Bayangkan hidangan paha ayam yang rangup berwarna perang keemasan yang digoreng sempurna sehingga menghasilkan kulit yang garing.
Diperap selama 24 jam dalam susu mentega, ayam ini mempunyai rasa lemak, menghasilkan isi yang lembut dan berjus.
Lebih terasa nikmatnya apabila ayam ini dicelup dalam sos khas buatan sendiri, gabungan rasa masin, berlemak dan pedas sedikit.
Rasa sos yang pekat menyaluti ayam, enak dimakan dengan kulit yang garing di luar dan dengan isi yang lembut di dalam.
Hidangan, ‘King’s Chicken’ merupakan hasil ilham pasukan di belakang restoran, Tomahawk King Steakhouse & Grill, yang menyajikan kepingan ayam goreng tanpa tulang atau chicken tenders, gaya Amerika dengan sentuhan inspirasi Asia.
Jenama itu mendapat ilham daripada kejayaan restoran makanan segera, Raising Cane’s, di Amerika Syarikat, yang tular, namun, disesuaikan mengikut perisa tempatan.
“Raising Cane’s adalah trend makanan yang menjadi tular di Amerika.
“Orang di sana ‘malas’ dan mereka gemar menikmati makanan yang mudah dimakan seperti chicken tenders kerana ia tidak mempunyai sebarang tulang,” ujar Pengerusi Tomahawk King Steakhouse & Grill, Encik Bruce Wong.
Encik Bruce bersama anaknya, Encik Ryan Wong yang juga pengarah urusan Tomahawk King Steakhouse & Grill, sering ke Amerika dan telah memulakan proses penyelidikan dan pengembangan (R&D) sejak tiga tahun lalu (2021), demi menyempurnakan resipi itu.
Rahsia tekstur ‘King’s Chicken’ terletak pada penyediaannya.
‘King’s Chicken’ menggunakan daging paha dari Malaysia, yang dipilih berbanding potongan dada biasa yang digunakan dalam kebanyakan rangkaian makanan segera Amerika.
“Orang Amerika suka dengan dada ayam dan tanpa kulit. Pilihan pembekal kami itu sangat penting, demi mendapatkan paha ayam segar setiap hari.
“Ia mengambil banyak masa untuk membuang serat tisu paha ayam itu,” tambah Encik Bruce.
Ayam yang diperap semalaman dalam susu mentega, akan menjadi lembut dan berperisa.
Manakala adunan campuran herba dan rempah-ratus menghasilkan salutan yang tekal dan rangup.
Pengalaman ayam goreng tidak lengkap tanpa sos pencecah, dan ‘King’s Chicken’ menawarkan sos yang dibuat sendiri.
“Sos itu resipi rahsia kami. Kami menggunakan rempah-ratus yang terdapat di Asia untuk menjadikan perisa sos itu lebih seimbang.
“Di Amerika, sos pencecahnya masam, dan kami tidak begitu menyukainya,” ujar Encik Bruce.
Memandang ke hadapan, ‘King’s Chicken’ berhasrat mengembangkan jenama itu dengan membuka lebih banyak cawangan di Singapura dan di negara terdekat.
“Matlamat kami adalah agar ‘King’s Chicken’ mendapat francais yang berpotensi.
“Jenama ini memberi tumpuan kepada kepingan ayam tanpa tulang, chicken tender, bagi memastikan kami tidak ‘tenggelam’ dalam lautan jenama ayam terkemuka lain di Singapura.
Alamat: 324 Changi Road, Singapura 419799
Waktu Operasi: Selasa hingga Ahad, 12 tengah hari hingga 11 malam. Ayam ‘King’s Chicken’ boleh dipesan setiap hari hingga 4 petang.
Harga: ‘King’s Chicken’ menawarkan set hidangan dua keping ayam pada harga $13. Satu set hidangan itu mengandungi dua filet paha ayam yang diperap dalam susu mentega (buttermilk); roti bakar bijan, Buttered Sesame Toast; kepingan keju mozarela digoreng dengan salutan serbuk roti, Mozzarella Dippers; kentang goreng potongan crinkle; sos pencecah King’s Dip dan King’s Ranch, serta minuman.
Pilihan yang lebih besar, iaitu set hidangan tiga keping ayam, berharga $19, memberikan pelanggan tambahan kepingan ayam tanpa tulang, chicken tender.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg