kehidupan secara positif dan optimistik, ibarat menggenggam secawan air yang separuh terisi daripada separuh kosong.

“Kalau guna perumpamaan Inggeris, ‘see the cup half full and not half empty’. Saya banyak belajar di GV11.

“Saya sudah berusaha sedaya baik. Saya menyanyi, saya menari. Saya rancang penggunaan pentas secara maksimum. Saya dapat komen positif daripada juri, Datuk Syafinaz Selamat.

“Jadi kalau anda tanya di mana silap atau kekurangan persembahan itu sampaikan tersingkir, saya payah menjawab,” ujarnya yang menyanyikan lagu ikonik Tan Sri P. Ramlee, Getaran Jiwa, dalam program susulan GV11, Vazz Vaganza.

Menurutnya, beliau lebih bersedih apabila melihat lagu yang ditugaskan kepadanya seandainya dapat ke pusingan ketujuh pada 5 Januari, iaitu lagu rakyat Terengganu, Watimang Landok, dendangan asal Ramli Ibrahim dan Habsah Jusoh.

“Wah! Macam menyeronokkan. Saya akan gunakan sepenuhnya pentas MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) kalau dapat nyanyi lagu ini,” ujar Reshmonu.

Sementara itu, Illa, 45 tahun, atau nama sebenarnya, Fasillah Sabry, yang mendapat tempat paling rendah iaitu ke-11 dengan markah 55.7 peratus, pula mengakui mendapat firasat gilirannya untuk tersingkir.

“Saya macam dah dapat rasa, saya akan tinggalkan pentas GV11 selepas Nai Dinamik, Inka Christie dan Yazid Lovehunters.

“Mungkin terpilih lagu yang susah seperti Bunga tetapi saya gembira sebab penyanyi asal, Ara Johari, datang tadi dan jumpa saya di belakang pentas.

“Saya banyak belajar di GV11. Ia pertandingan yang sangat besar dan saya tak boleh lupa. Ada pengalaman yang seronok dan ada yang macam ni (apabila tersingkir).

“Tapi saya okey sahaja sebab sebelum ini, tak pernah masuk sebarang pertandingan kecuali semasa kecil,” ujar Illa yang dikenali dengan lagu runut bunyi rasmi (OST) filem Gerak Khas, Keranamu Kekasih.

Menurutnya, rasa gementar berada di pentas besar auditorium MBSA, masih ada sebab beliau sudah 20 tahun meninggalkan bidang seni suara.

“Tapi gementar dah dapat atasi. Mungkin saya tak boleh nak fokus sebab lagu susah dan banyak benda dan keadaan peribadi bermain di fikiran.

“Kalau ditanyakan apakah saya akan teruskan perjalanan seni saya ini selepas GV11, tengoklah nanti. Saya kembali sebab nak ubati kerinduan terhadap peminat.

“Kalau ada tawaran lagu, adalah. Tapi kalau tak ada, mungkin ini satu penutup yang baik bagi kerjaya seni saya. Tak tahulah... dulu pun saya cakap nak berhenti terus daripada menyanyi tetapi saya kembali.

“Jadi saya tengoklah keadaan. Kita ikut sahaja apa yang akan berlaku mengikut ketentuan-Nya.

“Saya boleh merancang tetapi Tuhan yang tentukan,” katanya yang menjalankan perniagaan restoran masakan Melayu, Cik Gebu.

Kalau tidak tersingkir, Illa ditugaskan menyanyikan lagu sindir-sindir sayang, Dengar Ini Cerita, dendangan asal Anita Sarawak.

Katanya: “Alamak, terlepas nak tengok sisi garang saya kalau nyanyi lagu ni.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg