Bagaimana pilih pelindung matahari sesuai semasa percutian?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bagaimana pilih pelindung matahari sesuai semasa percutian?

Mar 2, 2026 | 12:05 PM

Bagaimana pilih pelindung matahari sesuai semasa percutian?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sebelum menggunakan pelindung matahari, penting untuk memahami labelnya kerana di situ terletak maklumat sebenar mengenai tahap perlindungannya.
Sebelum menggunakan pelindung matahari, penting untuk memahami labelnya kerana di situ terletak maklumat sebenar mengenai tahap perlindungannya. - Foto ISTOCKPHOTO

Mengemas dan menyiapkan barangan untuk percutian boleh jadi menyeronokkan dan juga memeningkan.

Namun, ketika anda memilih pakaian percutian, jangan lupa aksesori paling penting: pelindung matahari. Seperti anda memilih pakaian mengikut destinasi, pelindung matahari juga perlu disesuaikan dengan jenis percutian anda.

Hakikatnya, tidak semua pelindung matahari adalah sama – dan bukan sekadar dari segi tahap perlindungan. Anda mungkin perlukan formula ringan untuk aktiviti mendaki, atau yang kalis air untuk bersantai di tepi kolam renang.

Dalam laporan Her World, Pengasas dan pakar dermatologi perunding di Lumine Dermatology & Laser Clinic, Dr Evelyn Tay, menjelaskan bahawa pilihan pelindung matahari bergantung pada tahap pendedahan matahari semasa bercuti. Ini berbeza mengikut aktiviti, musim dan juga altitud.

Namun, sebelum menggunakannya, penting untuk memahami label pada pelindung matahari kerana di situ terletak maklumat sebenar mengenai tahap perlindungannya.

“Faktor Perlindungan Matahari (SPF) mengukur perlindungan terhadap sinaran Ultralembayung B (UVB). SPF 50 bermaksud hanya 1 daripada 50 sinaran UVB sampai ke kulit berbanding kulit tanpa perlindungan,” kata Dr Tay.

“Gred Perlindungan (PA) pada pelindung matahari, iaitu bilangan tanda (+++), pula mengukur perlindungan terhadap sinaran UVA.”

Sesetengah formula, terutamanya yang berwarna (tinted), juga memberi perlindungan terhadap cahaya tampak (visible light), tetapi ia tidak dinyatakan dalam penarafan SPF atau PA.

Dr Tay menambah bahawa piawaian label pada pelindung matahari berbeza mengikut negara, dan ini penting difahami, terutamanya jika membeli di luar negara.

“Di Eropah, pelindung matahari diklasifikasikan sebagai kosmetik dan perlindungan UVA mesti sekurang-kurangnya satu pertiga daripada perlindungan UVB,” jelasnya. 

“Di Amerika Syarikat, ia dikawal sebagai ubat tanpa preskripsi. Label ‘broad-spectrum’ mesti merangkumi perlindungan UVA, tetapi piawaiannya tidak setegas Eropah. Di Asia pula, pelindung matahari dikategorikan sebagai kosmetik dan menggunakan sistem PA.”

Satu tip penting ialah label tidak memberitahu anda segala-galanya.

“Keselesaan pemakaian tidak terletak pada bungkusan,” katanya. 

“Pelindung matahari Asia biasanya lebih ringan dan mungkin lebih mudah tertanggal, manakala produk Eropah atau Amerika selalunya lebih pekat dan tahan lama.”

Memilih pelindung matahari yang sesuai

Menurut Dr Tay, pilih pelindung matahari berdasarkan keadaan kulit anda.

Contohnya, individu berkulit sensitif yang berasa pedih atau panas apabila memakai pelindung matahari mungkin perlu melakukan ujian tampalan (patch test) untuk mengenal pasti alahan terhadap bahan tertentu. 

Mereka juga lebih sesuai menggunakan pelindung matahari mineral yang mengandungi kurang bahan kimia.

“Jika anda mempunyai masalah pigmentasi seperti melasma, pilih pelindung matahari berwarna (tinted) untuk melindungi daripada cahaya tampak yang boleh merangsang penghasilan pigmen,” kata Dr Tay. 

“Jika berjerawat, pilih pelindung matahari yang tidak menyekat liang pori (non-comedogenic) dan pastikan lakukan cucian berganda apabila mencuci muka.”

Dalam kapal terbang

Perlindungan matahari perlu bermula seawal perjalanan anda – termasuk ketika dalam pesawat, terutama jika anda duduk di tepi tingkap.

“Apabila duduk di tepi tingkap, cahaya matahari terasa lebih kuat menembusi cermin,” kata Dr Tay. “Ini kerana pada altitud tinggi, pendedahan kepada sinaran UVA, UVB dan cahaya tampak adalah lebih tinggi.”

Beliau menyarankan penggunaan pelindung matahari spektrum luas (broad-spectrum) yang melindungi daripada UVA, UVB dan cahaya tampak. Namun ia tidak semestinya perlu kalis air atau peluh.

Percutian di tepi pantai atau mendaki

Perlindungan Ultralembayung A (UVA) dan Faktor Perlindungan Matahari (SPF) 50 disyorkan jika banyak masa dihabiskan di luar.
Perlindungan Ultralembayung A (UVA) dan Faktor Perlindungan Matahari (SPF) 50 disyorkan jika banyak masa dihabiskan di luar. - Foto fail

Jika banyak masa dihabiskan di luar, Dr Tay mengesyorkan SPF 50 dan ke atas dengan perlindungan UVA.

“Gunakan pelindung matahari kalis air (sekurang-kurangnya tahan empat jam jika boleh), terutama jika banyak berpeluh,” katanya. “Pertimbangkan juga pakaian dengan perlindungan Faktor Perlindungan Ultralembayung (UPF) seperti pelitup muka perlindungan UV, topi dan cermin mata hitam.”

Beliau turut menyarankan sapuan semula setiap dua jam, terutama untuk aktiviti mendaki yang panjang.

Percutian bandar

“Gunakan pelindung matahari spektrum luas SPF 30 dan ke atas dengan perlindungan UVA dan cahaya tampak,” kata Dr Tay. “Sapu semula dengan kerap jika berada di luar.”

Percutian musim sejuk

Menggunakan pelindung matahari penting walaupun pada musim sejuk kerana pendedahan ultralembayung (UV) boleh menjadi lebih tinggi daripada yang dijangka.
Menggunakan pelindung matahari penting walaupun pada musim sejuk kerana pendedahan ultralembayung (UV) boleh menjadi lebih tinggi daripada yang dijangka. - Foto ShinMin

Jangan terpedaya dengan cuaca sejuk — perlindungan matahari tetap diperlukan.

Dr Tay menjelaskan bahawa salji memantulkan sehingga 80 peratus sinaran UV. Digabungkan dengan angin kuat di kawasan altitud tinggi, pendedahan UV boleh menjadi lebih tinggi daripada yang dijangka.

“Gunakan pelindung matahari kalis air (sekurang-kurangnya empat jam jika boleh), dan boleh juga pertimbangkan pelindung matahari dalam bentuk ‘stick’ yang tidak mudah tertanggal,” katanya.

Beliau menyarankan SPF 50 dan ke atas dengan perlindungan UVA, serta mempertimbangkan pemakaian pelitup dan gogal ski dengan perlindungan UPF yang baik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg