Singapura kehilangan seorang biduanita dan legenda seni suara yang disegani, Nona Asiah, yang terkenal dengan suara emasnya dalam filem klasik era P. Ramlee.
Allahyarhamha, yang nama sebenarnya Noor Asiah Aman, 94 tahun, menghembuskan nafas terakhir dalam tidur di Hospital Besar Changi (CGH) pada 4.25 pagi, 30 Julai, setelah dirawat selama dua bulan di situ kerana penyakit ginjal, paru-paru dan jantung.
Apabila ditemui Berita Harian (BH) di kediaman Allahyarhamha di Lorong Melayu, anak bongsunya, Indra Shahrir Ismail, 58 tahun, berkata:
“Ibu saya sudah menjangkau usia senja. Semenjak dimasukkan ke hospital, satu demi satu organnya mula tidak berfungsi. Justeru, kami tahu tidak banyak waktu lagi.
“Kami semua menyayanginya, tetapi Allah lebih sayangkan beliau,” kata Indra, seorang pengarah muzik lulusan Maktab Muzik Berklee di Boston, Massachusetts.
Menurutnya, kebanyakan ahli keluarganya baru sahaja pulang dari Australia sekitar 5 petang pada 30 Julai, sesudah menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di sana.
Indra tidak dapat ikut serta ke Brisbane, Australia, demi menemani ibunya dan juga di atas komitmen tugas yang tidak dapat dielak.
Allahyarhamha yang mesra dengan panggilan Mak Nona merupakan penerima Pingat Budaya 2016, anugerah tertinggi Majlis Seni Kebangsaan (NAC) buat penggiat seni Singapura yang cemerlang.
Ikon seni tempatan, Najip Ali, 59 tahun, menyifatkan Mak Nona sebagai insan yang bertanggungjawab ‘melahirkannya’ dalam dunia seni.
Najip berbangga pernah mengarah konsert penghormatan untuk Mak Nona yang diberi judul Si Cempaka Biru – Celebrating The Life of Nona Asiah sempena Pesta Raya 2015 di Dewan Konsert Esplanade.
Lagu Cempaka Biru nyanyian Mak Nona adalah hasil ciptaan penggubah lagu tersohor, Zubir Said.
“Saya mula menceburkan diri dalam industri ini kerana Mak Nona. Pada umur 18 tahun, saya memasuki peraduan adu bakat bersama Indra dan Nora Wan Chik sebagai satu kumpulan – tetapi Mak Nona berasa lebih baik saya menyanyi solo.
“Dari situlah, permulaan saya sebagai seorang artis di dunia hiburan Singapura ini,” kata Najip yang menganggap Mak Nona sebagai insan yang memahami keinginannya bergelar artis.
Penghibur, Rahimah Rahim, pula menambah:
“Arwah seorang yang ceria dan tidak jemu mengajar kami cara nyanyian.
“Arwah pernah reka dan jahitkan baju untuk persembahan menyanyi di televisyen. Dia rajin menjahit dan mereka fesyen kebaya dan baju Melayu moden.”
Anak didik Allahyarhamha di Bengkel TV Kanak-Kanak antara 1978 hingga 1980, pengarah, pengacara dan pelakon, Khairudin Samsudin, 52 tahun, pula memuji sifat keibuan dan baik hati Mak Nona.
“Pada masa itu, saya terlalu kecil, tidak tahu siapa dia pada awalnya.
“Saya ingat kami sering berlatih menyanyi di rumahnya di Lorong Melayu, dengan anaknya Indra bermain piano.
“Saya amat berterima kasih atas jasanya. Sepanjang perjalanan saya sebagai artis cilik, saya ingat beliau sentiasa bersama saya. Jika ada peperiksaan, beliau memastikan kita belajar sewaktu berehat sesi latihan.
“Saya rasa seperti kita kehilangan sebutir permata. Pengetahuannya tentang proses menjadi seorang artis dan membuat persembahan, itu semua sangat berharga kepada saya dan teman-teman yang turut berdukacita di atas pemergiannya,” tambah Khairudin.
Allahyarhamha menetap di rumahnya di Lorong Melayu bersama adiknya, Normah Aman, yang belum berumah tangga dan seorang pembantu rumah.
Pengurusan jenazah akan diadakan pada 31 Julai, 9 pagi di Masjid Ba’alwie.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg