Susah membaca, mengeja, menulis dan memproses maklumat.

Itulah antara cabaran yang dihadapi Encik Nuh Syazwan Muhammad Zulkarnaen, ketika baru memasuki sekolah rendah dahulu.

Pada waktu itu, memesan nasi ayam di kantin pun dirasakan amat sukar; beliau cuma mampu menunjuk dan mengangguk kepada petugas gerai.

Semasa di Darjah 3, Encik Syazwan disahkan mengalami disleksia dan mula mengikuti kelas di Persatuan Disleksia Singapura (DAS), cawangan Jurong Point.

Berkat kegigihannya serta sokongan orang di sekeliling, prestasi beliau di sekolah mula meningkat.

Beliau lulus Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) sebelum melanjutkan pengajian ke Sekolah Menengah Crest, diikuti Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan seterusnya Politeknik Singapura (SP).

Semasa di ITE dan SP, Encik Syazwan mengambil jurusan reka bentuk dalaman.

Hari ini, Encik Syazwan, 23 tahun, sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan selepas itu, bakal melanjutkan pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Anak sulung dalam keluarga tiga beradik itu telah mendapat tempat dalam jurusan seni bina landskap di universiti tersebut.

“Apabila seorang kanak-kanak disleksia menghadapi kesukaran, mereka fikir yang mungkin mereka tidak bagus, atau mereka lembap.

“Mereka mudah berputus asa dan kurang keyakinan diri,” kata Encik Syazwan, dalam wawancara sempena Bulan Kesedaran Disleksia pada Oktober.

“Ibu bapa perlu memberi peluang kepada anak-anak yang mengalami disleksia kerana kami belajar dengan cara yang berbeza.

“Kami memerlukan lebih perhatian dan masa untuk belajar.

“Itulah yang menjadikan kami unik,” tambahnya.

Menurut DAS, satu tinjauan ke atas 72 alumni persatuan itu pada 2022 dan 2025 mendapati enam daripada mereka sedang menuntut di universiti.

Dalam kalangan 20 responden yang sedang bekerja, tujuh telah mendapat ijazah peringkat sarjana muda atau sarjana.

Responden lain pula sedang menuntut di politeknik atau ITE – laluan pendidikan yang turut membuka peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Encik Syazwan minat melukis dan telah mendapat tempat dalam jurusan seni bina landskap di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Encik Syazwan minat melukis dan telah mendapat tempat dalam jurusan seni bina landskap di Universiti Nasional Singapura (NUS). - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Menyingkap zaman sekolah rendahnya, Encik Syazwan berkata beliau berasa kecewa dengan dirinya sendiri apabila melihat rakan-rakan dapat menyelesaikan tugasan dengan lebih cepat tanpa perlu lama memerah otak.

Sebaliknya, beliau perlu “belajar dua kali ganda lebih gigih dan perlu pergi ke kelas tambahan”.

Selain itu, terdapat juga salah anggap bahawa kanak-kanak disleksia tidak teliti dan pemalas.

“Pada waktu itu, keputusan peperiksaan saya sangat teruk.

“Ia sangat menjejas keyakinan diri saya kerana saya melihat rakan-rakan lain mendapat keputusan baik,” kata Encik Syazwan.

“Tetapi di DAS, saya melihat pelajar lain mempunyai isu sama.

“Saya rasa yang saya tidak bersendirian,” tambahnya.

Di DAS, Encik Syazwan bermula dengan mengenali huruf dan bunyinya, sebelum mengeja perkataan dan menulis ayat.

Menurutnya, topik yang diajar di sekolah juga diajar di DAS, cuma dalam cara yang lebih menarik dan lebih disesuaikan dengan keperluan pelajar.

Keputusan Encik Syazwan bertambah baik dalam setiap ujian yang didudukinya.

Apabila keputusan PSLE diumumkan, beliau dan kedua-dua ibu bapanya terkejut apabila mengetahui bahawa beliau berjaya lulus.

“Saya tak sangka yang saya boleh belajar dan lulus peperiksaan.

“Selepas itu, saya menjadi lebih terdorong untuk belajar, menghadiri lebih banyak kelas DAS dan lebih terbuka kepada orang lain,” katanya yang terus mengikuti kelas di DAS hingga selesai pengajian sekolah menengah.

Di politeknik, Encik Syazwan bimbang sama ada beliau boleh menyelesaikan tugasannya dalam masa yang diberikan dan sama ada penyampaiannya sewaktu pembentangan cukup baik.

Apabila perlu bekerjasama dengan pelajar lain daripada pelbagai latar belakang berbeza, beliau khuatir sama ada rakan-rakan memahami perkara yang ingin disampaikannya.

“Selalunya saya tidak memberitahu orang lain tentang disleksia yang saya alami.

“Jika ada yang bertanya, mengapa saya melakukan sesuatu dengan agak perlahan dan sebagainya, saya akan terangkan,” kata Encik Syazwan.

“Kemudian mereka akan tanya sama ada saya selesa melakukan tugasan tertentu, sama ada saya mempunyai cukup masa untuk menyelesaikannya atau sama ada saya perlukan bantuan.

“Keprihatinan dan kata-kata sokongan mereka mendorong saya untuk mendapatkan bantuan daripada mereka jika perlu,” tambahnya.

Menjelang kemasukan beliau ke universiti, Encik Syazwan tidak menafikan yang beliau masih mempunyai kekhuatiran yang sama, namun enggan melihatnya sebagai sesuatu yang negatif.

“Mengalami disleksia bukan bermakna seseorang itu kurang pintar atau tidak berupaya.

“Saya rasa orang ramai perlu kurang menumpukan perhatian pada cabaran yang dihadapi golongan yang mempunyai disleksia, sebaliknya memikirkan bentuk sokongan yang dapat membantu kami menyerlahkan keupayaan diri,” katanya.

Naila Naima Muhammad Taufiq telah mencatat banyak kemajuan dalam membaca dan mengeja sejak mengikuti kelas di Persatuan Disleksia Singapura (DAS).
Naila Naima Muhammad Taufiq telah mencatat banyak kemajuan dalam membaca dan mengeja sejak mengikuti kelas di Persatuan Disleksia Singapura (DAS). - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Seperti Encik Syazwan ketika kecil dahulu, Naila Naima Muhammad Taufiq, yang mengikuti kelas di cawangan DAS yang sama sejak 2025, juga berkata dia kadangkala susah membaca dan mengeja.

Disebabkan itu, murid sembilan tahun tersebut mendapati mata pelajaran Bahasa Inggeris paling sukar untuk dia fahami di sekolah.

“Kadangkala saya susah nak sebut perkataan, lebih-lebih lagi perkataan panjang.

“Jadi saya gunakan fonik (kaedah menghubungkaitkan bunyi tertentu dengan huruf tertentu).

“Orang lain pun boleh bantu saya membuatkan bunyi huruf.

“Kemudian saya boleh gabungkan bunyi menjadi perkataan,” kata Naila.

Ibunya, Cik Nur Azlina Subari, 37 tahun, berkata beliau sedar anak sulungnya itu mungkin mengalami kesukaran pembelajaran apabila keliru dengan huruf ‘b’, ‘d’, ‘p’ dan ‘q’ serta nombor ‘3’, ‘5’, ‘6’ dan ‘9’ ketika di Darjah 1.

Beliau membawa anaknya ke DAS untuk mendapatkan penilaian dan kini setelah lebih setahun mengikuti kelas di sana, Cik Nur Azlina berkata anaknya mencatat kemajuan yang baik.

“Sejujurnya, saya tidak mengejar keputusan akademik kerana saya tahu cabaran yang dia hadapi dan saya tahu di mana kekuatannya.

“Dia sangat kreatif dan berbakat dalam bidang seni.

“Dia juga sangat peka terhadap perkara-perkara di sekelilingnya,” kata Cik Nur Azlina.

Bagi kanak-kanak lain yang turut mengalami disleksia sepertinya, Naila berpesan agar mereka tidak perlu berasa terlalu bimbang.

“Kita boleh gunakan bunyi fonik dan ada guru-guru yang boleh membantu kita,” ujarnya.

Selain menawarkan sokongan bagi pelajar dengan disleksia, DAS sejak 2024 meluaskan khidmat campur tangannya untuk merangkumi pelajar yang tidak mempunyai diagnosis formal bagi keperluan pendidikan khas (SEN), seperti disleksia, tetapi menghadapi cabaran pembelajaran yang serupa.

Bagi tahun kewangan 2025/26, sekitar 82.5 peratus pelajar DAS mempunyai diagnosis disleksia, manakala baki 17.5 peratus tidak mempunyai diagnosis disleksia.

Dalam kalangan mereka yang tidak menerima diagnosis disleksia, sekitar separuh disarankan campur tangan literasi atau sokongan pendidikan khusus yang lain.

Bagi baki pelajar, penilaian mungkin mengenal pasti kelemahan dalam aspek literasi yang boleh disokong menerusi strategi pengajaran, atau menunjukkan bahawa faktor lain seperti bahasa, tumpuan atau kesukaran pembelajaran yang lebih luas perlu diteliti dengan lebih lanjut.

“Keputusan penilaian yang tidak menunjukkan diagnosis disleksia tidak semestinya bermakna seseorang kanak-kanak tidak memerlukan sokongan.

“Kami memberikan panduan kepada keluarga tentang langkah seterusnya berdasarkan hasil penilaian individu,” kata DAS.

  • Hari Kesedaran Disleksia Sedunia disambut pada 8 Oktober
  • Persatuan Disleksia Singapura (DAS) menyambut ulang tahun ke-35 pada 10 Oktober dengan pelancaran buku, ‘Learning Differently; Together’ di Punggol Coast Mall.
  • Setakat Ogos 2026, DAS sokong 2,888 pelajar dalam kumpulan sokongan disleksia, naik 6 peratus daripada 2,733 pada Ogos 2025
  • Setakat Ogos 2026, seramai 314 pelajar atau 9.8 peratus daripada jumlah 3,202 pelajarnya mempunyai perbezaan pembelajaran selain disleksia. Ia naik daripada 201 pelajar atau 6.9 peratus daripada jumlah 2,934 pada Ogos 2025.

“

“Apabila seorang kanak-kanak disleksia menghadapi kesukaran, mereka fikir yang mungkin mereka tidak bagus, atau mereka lembap. Mereka mudah berputus asa dan kurang keyakinan diri... Kami memerlukan lebih perhatian dan masa untuk belajar. Itulah yang menjadikan kami unik.”
Encik Nuh Syazwan Muhammad Zulkarnaen.

“

“Kadangkala saya susah nak sebut perkataan, lebih-lebih lagi perkataan panjang. Jadi saya gunakan fonik (kaedah menghubungkaitkan bunyi tertentu dengan huruf tertentu). Orang lain pun boleh bantu saya membuatkan bunyi huruf. Kemudian saya boleh gabungkan bunyi menjadi perkataan.”
Naila Naima Muhammad Taufiq.