Topik diikuti
Pergi ke BHkuPsoriasis, disleksia tidak halang pelajar capai keputusan cemerlang
Sewaktu mengulang kaji, berulang kali tubuhnya terasa gatal. Ketika sedang tekun menulis nota, tiba-tiba tergaru-garu pula kerana kegatalan satu badan.
Begitulah yang dialami Encik Muhammad Ahzaan Haqim Rahimee, 17 tahun, sebagai seorang pelajar yang menghidapi penyakit psoriasis – sejenis penyakit autoimun yang mengakibatkan tompok-tompok pada kulit dan boleh mengakibatkan kegatalan.
Menyingkap pengalaman itu, Encik Ahzaan yang merupakan pelajar Higher Nitec jurusan Kejuruteraan Elektrikal di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur berkongsi:
“Apabila saya mengulang kaji pelajaran ataupun sedang menjalani peperiksaan, saya akan mengalami rasa gatal-gatal pada kulit.
“Ketika saya menulis, setiap beberapa minit, saya terpaksa berhenti dan mula tergaru-garu kerana kulit rasa terlalu gatal.
“Jadi, ia agak mengganggu fokus saya.”
Bukan sahaja psoriasis, malah Encik Ahzaan, anak keempat dalam keluarga tujuh beradik, juga ditimpa masalah disleksia.
Justeru, beliau sering mengalami kesukaran untuk membaca dan menulis, lebih-lebih lagi bagi perkataan yang panjang dan sukar untuk disebut dan dieja.
Namun, beliau cuba mengatasi masalah itu dengan melatih percakapannya bersama kawan-kawan untuk menyebut perkataan tertentu dengan betul, serta melungsuri internet untuk mencari perkataan alternatif yang lebih mudah.
Walaupun dibelenggu dua masalah kesihatan yang mengganggu tumpuan dan kelancaran proses pembelajarannya, Encik Ahzaan tidak membiarkan faktor itu menjadi hambatan daripada mencapai kecemerlangan dalam pendidikannya.
Bahkan, Encik Ahzaan yang dahulunya hanya meraih gred D7 bagi mata pelajaran Matematik, beliau berjaya mencapai gred A1 bagi mata pelajaran tersebut sewaktu menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’ pada 2025.
“Dahulu saya agak lemah dalam mata pelajaran Matematik. Namun, saya jadi jatuh cinta kepada mata pelajaran itu apabila menyedari ia mengajar saya tentang cara penyelesaian masalah.
“Jadi saya menjadi lebih tekun untuk menguasai mata pelajaran itu sebaik mungkin atas dasar minat mendalam walaupun mempunyai kesukaran untuk membaca dan memahami soalan secara langsung,” kongsi Encik Ahzaan, yang menyertai Program Pencapaian Mendaki (MAP) dari Darjah Dua hingga Menengah Empat.
Beliau merupakan antara 16 pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan di majlis Anugerah Tuisyen Bersama Badan Bantu Diri (SHG) di Politeknik Republic (RP) pada 29 Ogos.
Anugerah Tuisyen Bersama SHG yang diadakan buat kali ke-23 itu merupakan anjuran bersama Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Serani (EA), Masyarakat India Singapura (Sinda) dan Yayasan Mendaki.
Acara tersebut meraikan pencapaian pelajar daripada Program Tuisyen Kerjasama (CTP) yang ditubuhkan oleh keempat-empat SHG pada 2002 bagi memberikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah akses kepada tuisyen yang berpatutan di seluruh Singapura.
Pada 2026, seramai 1,417 pelajar telah menerima anugerah atas peningkatan prestasi mereka dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), Peperiksaan GCE Peringkat ‘N(A)’, ‘N(T)’ dan ‘O’ yang diduduki pada 2025.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, yang hadir selaku tetamu kehormat.
Berucap sewaktu acara tersebut, beliau berkata:
“Program CTP ini merupakan satu kerjasama kukuh antara SHG, agensi pemerintah dan rakan masyarakat dalam menyediakan tuisyen bersubsidi kepada pelajar daripada semua kaum, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Ia juga mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, para pendidik, pertubuhan masyarakat dan rakan-rakan kerjasama.
“Marilah kita semua mengingati bahawa apabila kita berganding bahu untuk melabur dalam golongan muda kita, setiap kejayaan yang mereka capai menjadi kejayaan yang dikongsi bersama.”
Turut hadir di acara tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber.
Sewaktu bercakap dengan media, beliau berkata pendekatan Mendaki bukan hanya untuk membantu lebih ramai pelajar, malah, untuk juga memastikan setiap pelajar mendapat sokongan yang sesuai dengan keperluan dan tahap pembelajaran mereka.
Menurut beliau, sokongan tersebut termasuk penggunaan teknologi dan data untuk membantu mengenal pasti keperluan setiap pelajar dengan lebih baik.
“Kami akan terus memperkukuh sokongan dalam aspek bagi penguasaan asas akademik, pembentukan tabiat pembelajaran dan pembinaan keyakinan diri.
“Kini, landskap pembelajaran sedang berubah dengan pesat khususnya dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Mendaki telah terus menyesuaikan pendekatan kami supaya pelajar kita tidak hanya mampu mengikuti perubahan ini, malah, bersedia untuk memanfaatkannya.
“Sebagai contoh pelajar darjah lima yang mengikuti MAP boleh menggunakan alat berkuasa AI yang menggabungkan kuiz dan aktiviti interaktif untuk mengenal pasti kekuatan serta jurang pembelajaran mereka,” kata beliau.
