Topik diikuti
Pergi ke BHkuAura bintang K-pop dan jenama mewah, formula kerjasama tawan pembeli
Setelah empat tahun berehat bagi menjalani perkhidmatan tentera wajib, kumpulan pop Korea (K-pop) terkenal, BTS, kini kembali mewarnai persada seni menerusi kemunculan semula mereka, dengan pelancaran album terbaharu mereka, Arirang, pada Mac. disusuli dengan pelancaran siri jelajah dunia pada April.
Jelajah yang dilanjutkan hingga 2027 membawa mereka dari Seoul ke Buenos Aires, Argentina pada Oktober, seterusnya ke Singapura pada Disember.
Kumpulan tujuh anggota lelaki itu turut membuat persembahan sewaktu rehat separuh masa perlawanan Piala Dunia pada 19 Julai.
Dengan kembalinya barisan anggota BTS – terdiri daripada, RM, Jin, V, Jimin, J-Hope, Suga dan Jungkook – persoalan mengenai jenama fesyen terkemuka manakah yang bakal menaja pakaian mereka dan mengambil mereka sebagai duta, kini menjadi tumpuan.
Manfaat Artis Sebagai Duta
Kemunculan semula kumpulan itu dalam arena seni diiringi pelbagai perjanjian dengan jenama, kerjasama khas, serta pakaian persembahan tempahan khas daripada beberapa jenama mewah seperti Balenciaga, Celine dan Gucci.
Jenama pakaian sukan terkemuka, Nike, pula membekalkan barangan cenderamata jelajah serta membuat mengikut tempahan bertema BTS bagi koleksi beg dan pakaian terpilih.
Pelancaran koleksi kapsul Calvin Klein pada Mei, yang direka bersama anggota termuda, Jungkook, habis dijual dalam masa beberapa hari sahaja, sekali gus menjadi kerjasama paling berjaya bagi jenama Amerika Syarikat itu hingga kini, kata syarikat induknya, PVH.
Koleksi kapsul merujuk kepada rangkaian pakaian dan aksesori edisi terhad yang direka khas supaya mudah dipadankan untuk pelbagai gaya.
Pada 2026, genap sedekad sejak idola K-pop veteran, G-Dragon, menembusi pasaran fesyen mewah sejagat menerusi pelantikannya sebagai duta Chanel pada 2016.
Sejak itu, jalinan kerjasama industri tekstil dan fesyen dengan idola K-pop dilihat semakin mendalam.
Pada 2023, lebih 30 idola K-pop telah dilantik sebagai duta baharu bagi jenama mewah.
Pada tahun sama, Riize, kumpulan lelaki baharu di bawah naungan SM Entertainment, menandatangani perjanjian dengan Louis Vuitton, iaitu hanya 98 hari selepas kemunculan sulung mereka, sekali gus mencatat rekod perjanjian terpantas yang pernah dimeterai.
Kesan Budaya Peminat K-pop
Budaya peminat K-pop yang ‘pemurah’ menjadi tunjang kepada trend ini, ujar pengasas agensi pemasaran sosial tempatan Goodstuph, Pat Law.
“Peminat tidak membuat pembelian seperti pengguna biasa.
“Membeli sesuatu produk boleh menjadi satu bentuk sokongan kepada seseorang artis.
“Anda bukan sekadar membeli beg, gincu atau jaket kerana anda menyukainya.
“Anda sedang membantu menjayakan kempen idola anda, membuktikan pengaruh komersial mereka dan dalam sesetengah keadaan, bersaing dengan peminat kumpulan lain.
“Kuasa membeli menjadi satu bentuk penyertaan.
“Perkara ini amat bernilai kepada jenama kerana ia merapatkan jurang antara rasa minat dengan tindakan (membeli),” kata Law.
Bersama-sama kumpulan wanita Blackpink, BTS merupakan nama terbesar dalam industri ini.
Kumpulan idola lelaki itu direkodkan sebagai artis Asia dengan jualan terlaris sepanjang zaman, mencatatkan jualan melebihi 500 juta unit – meliputi jualan album, penstriman dan muat turun – di seluruh dunia, lapor akhbar, The Guardian.
Menurut Law, bagi BTS, operasi mereka seolah-olah ‘beli satu, percuma enam’.
“Walaupun sesuatu jenama mungkin melantik seorang anggota sahaja, ia tetap menikmati limpahan faedah daripada keseluruhan kumpulan itu.
“Setiap anggota mempunyai personaliti, estetika dan pengikutnya yang tersendiri, namun kesemua tujuh anggota tetap terikat dengan jenama serta nama besar BTS,” kata Law.
Hubungan erat BTS dengan peminat mereka, yang dikenali sebagai ‘Army’, turut bermaksud peminat lebih cenderung untuk menyokong kempen-kempen mereka.
Kesan Penglibatan
Namun bagi syarikat barangan mewah, pelaburan untuk mendapatkan khidmat idola bertaraf tinggi mungkin lebih membuahkan hasil dari segi penglibatan, berbanding penjualan semata-mata.
Ini boleh dilihat menerusi pelantikan Jisoo daripada kumpulan Blackpink sebagai duta Dior, yang dilaporkan melibatkan kos antara AS$10 juta ($12.90 juta) dengan AS$20 juta setahun.
Profesor Madya Pemasaran di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Ang Swee Hoon, berkata:
“Pada pandangan saya, penglibatan di media sosial adalah lebih tinggi berbanding penjualan, kerana kelompok peminat muda berkemungkinan besar belum mempunyai kemampuan wang untuk membeli produk jenama fesyen terkemuka sebegini.
“Namun, syarikat fesyen melihat manfaat jangka panjang pelaburan ini.
“Bagi jangka pendek, mereka meraih penglibatan yang meningkatkan kesedaran terhadap sesuatu jenama apabila produk mewah tersebut dipakai oleh kumpulan paling popular.
“Ini seterusnya mendorong minat terhadap jenama berkenaan.
“Ia mungkin belum diterjemahkan kepada penjualan buat masa ini, tetapi apabila kelompok peminat tersebut kian dewasa dan mempunyai kuasa membeli, mereka telah membentuk tanggapan positif terhadap jenama fesyen itu.”
Law pula mengkritik kecenderungan jenama yang sekadar ‘menumpang’ pengaruh industri hiburan Korea.
“Bagi saya, tindakan menjadikan pengambilan idola sebagai idea utama (pemasaran) adalah satu langkah malas.
“Jenama kini mempunyai pelbagai cara untuk memasarkan diri mereka.
“Mereka boleh menghasilkan produk, filem, persembahan, pengalaman, membina masyarakat mahupun mencipta dunia baharu sepenuhnya.
“Sekadar meletakkan wajah personaliti terkenal di sebelah beg tangan mungkin kelihatan seperti pendekatan yang tidak difikir panjang dan memakan belanja besar,” kata Law.
Sebahagian artis membuktikan bahawa mereka mampu menyumbang secara kreatif, seperti Jungkook, yang memberi sentuhan penceritaan berasaskan penunggang motosikal bagi koleksi Calvin Klein beliau, serta reka bentuk kasut asli oleh G-Dragon untuk Nike.
“Jika mereka mampu berbuat demikian, jenama fesyen sepatutnya menuntut lebih daripada sekadar membayar idola untuk menjadi ‘hiasan’.
“Ini tidak bermakna setiap idola perlu menjadi pereka fesyen dalam sekelip mata.
“Ada pelbagai cara lain untuk melibatkan mereka secara bermakna melalui muzik, koreografi, persembahan, penggayaan, pemahaman budaya mahupun penceritaan,” kata Law.
Matlamat utama adalah untuk memanfaatkan keunikan serta daya tarikan khusus seseorang idola, bukan sekadar memanfaatkan saiz pengikut mereka sahaja, jelas beliau.
