Topik diikuti
Pergi ke BHkuDorong pelajar disleksia capai potensi tertinggi
Diagnosis awal, teknik pembelajaran sesuai dan sokongan guru dapat bantu berjaya dalam pendidikan
Dorong pelajar disleksia capai potensi tertinggi
Disleksia bukan sekadar melibatkan huruf yang terbalik dan huruf yang seolah-olah terapung.
Malah, kebanyakan pelajar saya tidak lagi mengalami gejala itu selepas mencapai usia tertentu.
Namun begitu, sesetengah simptom berterusan sepanjang hayat mereka.
Ia termasuk penggunaan tanda baca yang salah, melompat baris ketika membaca, kesilapan mengeja perkataan lazim atau ‘sight words’, kelajuan membaca dan mengeja lebih perlahan, serta penyusunan idea yang kurang teratur.
Kebanyakan mereka menghadapi kesukaran bukan kerana kurang berusaha.
Sebaliknya, ramai di antara mereka bekerja lebih keras berbanding sebahagian besar rakan sebaya.
Kebanyakan mereka mempunyai potensi untuk cemerlang dalam mata pelajaran berasaskan bahasa, termasuk Bahasa Inggeris.
Malah, kebanyakan mereka sebenarnya mempunyai kecenderungan akademik jika diajar dengan kaedah pengajaran yang betul.
Adalah satu mitos bahawa mereka tidak akan pernah berjaya dalam bidang akademik dan bahawa mereka mesti memilih laluan kerjaya yang tidak memerlukan pencapaian akademik.
Ramai bekas pelajar saya kemudian melanjutkan pelajaran ke maktab rendah, politeknik dan universiti.
‘Disleksia’ jarang menjadi penghalang utama
Ini mungkin pandangan yang agak kontroversi, tetapi jarang sekali ‘disleksia’ (seperti yang ditakrifkan oleh Persatuan Disleksia Antarabangsa (IDA) dan Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5)) yang menjadi penghalang utama.
Sebaliknya, cabaran yang disebabkan oleh keupayaan fungsi eksekutif (EF) yang lebih lemah memainkan peranan lebih besar (contohnya, keupayaan untuk mengekalkan tumpuan, menyusun tugasan dan mengawal emosi sendiri).
Sememangnya, disleksia – iaitu gangguan bahasa khusus dalam membaca dan mengeja – berkait rapat dengan tahap EF yang lebih lemah, (dan, sebenarnya, dengan Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan atau ADHD).
Tetapi bukan gejala ketidakupayaan membaca yang benar-benar mewujudkan halangan terbesar.
Sebaliknya, ia adalah keupayaan mereka untuk bekerja dengan set arahan yang paling optimum sekalipun.
Adakah mereka boleh memproses arahan secara lisan dengan mudah?
Adakah mereka mampu mengawal emosi sendiri apabila berasa hilang semangat?
Adakah mereka menghadapi kesukaran memulakan dan beralih daripada satu tugasan ke tugasan lain?
Pengamatan saya menunjukkan isu ini memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pembelajaran kanak-kanak, mengatasi faktor kesedaran fonologi atau kelemahan penyahkodan ortografi.
Penyahkodan ortografi merujuk kepada proses mental atau keupayaan mengenal pasti corak susunan huruf, ejaan, dan visual perkataan tulisan untuk menukarkannya kepada bahasa bermakna dengan pantas.
Pelajar paling berdaya tahan yang pernah saya didik biasanya menganggap kesilapan sebagai sebahagian daripada proses dan terus bergerak ke hadapan.
Pelajar berprestasi rendah selalunya bergelut dengan masalah EF; mereka mudah ‘buntu’ dan mengasingkan diri, sekalipun arahan diberikan dengan sangat jelas
Bila disleksia boleh dikenal pasti?
Disleksia boleh dikenal pasti seawal usia enam tahun.
Tetapi adalah lebih baik untuk mendapatkan diagnosis formal selepas mereka berumur tujuh tahun, atau apabila mereka telah menjalani kira-kira enam bulan campur tangan untuk mempelajari kemahiran asas membaca dan mengeja.
Sesetengah kanak-kanak mungkin menunjukkan tanda-tanda disleksia yang lazim – seperti pembalikan huruf atau perkembangan kemahiran membaca yang lewat – sehingga usia tujuh tahun, kemudian mereka tiba-tiba sahaja dapat mengatasi masalah tersebut.
Jadi, sukar untuk menentukan keadaan mereka ketika mereka masih lebih muda, walaupun diagnosis formal telah dibuat.
Oleh itu, perkara yang penting ialah memantau mereka secara tekal dan bertanya:
– Adakah kemahiran bahasa mereka berkembang pada kadar lebih perlahan berbanding rakan sebaya?
– Adakah mereka sentiasa hilang tumpuan di dalam kelas atau tidak dapat memberi perhatian, tetapi boleh fokus pada perkara yang mereka minati?
– Adakah mereka mampu mendapat 10/10 untuk ejaan, tetapi kemudian lupa lebih separuh senarai ejaan tersebut dua hari kemudian?
– Adakah mereka menghadapi kesukaran membaca cerita yang sesuai dengan usia mereka?
Setelah bercakap dengan ratusan ibu bapa sebelum ini, saya juga pernah berhadapan dengan mereka yang berada dalam fasa penafian dan enggan membawa anak mereka untuk menjalani ujian.
Respons saya yang paling ikhlas sentiasa begini: sila dapatkan penilaian untuk anak anda.
Lebih awal anak itu didiagnosis, lebih cepat pakar dapat menentukan pelan untuknya.
Cara sokong kanak-kanak disleksia
Pertama, pembelajaran secara hafalan bukan semestinya tidak berkesan, tetapi ia perlu digabungkan dengan bentuk pengajaran yang lain untuk mengoptimumkan proses pembelajaran kanak-kanak.
Prinsip pelbagai deria dan diagnostik-preskriptif Orton-Gillingham (OG) amat baik untuk meningkatkan cara kanak-kanak yang mempunyai kesukaran pembelajaran khusus (SpLD) belajar, dan tidak sukar untuk memasukkan beberapa ciri ini ke dalam kurikulum atau kaedah pengajaran seseorang.
Ini mungkin kedengaran seperti saya sedang mengiklankan OG, tetapi hakikatnya, kaedah ini telah memberikan hasil amat baik untuk pelajar saya.
Kedua, dan ini mungkin kedengaran bercanggah dengan apa yang dikatakan di atas, ia bukan sekadar kecelikan berstruktur, fonik, pembelajaran pelbagai deria, kestabilan emosi dan sebagainya – sebaliknya, gabungan semua, iaitu jumlah keseluruhan setiap bahagian, yang paling baik menyokong pelajar yang memerlukan pembelajaran berbeza.
Pelajar disleksia perlu memahami bahawa mereka bukan tidak pandai, tetapi mereka juga tidak seharusnya terlalu dimanjakan dan perlu didorong untuk mencapai potensi maksimum mereka.
Mereka perlu belajar melalui bentuk pengajaran tertentu pada peringkat awal, tetapi laluan tersebut akhirnya boleh beralih kepada kaedah arus utama (mainstream).
Individu disleksia boleh belajar sama seperti individu tanpa disleksia.
Kita perlu berhenti mempercayai mereka tidak mampu berbuat demikian, atau mereka tidak mempunyai kecenderungan akademik, atau mereka hanya terhad kepada perkara yang jadi kemahiran mereka secara semula jadi.
Saya mempunyai pelajar yang memangn berbakat dalam seni, dan melalui bertahun-tahun usaha dan akhirnya memotivasi diri, mengambil jurusan seperti pentadbiran perniagaan atau kejuruteraan dan entah bagaimana menggabungkan kebolehan seni mereka ke dalam perkara yang mereka lakukan di sekolah.
Peranan filem, permainan dalam pembelajaran
Kami menggunakan gabungan kaedah OG, teknik sukatan pelajaran biasa, permainan atas meja (contohnya permainan perang dan permainan lakonan peranan), serta filem untuk mengajar pelajar kami.
OG memberikan kami rangka kerja literasi berstruktur.
Kami telah menghasilkan skop dan urutan kami sendiri berdasarkan pengalaman memerhatikan perkara yang paling berkesan untuk pelajar kami serta tempoh masa yang kami ada untuk membantu mereka mengejar dan mengikuti sukatan pelajaran sekolah mereka.
Permainan atas meja, khususnya permainan lakonan peranan, memberikan dimensi unik kepada pembelajaran, kerana ia membolehkan pelajar melalui naratif daripada pelbagai perspektif.
Permainan ini berkait secara lancar dengan pemahaman membaca, kosa kata dan bidang lain yang dinilai dalam peperiksaan kebangsaan seperti Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan Sijil Pendidikan Menengah (SEC) Singapura-Cambridge.
Filem pula membantu memberikan konteks tambahan kepada tema yang dipelajari.
Sebagai contoh, bagi pelajar yang tidak banyak menonton atau membaca bahan media, mereka mungkin mempunyai kurang sumber untuk dijadikan rujukan apabila diperkenalkan kepada tema baharu.
Sebagai contoh, kadangkala saya menunjukkan siri, Avatar: The Last Airbender, kepada pelajar semasa waktu rehat mereka.
Kemudian, saya akan berbincang dengan mereka tentang nilai yang dipelajari daripada episod tersebut, sebelum meneruskan dengan penulisan kreatif bersama mereka.
Kami mungkin menganalisis bagaimana pergerakan dilakukan oleh watak dan bagaimana untuk menterjemahkan pergerakan tersebut ke dalam penulisan.
Kemudian, untuk sesi permainan lakonan peranan kami, saya akan meminta pelajar menerangkan pergerakan mereka menggunakan gaya yang sama seperti yang telah mereka gunakan dalam penulisan mereka.
Sedikit di luar topik, tetapi masih berkaitan dengan cara kami menjalankan program: kami juga bekerjasama rapat dengan ibu bapa pelajar.
Kami sangat percaya ibu bapa perlu sehaluan dengan apa yang kami lakukan, kerana ibu bapa yang menyokong juga bermakna anak-anak lebih bermotivasi.
Pencapaian luar jangkaan
Kita tidak boleh lari daripada prestasi akademik kerana ia merupakan salah satu faktor yang berkaitan dengan kebahagiaan dan motivasi dalaman.
Ia adalah pengetahuan bahawa anda telah berjaya walaupun menghadapi kesukaran.
Jadi, untuk menjawab soalan tentang kejayaan, ia adalah apabila mereka mengetahui dan sedang menuju ke arah mencapai potensi sebenar mereka, dapat hidup dengan penuh nilai murni, serta mampu meninggalkan kesukaran masa lalu dan mula menulis bab baharu dalam kehidupan mereka.
Saya mempunyai banyak kisah kejayaan yang mengikut corak ini: pelajar datang dalam keadaan kecewa, ibu bapa tidak berharap anak mereka boleh berjaya secara akademik, dan sedang mempertimbangkan laluan alternatif.
Dari semasa ke semasa, melalui program kami, mereka melihat anak mereka berkembang dalam keupayaan berbahasa melebihi apa yang pernah mereka jangkakan.
Anak-anak tersebut mula menunjukkan prestasi yang baik, akhirnya mampu mengatasi rakan sebaya mereka, malah mendapat A1 dan A2 dalam peperiksaan mereka.
Apabila melihat kembali pengalaman saya sebelum ini, saya mula mengaitkan apa yang saya lakukan bukan sahaja dengan membantu pelajar yang lemah, malah, menolong mereka yang terlepas daripada perhatian.
Kanak-kanak ini adalah mereka yang tidak cukup lemah untuk dikenal pasti sebagai memerlukan campur tangan intensif, tetapi juga tidak cukup kuat sehingga mereka sentiasa dikritik atas perkara yang berada di luar kawalan mereka.
Mereka mempunyai andaian bahawa jika mereka berusaha lebih keras, ibu bapa dan guru menganggap mereka boleh berjaya, tanpa mengira hakikat bahawa mereka mungkin mempunyai kesukaran asas yang serius.
Pelajar ini mempunyai banyak potensi terpendam dalam diri mereka, dan saya rasa amat malang bahawa begitu ramai daripada mereka tidak disedari dan akhirnya bergelut selama bertahun-tahun.
Bolehkah disleksia disembuh?
Ia tidak boleh disembuhkan, tetapi kebanyakannya boleh diatasi dan dielakkan selepas pelajar mempelajari teknik yang betul untuk berbuat demikian.
Apabila mereka semakin dewasa, tugasan menulis dan pemahaman membaca menjadi lebih mencabar berbanding sebelum ini, dan mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk mengikuti tahap asas yang diperlukan.
Mereka mungkin mendapati diri mereka semakin terbeban.
Namun begitu, perkara di atas menggambarkan trend umum, khususnya bagi individu disleksia yang tidak pernah menerima campur tangan.
Sebaliknya, saya mendapati trend yang bertentangan dalam kalangan kebanyakan pelajar saya. Keadaan sebenarnya menjadi lebih mudah bagi mereka di sekolah menengah.
Ramai di antara mereka menunjukkan prestasi baik hingga akhirnya layak memasuki politeknik dan maktab rendah, dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Terdapat dua sebab bagi perkara ini.
Pertama, menjalani program campur tangan khusus akan mempengaruhi cara kanak-kanak disleksia membaca, menulis dan seterusnya belajar ketika mereka berada pada usia remaja dan dewasa.
Kedua, secara peribadi, saya berpendapat sukatan pelajaran sekolah rendah lebih merugikan pelajar berbanding sukatan pelajaran sekolah menengah.
Sukatan pelajaran sekolah menengah sangat menekankan penulisan dan pemahaman membaca, manakala sukatan pelajaran sekolah rendah mempunyai banyak bidang penilaian secara eksplisit, termasuk kosa kata dan ejaan – bidang yang boleh menjejas pelajar disleksia disebabkan oleh kemahiran pemerolehan bahasa yang lewat.
Penulis pengasas pusat terapi disleksia, Swords & Stationery, dan berpengalaman mengajar di Persatuan Disleksia Singapura (DAS).