Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

MALAM POP YEH YEH

Bahang pop yeh yeh kembali 'menggigit'

Pokok mangga pencetus lagu 'hit' Asmah Atan, 'Muda Remaja'; Asmuri 'The Hornets' tak duga jadi bintang filem 'A-Go-Go '67'
Feb 20, 2022 | 05:51 AM



SIAPA sangka, siapa menduga - hanya dengan petikan gitar yang dimainkan secara rambang di bawah pokok mangga depan rumah, terhasillah lagu 'hit' pop yeh yeh, Muda Remaja?



Pengalaman manis itu, justeru itu, masih terpahat di ingatan penyanyi lagu berkenaan, Asmah Atan, 72 tahun, sesuatu yang disifatkan bak rezeki durian runtuh dan mimpi di siang hari.



Asmah yang ketika itu 'Si Manis 18' menyertai band pop yeh yeh The Teruna (bersama M. Rahmat) pada 1968 setelah bergelar finalis satu peraduan menyanyi antara sekolah pada 1966.



Di puncak kegemilangan kerjayanya selama sedekad, beliau mengambil keputusan berhenti menyanyi, berumah tangga dan meminjamkan suara emasnya bagi sandiwara radio di Radio Televisyen Singapura (RTS).



Setelah lebih empat dekad menggantung mikrofon, Asmah kembali menghiburkan peminat irama pop yeh yeh pada konsert Malam Pop Yeh Yeh di Dewan Konsert Esplanade pada 4 Mac ini.



Konsert sejam setengah yang turut dijayakan L. Ramli, Asmuri Lawi (Kugiran The Hornets), June Abdullah dan Rudi Salim merupakan sebahagian program PopLore - A Year of Singapore Popular Music yang meneroka dan meraikan semarak persada muzik pop Singapura seawal tahun 1960-an.



Ketika dihubungi Berita Minggu menerusi Zoom baru-baru ini, Asmah, ibu empat anak, berkata:



"Di Singapura pun, penggiat pop yeh yeh seangkatan sudah tinggal berapa kerat sahaja. Apabila diundang bagi acara Esplanade ini, saya terharu dan menerimanya untuk kembalikan nostalgia pop yeh yeh yang memang luar biasa."



Beliau yang juga pernah diiringi band D'Pioneers terpaut memasuki adu bakat antara sekolah kerana tertarik dengan hadiah hamper barangan dan wang tunai.



"Itulah titik tolak saya mula menyanyi dan mengenali anggota kugiran pop yeh yeh. Kerana The Teruna tiada tempat berlatih, saya menawarkan rumah saya di Kampung Kaki Bukit sebagai ruang berlatih.



"Pokok mangga depan rumah juga sumber ilham mendatang! Anggota The Teruna setakat main gitar suka-suka dan minta saya nyanyi seiringan. Belum ada lirik ni.



"Yang menakjubkan, pemuzik pada ketika itu bukannya pandai baca nota muzik. Setakat suka-suka petik gitar...beberapa minggu selepas itu, baru kita masukkan lirik dalam lagu dan akhirnya, terciptalah lagu Muda Remaja," ceritanya.



Kepopularan lagu itu yang menurutnya berkat rezeki dan kerana bernasib baik serta berkembangnya kerjaya seninya kadangkala membuatnya bimbang akan lupa diri.



"Kita masih muda lagi. Disanjung, dipuji orang. Kalau buat konsert jelajah satu Malaysia, dapat layanan 'kelas pertama'. Ada ketika saya rasa macam dah popular dan hebat. Tapi terfikir balik, jika satu ketika saya 'jatuh gedebuk', parah juga...Tak sedap hati.



"Maka, saya pun berhenti buat kerja nyanyian sepenuh masa dan cari kerja penyambut tamu. Dapat gaji $180 sebulan sampai menangis sebab teringatkan hasil menyanyi lebih lumayan sampai $3,000 hingga $4,000 sebulan," jelasnya.



Di sebalik segalanya, Asmah akur walau jadualnya sebagai penyanyi padat dan memenatkan, ia tetap meninggalkan kenangan manis kerana teman seperjuangan.



"Ukhuwah kami memang akrab. Tak pernah bermusuh atau bersaing. Kalau baju tersenget atau dandanan tak kena, pasti ada yang membantu. Arwah Eddie Ahmad jurudandan tak rasmi saya. Gaya saya sederhana. Beliau selalu risau kalau saya nampak selekeh dan secara berseloroh panggil saya 'Dayak'," jelasnya tertawa.



Asmah juga teringat peristiwa kereta rosak di jalanan dengan beliau dan Allahyarhamha Rafeah Buang sempat kopek dan makan durian yang bersepahan di situ.



"Abang Mad (Ahmad Jais) sengaja takutkan kita dengan memekik, 'Orang kampung! Asmah Atan dan Rafeah Buang curi durian! Orang kampung datang hampiri kami. Mereka tak marah malah jamu kami makan nasi," tambahnya.



Asmuri, 75 tahun, juga menyifatkan penglibatan singkat selama lima tahun sebagai gitaris dan vokalis kugiran The Hornets tetap berbaloi.



Beliau yang masih bersekolah dan menetap di Kampung Tempeh (berhampuran Masjid Al-Huda yang masih ada kini) sekitar Bukit Timah terpengaruh dengan muzik Cliff Richard, Elvis Presley dan Jeffrydin.



"Selepas lagu Seruling Anak Gembala oleh Jeffrydin popular, saya dan rakan-rakan bersemangat tubuh kugiran kami sendiri.



"Ada yang menaja alat muzik kami. Seorang staf sarjan di berek tentera malah beri kami nama The Hornets ketika kami buat persembahan untuk tentera dan keluarga ekspatriat. Biar 'menyengat', katanya.



"Kebetulan, ada yang nampak bakat kami. Label rakaman Belanda tawarkan kami rakam album EP di mana dimuatkan lagu 'hit' Bertemu Ayah Bonda. Kemudian kami turut jadi band pengiring penyanyi Indonesia, Sambas D.S dan Ammir Hamzah," jelasnya.



Rezeki The Hornets juga ditebar untuk menjayakan filem A-Go-Go '67.



"Babak kami main lagu Alam Seni bersama arwah Siti Zaiton cuma tiga minit. Tapi penggambaran makan masa empat hari sebab setiap kali silap menyanyi atau menari, perlu diulang-ulang penggambaran sampai penari pun jadi layu.



"Tapi saya bersyukur sebab dapat bimbingan seniwati Normadiah selaku jurutari. Siapa sangka walau bergelar penyanyi pop yeh yeh cuma lima tahun, sempat juga main filem!" tambahnya yang menamatkan kerjaya seninya dan bergelar guru kejuruan teknikal selepas itu.




 • Tiket $30 bagi 'Malam Pop Yeh Yeh' pada 8.30 malam, 4 Mac ini boleh ditempah di laman Esplanade dan Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >