Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiket BTS jadi rebutan, pasaran jual semula cecah hampir $9,000
Tiket BTS jadi rebutan, pasaran jual semula cecah hampir $9,000
Tiket BTS jadi rebutan, pasaran jual semula cecah hampir $9,000
Kehangatan kepulangan kumpulan pop Korea (K-Pop) terkenal, BTS, ke Singapura menyaksikan tiket konsert mereka menjadi rebutan ramai sehingga ada yang dijual semula pada harga mencecah 23 kali ganda daripada harga asal.
Kejadian itu berlaku hanya beberapa jam selepas prajualan bagi tiket konsert terbabit dibuka pada 3 Jun menerusi wadah penyedia khidmat jualan tiket, Ticketmaster.
Sementara itu, konsert jelajah dunia BTS, Arirang, bakal diadakan di Singapura, antara 17 dengan 22 Disember di Stadium Negara, bermula 7 malam.
Konsert Arirang bermula sejak 9 April lalu di Goyang, Korea Selatan dan dijadual diadakan di seluruh dunia termasuk Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Brazil, Thailand, Malaysia dan Indonesia.
Kumpulan BTS dianggotai RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook.
Konsert jelajah Arirang turut menandakan kepulangan BTS ke pentas muzik selepas semua anggotanya selesai menjalankan perkhidmatan ketenteraan wajib di Korea Selatan.
Bagi peminat tempatan, konsert itu menjadi detik yang dinanti-nantikan selepas lebih enam tahun sejak BTS muncul di Singapura, menerusi konsert jelajah dunia, Love Yourself, pada 19 Januari 2019, di tempat yang sama.
Dalam pada itu, empat set persembahan di Singapura itu turut mencipta sejarah sebagai hentian jelajah paling lama BTS di Asia.
Menurut tinjauan The Straits Times (ST), tiket konsert BTS mula ditawarkan semula di pelbagai wadah dalam talian pada harga yang jauh lebih tinggi sebaik sahaja prajualan tiket bermula pada 3 Jun, tengah hari.
Menerusi wadah jual beli tiket, StubHub, tiket bagi golongan penting atau VIP, yang dijual pada harga asal $388, ditawarkan semula sekitar $900 hingga $7,000.
Malah, terdapat penjual yang meletakkan harga $8,896 bagi tiket VIP untuk persembahan pada 20 Disember.
Ini kira-kira 23 kali ganda lebih tinggi berbanding harga asal.
Di aplikasi Carousell pula, beberapa penjual dilihat mengambil kesempatan apabila tiket VIP ditawarkan pada harga jauh lebih tinggi, termasuk sekurang-kurangnya 12 tiket yang dijual pada harga $1,200 setiap satu.
Ada juga sepasang tiket bagi persembahan pada 19 Disember, yang ditawarkan pada harga $2,000 setiap tiket.
Tiket bagi Kategori 1 yang dijual pada harga asal $328, turut ditawarkan semula antara $600 dengan $1,000.
Selain Carousell dan StubHub, iklan penjualan semula tiket turut muncul di wadah media sosial seperti Reddit, Xiaohongshu dan Facebook.
Susulan peningkatan kegiatan penjualan semula tiket, Persatuan Pengguna Singapura (Case) dan pihak polis sebelum ini mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati terhadap penipuan melibatkan tiket konsert.
Orang ramai dinasihatkan supaya hanya membeli tiket daripada wadah yang sah bagi mengelakkan risiko daripada tidak dapat memasuki konsert berkenaan.
Polis turut memaklumkan mereka telah meminta Carousell menurunkan iklan penjualan semula tiket konsert BTS berikutan kebimbangan terhadap kes penipuan yang pernah berlaku membabitkan konsert popular sebelum ini.
Sementara itu, jualan tiket umum akan dibuka pada 5 Jun menerusi Ticketmaster.
