Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Isteri pelakon Badrul Muhayat anggap arwah suami pinjaman Tuhan paling berharga

Oct 29, 2023 | 01:58 AM



BUTTERWORTH: Biarpun mahligai yang dibina bersama Allahyarham Badrul Muhayat, 55 tahun, hanya enam bulan, namun tempoh itu disifatkan satu pinjaman paling berharga dan tiada tolok gantinya buat isterinya, Norhayati Zulkapli, 50 tahun.


Sah dengan ikatan suami isteri pada 18 April lalu, Norhayati berkata, Allah mengurniakan suami yang sangat baik untuknya dan pasti akan dikenang sampai bila-bila.

Norhayati berkata, arwah juga tidak pernah lupa mendoakan kesejahteraan orang di sekelilingnya.

“Arwah jumpa orang sentiasa doakan dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan hanya doa yang baik-baik sahaja. Bagi saya, arwah adalah insan paling terbaik yang dipinjamkan Allah kepada saya dan tiada tolok gantinya.

“Semasa melihat jenazahnya, saya juga tahu arwah seorang yang baik kerana tidak lekang dengan senyuman, seolah-olah sedang tidur,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di luar Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada Sabtu.


Menceritakan detik kejadian pemergian arwah suaminya, Norhayati berkata, beliau tidak menyangka kejutan kali kedua bermakna beliau bercakap dengan orang yang sudah tidak bernyawa.

“Mulanya, saya kejut sekitar 7.30 pagi, tetapi arwah cakap nak rehat sekejap sebab penat. Namun, kali kedua sekitar 10.50 pagi iaitu selepas tiga jam saya kejut arwah sekali lagi.

“Masa itu, saya pelik kenapa badan arwah ada tompok darah, saya pegang dahinya sejuk dan tengok tangannya kelihatan warna hitam. Saya tidak sedap hati, lalu menjerit meminta pertolongan Zazly Baginda dan isterinya, Aida Aris yang menyewa sekali di inap desa.

“Mereka menghubungi hospital, sebelum ada kakitangan datang membuat teknik bantuan asas hayat (CPR) selama 30 minit, kemudian memaklumkan suami tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Jelasnya, beliau dan arwah ke Pulau Pinang untuk menyertai karnival anjuran UDA Holdings Bhd (UDA) di Jalan Baru, Perai, bermula Jumaat.

“Selepas selesai karnival ini, esok, kami bercadang untuk ke Kulim, Kedah termasuk Perlis untuk bercuti, tetapi tak sangka sebaliknya berlaku. Bagaimanapun, saya reda dengan takdir ini dan mahu urusan pengebumian arwah dipercepatkan,” katanya.

Rakan baik Badrul, yang juga pelakon Zazly Baginda, berkata arwah seperti sudah dapat rasa hayatnya sudah tidak lama.

“Beliau antara teman rapat saya. Arwah pernah buka mulut dirinya rasa seperti nak mati. Dia banyak sangat cakap soal mati. Dalam masa antara dua hingga tiga bulan ini, kami terlalu rapat hingga kalau terbabit dalam program sama, kami akan tidur satu inap desa.

“Arwah ini baik orangnya dan sudah buat perancangan untuk ke Sabah bagi menyertai karnival sama di sana, tetapi tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Hospital Sebarang Jaya.

Sementara itu, berita pemergian mengejut pelakon filem Harry Boy dan Azizah The Legend itu turut memberi tamparan besar kepada rakan artis lain yang berkecimpung dalam industri hiburan tempatan bersamanya.


Bagi pelakon Nadia Kesuma, beliau bersama beberapa rakan artis termasuk arwah Badrul ke Pulau Pinang untuk menyertai karnival yang dianjurkan UDA Holdings Bhd (UDA).

“Kami berada di Pulau Pinang sejak Khamis lalu dan sepanjang tempoh ini, arwah tidak menunjukkan sebarang petanda bahawa dia mengalami masalah kesihatan. Saya tahu arwah ada menghidap penyakit kencing manis, namun keadaannya semakin sihat berbanding dahulu,” katanya.

Mengulas lanjut, Nadia berkata, arwah Badrul seorang yang bertenaga, suka bergurau dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

“Sejujurnya, saya agak ralat kerana tidak sempat berbual dengan arwah disebabkan hari pertama berniaga dan sibuk membuat persiapan, semalam. Ingat nak datang berniaga hari ini dapat tegur arwah, tetapi dimaklumkan berita mengejutkan mengenai pemergiannya. Semalam, arwah nampak sangat sihat,” katanya.

Jenazah Allahyarham Badrul akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Kuala Lumpur kira-kira 8 pagi Ahad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >