Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis veteran harus bakar semangat, bukan perkecil bintang muda

Jan 25, 2025 | 5:30 AM
Man Bai (foto bawah) mengulas betapa Aina Abdul kekurangan faktor ‘killer song’ untuk bertahan lama dalam industri muzik di Malaysia, sesuatu yang diterima Aina dengan berlapang dada.
Man Bai (foto bawah) mengulas betapa Aina Abdul kekurangan faktor ‘killer song’ untuk bertahan lama dalam industri muzik di Malaysia, sesuatu yang diterima Aina dengan berlapang dada. - Foto INSTAGRAM AINA ABDUL/BERITA HARIAN MALAYSIA

Selepas tampil mengulas peraduan realiti kesukaan ramai, Gegar Vaganza 11 (GV11) membuang masa dan memalukan artis mapan, penyanyi Man Bai dari kumpulan Gersang, muncul lagi dengan komen sensasi.

Kali ini, Man Bai, atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Osman, 57 tahun, berkata di sebalik populariti Aina Abdul, beliau belum ada lagu malar segar atau ‘killer song’ yang akan membuatnya lebih bertahan dalam jangka masa panjang.

Menurut Man Bai yang pernah dipuja pada era 1980-an kerana lagu Gersang, Masih Aku Terasa dan Sunyi, beliau menghormati Aina dan Ernie Zakri dalam kalangan generasi bakat pelapis di Malaysia.

Cuma baginya, Ernie sedikit bertuah daripada Aina kerana memiliki lagu laris, Masing Masing, yang diminati di Nusantara.

Mujurlah, Aina, 31 tahun, atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, berlapang dada dan tidak mudah melatah dengan teguran Man Bai.

“Saya semestinya sedih kerana tidak tahu konteks wawancara itu. Jadi saya tak mahu berat sebelah dan membuat perkara ini menjadikan saya janggal apabila bertemu Man Bai.

“Saya masih baru dalam industri. Saya tidaklah sematang Man Bai. Jadi saya hormat pendapatnya dan menerimanya sepenuh hati.

“Kerana bagi saya, memang benar. Dalam industri, kita sebagai penyanyi, perlu ada satu ‘killer song’. Mungkin belum tiba masa saya memiliki ‘killer song’,” jelas Aina yang menyewa studio Man Bai untuk latihan setiap kali ingin membuat persiapan bagi konsertnya.

Sebenarnya, saya sendiri tidak tahu mengapa soalan tentang Aina ini diajukan wartawan seberang kepada Man Bai sebab ia boleh mencetus kontroversi yang tidak disangka dan dijangka.

Setelah Man Bai dengan bersahaja dan jujur mengulas tentang kesan GV11 pada artis mapan, macam-macam komen yang beliau terima daripada netizen dan juga ‘orang besar’ dalam peraduan itu, iaitu Ketua Juri, Datuk Ramli MS.

Bahkan, Ramli yang dipanggil mesra sebagai Tok Ram menganggap komen sebegitu datang daripada ‘tong kosong’.

Sebenarnya, bagi saya, secara peribadi, tidak salah untuk artis veteran menegur artis muda yang baru menempa nama dalam industri.

Tetapi komen itu haruslah wajar, tidak mengecilkan usaha atau hati sang penyanyi, yang pastinya bertungkus-lumus berkarya.

Macam Aina sendiri. Ada banyak lagunya yang terpahat di hati seperti Semalam, Sepi, Jangan Mati Rasa Itu, Terus Hidup, Berkunjung Di Hari Raya dan Sumpah.

Saya tetap menganggap Semalam dan Cinta Tak Pernah Tepat Waktu adalah ‘killer song’, sebab dari segi jumlah penstriman di Spotify ia sudah mencecah 13.7 juta kali (Semalam) dan 7 juta (Cinta Tak Pernah Tepat Waktu).

Berkunjung Di Hari Raya, dengan lirik yang ‘catchy’ (menarik perhatian ramai), juga menjana klip video parodi dan menjadi latar banyak video TikTok.

Zaman sudah pesat berubah manakala citarasa pengguna muda di Spotify juga berbeza.

Lagu malar segar tidak semestinya mendapat sambutan di platform digital yang lebih digunakan pendengar muzik era baru, daripada Generasi X, Y, Z dan Alpha.

Lagu-lagu Gersang yang saya anggap ‘killer’ dan masih menjadi sebutan dan siulan hingga ke hari ini iaitu Suratan Takdir, Masih Aku Terasa dan Sunyi lebih didengar di YouTube.

Bagaimanapun, kalau dilihat angka penstriman di Spotify, Suratan Takdir adalah yang paling banyak distrim iaitu sebanyak 7.2 juta kali, disusuli dengan Masih Aku Terasa sebanyak 4.4 juta kali.

Sunyi yang tetap lunak didengar pula hanya distrim sebanyak 284,000 kali.

Artis mapan boleh memainkan peranan sebagai mentor, membimbing artis muda dengan kata-kata nasihat agar terus tidak mati semangat berkarya walau apa jua cabaran melanda.

Pengalaman emas boleh dikongsi.

Usahakan kerjasama agar dapat pupuk semangat saling membantu, memberi laluan pada yang muda agar tampil berkarya dengan kesegaran minda dan idea luar biasa.

Artis muda pula tidak harus lupa diri dan jika ada kelebihan bakat mencipta lagu, apa kata pelawa yang veteran untuk bekerjasama berbekal pengalaman berdekad yang dimiliki?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg