Artis Jepun, Takashi Murakami, pernah mengungkapkan sesuatu yang mendalam tentang makna menunggu.

Jam tangan rekaan pertamanya, daripada jenama baharunya Takashi Murakami Time Objects, dibina di Switzerland oleh satu pasukan yang tidak dapat dibantunya.

Beliau terpaksa mengelak daripada mengganggu kerja mereka.

“Ia seperti ketika isteri anda sedang melahirkan, dan sebagai suami, satu-satunya yang mampu dilakukan hanyalah berdoa,” kata Murakami, 64 tahun, kepada The Straits Times, menerusi jurubahasa, di hotel The Singapore Edition baru-baru ini.

Pameran jam tangan bebas Singapura, IAMWATCH – berlangsung dari 12 hingga 15 November di hotel yang sama – di mana Murakami melancarkan koleksi jam tangan tersebut.

Ini merupakan satu kenyataan yang agak mengejutkan daripada pengasas jenama popular Superflat, seorang tokoh seni kontemporari Jepun yang terkenal dengan gaya unik dan berani. 

Murakami menggabungkan unsur anime dan budaya otaku (golongan yang sangat meminati anime, manga dan permainan video) dengan seni tradisional zaman Edo (era dalam sejarah Jepun dari 1603 hingga 1868), sekali gus membawa perubahan besar kepada pasaran seni sejagat. 

Sepanjang tiga dekad, motif bunga pelbagai warna yang ‘tersenyum’, menjadi antara imej paling dikenali dalam dunia seni kontemporari.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Ia pernah dipamerkan di galeri dan muzium, serta pada barangan mewah termasuk beg, Louis Vuitton.

Beliau bukan jenis yang biasanya berdiam diri.

Pada 1996, beliau menubuhkan Kilang Hiropon di Tokyo, yang kemudian berkembang menjadi syarikat Kaikai Kiki.

Syarikat itu bukan sahaja menghasilkan karyanya dan menyokong bakat muda, malah turut mengembangkan perniagaannya ke bidang peruncitan, animasi dan perfileman. 

Murakami bukan sahaja seorang pelukis, beliau juga seorang usahawan.

Namun, beliau mahukan sesuatu yang belum pernah ditawarkan oleh mana-mana kerjasama sebelum ini.

Beliau ingin memiliki sebuah jam tangan yang benar-benar mencerminkan identiti dan cita rasanya sendiri. 

“Saya telah menyimpan impian untuk mencipta jam tangan saya sendiri sejak lebih 20 tahun lalu, tetapi saya tidak pernah menyangka ia mungkin tercapai,” katanya.

Hublot memberi peluang kepadanya untuk mencuba.

Kerjasama itu bermula pada 2021 dengan Classic Fusion Takashi Murakami All Black.

Ia kemudian menghasilkan Black Ceramic Rainbow pada 2023, dengan kelopak yang boleh berputar.

Ia merupakan satu susunan yang baik, namun katanya ia tidak lengkap sepenuhnya.

“Saya masih tidak dapat menganggap jam itu sebagai milik saya sepenuhnya,” katanya.

Walaupun ada harganya, memiliki jam tangan sendiri membolehkan seorang artis bercakap terus dengan pembuatnya dan menitikberatkan setiap butiran kecil, katanya.

“Sebagai seorang artis, butiran kecil itulah yang paling penting bagi saya,” tambah beliau. 

Peluangnya datang pada 2025 apabila Cik Miwa Sakai, mantan Presiden Hublot untuk Asia-Pasifik, meninggalkan syarikat itu.

Beliau meminta bantuannya. Cik Sakai menghubungi beberapa pengilang sebelum memperkenalkannya kepada tukang jam Switzerland, Encik Marco Tedeschi, yang pernah berkhidmat lebih sedekad di Hublot.

Turut merupakan bekas ketua Romain Jerome dan pengasas Kross Studio, Encik Tedeschi dikenali kerana sering mencabar norma tradisi dalam dunia horologi (seni membuat jam).

Pada ketika itu, idea awal Murakami masih di peringkat perancangan.

Apa yang beliau mahukan, menurutnya, ialah sebuah mesin kecil yang kompleks di pergelangan tangan, yang mampu membuatkannya berfikir tentang perjalanan masa.

Seseorang mencadangkan pelancaran di IAMWATCH, dan sejak itu tiada jalan untuk berundur.

Apa yang berlaku seterusnya ialah satu pecutan, memandangkan jam tangan sebegini biasanya mengambil sekurang-kurangnya 18 bulan untuk dibangunkan.

Bagi memastikan pelancaran di Singapura dapat dilaksanakan, pasukan yang biasanya bekerja secara berurutan kini bekerja secara serentak.

Pada dua minggu terakhir, mereka bekerja sepanjang malam.

Encik Tedeschi berkata: “Saya suka cabaran, dan ini satu cabaran yang hebat.”

Hasilnya ialah koleksi, Skull Flowers (Skull Flowers Cylindrical Jumping Hours Tourbillon) yang terdiri daripada lima jam tangan berbentuk tengkorak.

Setiap jam tangan mempunyai mata bunga yang berputar, paparan jam melompat dan tourbillon terbang (mekanisme untuk mengimbangi kesan graviti terhadap ketepatan jam).  

Terdapat lima jenis dalam koleksi ini: edisi Black Rainbow dan All Black, masing-masing terhad kepada 12 utas sahaja, serta tiga lagi tafsiran Full Pave yang dipenuhi permata.

Harganya ialah antara 85,000 dengan 148,000 Franc Switzerland ($130,600 hingga $226,800).

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti