Dengan tiket konsert kumpulan K-pop, BTS, mula dijual di Singapura pada 3 Jun, pihak polis dan badan persatuan pengguna mengingatkan para peminat agar hanya membeli tiket menerusi saluran rasmi yang sah.

Presiden Persatuan Pengguna Singapura (Case), Encik Melvin Yong, menerusi hantaran di Facebook pada 2 Jun berkata:

“Pengguna harus berwaspada dengan individu yang menawarkan tiket melalui pasaran dalam talian, platform media sosial atau aplikasi pesanan ringkas, terutamanya apabila bayaran pendahuluan diminta.”

Penyedia perkhidmatan tiket boleh membatalkan tiket yang telah dijual semula jika ia didapati melanggar ketetapan dan syarat mereka, tambahnya.

“Oleh itu, pembelian tiket daripada sumber tidak sah bukan sahaja mendedahkan pengguna kepada risiko penipuan, malah kemungkinan dihalang daripada memasuki acara,” jelas Encik Yong.

Pihak polis turut mengeluarkan nasihat serupa pada 2 Jun bagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap penipuan tiket konsert.

Memberi penerangan mengenai taktik biasa melibatkan penipuan tiket, polis berkata mangsa selalunya terjumpa tawaran jualan di platform pesanan ringkas dan media sosial seperti Telegram, Xiaohongshu, X, Carousell serta Facebook.

Golongan penipu ini akan menghantar mangsa tangkap skrin atau video tiket serta resit palsu bagi meyakinkan mereka untuk membuat pembayaran dengan segera atas alasan tawaran tersebut terhad dari segi masa, jumlah, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, penipu akan menabur janji palsu untuk menghantar tiket tersebut kepada mangsa.

Apabila mangsa memaklumkan mereka masih belum menerima tiket, golongan penipu ini akan mendakwa kononnya pembayaran awal tidak diterima dan kemudian meminta bayaran tambahan.

“Mangsa hanya akan menyedari mereka telah ditipu apabila tiket gagal dihantar atau selepas penjual menghilangkan diri dan gagal dihubungi,” tambah polis.

Dalam nasihat tersebut, polis turut menegaskan tiket tersebut tidak boleh dipindah milik atau dijual semula, dan penyedia khidmat jualan tiket, Ticketmaster, tidak akan mengeluarkan tiket menerusi e-mel.

“Selaras dengan dasar perdagangan Meta, Facebook Marketplace tidak membenarkan sebarang kandungan yang mempromosikan aktiviti pembelian, penjualan serta pertukaran tiket acara. Begitu juga dengan dasar TikTok Shop yang tidak menyokong jualan tiket konsert,” ujar polis.

Disebabkan sejarah kes penipuan melibatkan penjualan tiket konsert popular di Carousell, polis berkata mereka telah meminta platform e-dagang tersebut agar menurunkan senarai jualan semula tiket bagi konsert BTS World Tour Arirang yang akan datang.

Ini merupakan kali kedua Case dan polis mengeluarkan nasihat berhubung jualan tiket konsert BTS 2026 di Singapura.

Kumpulan BTS – yang dianggotai RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook – bakal mengadakan persembahan di Stadium Negara pada 17, 19, 20 dan 22 Disember, mulai 7 malam.

Konsert bersejarah BTS selama empat malam di sini menandakan siri jelajah terpanjang mereka di Asia, selain Korea Selatan dan Jepun.

Ia juga merupakan konsert pertama mereka di Singapura, yang membabitkan kesemua anggota kumpulan asal, sejak konsert jelajah ‘Love Yourself’ yang habis terjual di lokasi sama pada Januari 2019.

Tiket ditawarkan pada harga antara $148 dengan $388, dengan jualan tempahan awal bermula pada 3 Jun, manakala jualan tiket umum dibuka pada 5 Jun.