KUALA LUMPUR: Pelakon Azhar Sulaiman, 52 tahun, antara insan yang terkesan dengan pemergian sahabatnya yang juga pelakon Allahyarham Badrul Muhayat.
Azhar berkata, mereka berkawan sejak 1990-an selepas menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
“Di situlah, saya kenal arwah dan kami terbabit dalam bidang iklan televisyen, drama akhirnya dapat berlakon dalam filem ‘Riang Tirana’ sebagai penampilan pertama.
“Arwah bawa watak utama dan saya pula pelakon pembantu. Selepas itu, kami rapat sehinggalah berkahwin dan bawa haluan masing-masing.
“Saya, Esma Daniel, mendiang Acappan dan arwah Badrul sama-sama bermula pada zaman itu. Sekarang, tinggal saya dan Esma sahaja,” katanya kepada akhbar Online ketika ditemui di Masjid Al-Hidayah, di Kuala Lumpur pagi ini (29 Oktober).
Azhar berkata, mereka bertemu semula Januari lalu sewaktu berlakon dalam drama ‘Bintang’.
“Arwah nampak sihat saja waktu itu. Kami berbual panjang imbau semula memori silam dan bercerita perkembangan terkini.
“Kami mengikuti sesama sendiri menerusi media sosial, namun jarang jumpa.
“Pemergian arwah sangat mengejutkan kerana saya tahu dia okey. Apapun ajalnya sudah sampai,” katanya.
Tambah Azhar, pemergian rakan artis sedikit sebanyak membuatnya bersedia dalam menunggu gilirannya dijemput Ilahi.
“Mana tahu esok, lusa mungkin giliran saya pula. Jadi, saya bersedia untuk menjawab soalan kubur selepas ini. Namun, ajal kalau sudah sampai tiba, tak cepat atau lewat sesaat pun.
“Saya doakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas roh dan tempatkan arwah di kalangan insan beriman,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Badrul Muhayat, 55, meninggal dunia ketika tidur di sebuah homestay di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pagi Sabtu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg