Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rai evolusi irama keroncong, junjung irama Melayu klasik

Dua konsert sajian Pesta Raya kembalikan nostalgia muzik ‘orang lama’ buat semua termasuk generasi muda
May 23, 2023 | 02:08 PM



SEDANG orang lama dibuai kenangan silam, yang muda pula terdorong menggali lebih tentang khazanah warisan muzik Melayu yang sebelum ini tidak pernah difikirkan.

Begitulah kesan daripada menghadiri dua acara sajian Pesta Raya anjuran Esplanade pada hujung minggu lalu dengan Konsert Simfoni Keroncong Nusantara dan Belagu (Dayang Nurfaizah) cukup menyentuh kalbu.

Syabas buat penganjur acara yang membawakan santapan halwa telinga yang bukan sahaja menyejukkan hati tetapi memberi gambaran betapa kayanya nilai warisan Melayu yang dikhuatiri akan pupus dek arus teknologi dan kemodenan muzik masa kini.

Konsert Simfoni Keroncong Nusantara yang menampilkan Orkestra Melayu Singapura (OMS) sebagai peneraju satu pelayaran meneroka irama keroncong yang menyatukan Singapura, Malaysia dan Indonesia, mempunyai daya tarikan tersendiri.

Rudy Djoe dan Marina Yusoff sebagai pengacara mengundang penuh mesra hadirin untuk menikmati setiap lagu yang disampaikan sebagai santapan halwa telinga dengan senyum sentiasa terukir di bibir mereka.

Lagu keroncong ikonik Jali Jali menjadi pilihan untuk membuka tirai konsert dengan Andre Michiels dan penyanyi OMS, Hafiz, menyampaikannya dengan penuh semangat.

Ini diikuti dengan Surilang oleh Sheera dan Umairah, yang juga dianggap bakat pelapis untuk meneruskan perjuangan mengetengahkan estetika irama tradisional.

Keroncong bukan sesuatu yang hanya dijadikan teman ‘orang lama’ yang dewasa dengan lagu-lagu menenangkan ini. Sebaliknya, ia dapat dihayati anak muda yang mungkin mencari ruang untuk mengamati muzik santai bak berada di sawah padi atau menghadap laut luas terbentang.

Apa yang penulis senangi adalah konsert sebegini yang memberi penerangan tentang asal-usul muzik keroncong. Kekata keroncong itu sendiri diperolehi daripada bunyian alat muzik ala ukulele.

Seawal abad ke-16 di Jawa, keroncong dihasilkan tatkala hamba tahanan Portugis atau kaum Mardjikers berkahwin dengan orang Indonesia. Mereka menghasilkan muzik kerohanian yang berkait rapat dengan muzik Fado Portugis.

Michels yang merupakan keturunan Mardjiker menceritakan serba sedikit mengenai sejarah keroncong ini kepada penonton. Beliau bertemankan ukulelenya.

Satu perkara yang penulis senangi dan banggakan adalah mutu muzik yang disajikan OMS dengan pimpinan Amri Amin. Dapat dihayati setiap bunyian alat muzik dengan jelas, bukti orkestra anak Singapura ini mampu berdiri sama tinggi dengan orkestra terbilang lain di merata dunia.

Seronok mendengar generasi muda berusia 20-an dan 30-an tahun meneruskan legasi muzik keroncong. Jamilah Abu Bakar dari Malaysia merupakan pensyarah muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kelulusan Maktab Muzik Berklee di Boston, Amerika Syarikat.

Menarik dan membanggakan untuk melihat beliau memajukan irama tradisional dan begitu lunak didengar ketika menyanyikan lagu Alunan Biola, Asmara dan Aksi Kucing.

Bakat Singapura sendiri yang sejak akhir-akhir ini nampak menyerlah diundang ke pelbagai acara, Suryana Norddin, pula mengembalikan nostalgia ramai menerusi lagu Kartina Dahari, Sayang Di Sayang.

Suryana yang pernah tular kerana versi keroncong ‘Jampi’ bersama Nobat Kota Singa beberapa tahun lalu kembali ‘menjampi’ hadirin dengan lagu tersebut, kali ini di pentas besar Dewan Konsert Esplanade.

Tuah Suryana dapat berkongsi pentas dan menyanyi bersama Datuk Yusni Hamid dalam lagu Kenang Daku Dalam Doamu. Pastinya ia kenangan yang tidak dapat terluput dari fikiran.

Karisma bintang lama seperti Datuk Yusni, Eddy Ali dan Ratu Pop 1970-an Indonesia, Emilia Contessa, memang tidak dapat disangkal.

Lagu malar segar dari runut bunyi (OST) filem Akhir Sebuah Impian serta sajian lagu Nasib Malang, Kau Yang Ku Nanti, Bunga Melor dan Bisikan Hati menusuk ke sanubari.

Dalam pada itu, lagu pop atau rok yang diberi sentuhan keroncong juga memikat jiwa. Fantasia Bulan Madu (Search), Jampi (Hael Husaini) dan Hal Hebat (Govinda) dapat diamati dalam ‘soundscape’ yang berbeza.

Kalau Simfoni Keroncong Nusantara lebih menjelajah pada irama keroncong, unsur sonik sesebuah persembahan dan sejarah genre muzik zaman berzaman seperti keroncong, konsert Belagu (Dayang Nurfaizah) yang menyajikan lagu klasik Melayu dalam album Belagu dan Belagu II pula benar-benar membuatkan anda mengamati setiap bait lirik yang disampaikan.

Sememangnya, Dayang adalah antara artis muzik Melayu kontemporari yang memiliki faktor ‘wow’ untuk bawa peminat mudanya mengamati lagu-lagu lama tanpa mencacatcelakan patah lagu atau irama asal lagu berkenaan. Sebutannya jelas sebutir-sebutir membawa kita ke zon nostalgia.

Kadangkala tertanya-tanya mana lagi nak dapat lirik seindah dalam lagu Gurindam Jiwa, Umpan Jinak Di Air Tenang, Tak Seindah Wajah dan Dikirim Jangan Dipesan Jangan.

Misalnya, penulisan lirik Gurindam Jiwa oleh Allahyarham Hamzah Hussein yang berbunyi begini: ‘Anak cina pasang lukah, Lukah dipasang di Tanjung Jati, Di dalam hati tidak ku lupa, Sebagai rambut bersimpul mati.’

Lagu dendangan R. Ismail dan Rafeah Buang yang sedap didengar ini merupakan ciptaan Allahyarham Wandly Yazid.

Begitu juga dengan seni kata dalam lagu Tak Seindah Wajah, ‘Ku sangka aur di pinggir tebing, Kiranya tebu di pinggir bibir, Ku sangka jujur pancaran batin, Rupanya palsu, penghias zahir. Ku kira hati, jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang. Ku kira puji seikhlas budi, Ku lupa lidah tidak bertulang’.

Ia merupakan hasil karya Ibrahim Bachik dan Rosli Haji Ahmad dan didendangkan Tan Sri SM Salim.

Banyak khazanah lagu Melayu yang wajar digali semula untuk renungan generasi muda. Lirik dengan maksud tersirat menarik untuk dikupas.

Sanjungan buat Dayang kerana menitikberatkan lagu tradisional yang sebenarnya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Moga Pesta Raya akan datang dapat meraikan lebih lagi mahakarya dalam dunia muzik Nusantara dengan teras budaya tidak dilupa, nilai dijunjung dan kesinambungan usaha melestarikan bahasa dan kesenian Melayu mengalir terus untuk manfaat generasi mendatang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >