Topik diikuti
Pergi ke BHkuBapa tekad ubah gaya hidup kurang sihat demi anak
Bapa tekad ubah gaya hidup kurang sihat demi anak
Sokongan keluarga, bimbingan pakar bantu capai perubahan kesihatan ketara
Bapa tekad ubah gaya hidup kurang sihat demi anak
Rasa bersalah selalu menyelubungi Encik Muhammad Faizal Abdul Aziz, apabila anak-anaknya mengajak beliau berbual atau bermain bersama.
Ini kerana beliau tidak dapat menuruti kehendak mereka.
Bukan beliau tidak mahu, tetapi Encik Muhammad Faizal, 40 tahun, mudah berasa penat hingga tidak dapat memberi perhatian kepada cerita dan perkongsian anak-anaknya, apatah lagi untuk berlari dan bermain dengan mereka.
Keadaan mudah lelah dan sukar memberi tumpuan itu kemudian menjadikan beliau seorang yang mudah marah, dan ini sesuatu yang sangat membimbangkan dirinya.
“Saya cepat sangat penat dan asyik mahu berehat. Tapi walau bagaimana banyak saya tidur, ia tetap tidak cukup dan saya tetap penat.
“Apabila saya ambil anak-anak dari sekolah, saya lihat ibu bapa lain semua sihat-sihat. Mereka boleh melayan anak-anak mereka.
“Semasa acara Hari Keluarga, mereka boleh mengambil bahagian dalam kegiatan yang diadakan.
“Anak-anak pun mahu saya ambil bahagian, tapi saya tidak bertenaga,” kata Encik Muhammad Faizal, yang mengalami beberapa masalah kesihatan seperti berat badan berlebihan, tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan gout.
“Awal tahun ini (2026), saya bertekad berubah. Saya mahu memberi tumpuan kepada kegiatan dan perbualan anak-anak. Saya mahu sentiasa ada untuk mereka,” tambahnya.
Pada Januari, Encik Muhammad Faizal, yang bekerja sebagai pemandu kenderaan sewa privet (PHV), menyertai program pengurusan kencing manis, ‘Sugar Light’, yang dikendalikan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).
Program baru itu menyokong pesakit berumur 40 tahun dan ke atas, dengan bacaan HbA1c lebih 8 peratus agar menguruskan keadaan mereka dengan lebih baik.
HbA1c adalah ujian darah yang menunjukkan paras gula (glukosa) dalam darah purata sepanjang dua hingga tiga bulan lalu.
Program enam bulan yang berstruktur itu diuruskan bersama oleh doktor umum (GP) serta Pasukan Penjagaan Masyarakat NUHS, dan terdiri daripada konsultasi di klinik GP, kaunseling jururawat, sokongan dietetik dan pemantauan kerap bagi membantu pesakit mengawal kencing manis secara berterusan.
Menurut Encik Muhammad Faizal, beliau disahkan menghidap kencing manis sekitar 2019, ketika berumur 33 tahun.
Pada waktu itu, beliau langsung tidak menjaga pemakanannya dan selalu mengambil minuman manis.
Beliau juga tidak mendapat tidur yang cukup, biasanya hanya empat jam sehari, dan berat badannya pada waktu itu sekitar 120 kilogram.
“Apabila disahkan menghidap kencing manis, saya tidak mengambil serius tentang keadaan itu kerana saya ingat saya masih muda.
“Saya tidak makan ubat dan cuba mengawal pemakanan saya sendiri. Tapi saya tidak berjaya.
“Lama-kelamaan saya menjadi lebih mudah penat dan mendapati diri saya mudah sangat menjadi marah.
“Saya tak mahu anak-anak dan isteri terjejas dengan keadaan saya jadi saya kembali berjumpa doktor dan mula makan ubat serta menuruti nasihatnya.
“Doktor menyarankan agar saya menyertai program, ‘Sugar Light’, dan saya pun cuba,” katanya.
Berkongsi perjalanannya sepanjang enam bulan lalu, Encik Muhammad Faizal berkata Pasukan Penjagaan Masyarakat NUHS berusaha mengambil tahu tentang cabaran yang dialaminya serta tabiat kurang baiknya, dan cuba membantu.
Beliau berkata pasukan itu tidak memaksa atau meletakkan sekatan, sebaliknya banyak mendengar dan memberi saranan agar menghentikan tabiat kurang baik secara bertahap.
Mereka juga mengajarnya tentang meletakkan sasaran, seperti menambah pengambilan sayur-sayuran, mengganti beras putih ke beras perang dan mengurangkan jumlah nasi yang dimakan daripada sepinggan penuh ke tiga suku pinggan dan seterusnya ke hanya 200 gram nasi.
Kalau dahulu, Encik Muhammad Faizal cuma makan pada waktu tengah hari dan tengah malam, pasukan itu menggalakkannya agar makan secara tetap pada waktu pagi, tengah hari dan malam dalam jumlah yang kecil.
“Ia sesuatu yang membuka mata saya. Ia tidak mudah, dan saya mendapatinya agak melecehkan dan keinginan itu memang ada.
“Tetapi saya sudah bertekad untuk berubah demi keluarga saya.
“Di rumah, isteri saya pun menolong saya untuk mengawal selera.
“Misalnya, kalau saya teringin untuk meminum air sirap, beliau akan buatkan minuman itu tetapi dengan sirap yang sedikit,” katanya.
Selain menjaga pemakanan, Encik Muhammad Faizal pun sudah mula bersenam dengan melakukan jalan pantas sejauh empat kilometer, tiga kali seminggu.
Beliau juga melakukan latihan membina kekuatan seperti tekan tubi dan ‘burpee’.
Yang Encik Muhammad Faizal tidak jangkakan adalah anak-anaknya pun memerhatikan perubahan yang dibuatnya, seperti kurang memakan nasi dan menukar daripada beras putih ke beras perang.
“Mereka tanya, Ayah mengapa tidak makan nasi.
“Saya kata, saya tidak mahu makan nasi lagi.
“Adakala mereka pun ikut tidak mahu makan nasi. Saya kata, ‘tak boleh’.
“Mereka perlu makan kerana mereka sedang membesar,” katanya, sambil menambah, seluruh keluarganya kini memakan beras perang.
Encik Muhammad Faizal berkata beliau kini gembira dengan berat badannya yang telah turun ke 101 kilogram, semakin dekat dengan sasarannya iaitu 95 kilogram.
Namun, beliau mempunyai sasaran lebih tinggi iaitu untuk turun ke sekitar 70 kilogram dan mencapai Indeks Jisim Tubuh (BMI) sihat.
HbA1c beliau juga telah turun daripada 12.1 peratus pada Januari ke 7.8 peratus kini.
“Melihat pencapaian saya sejauh ini, saya yakin yang saya boleh membuat perubahan yang lebih baik.
“Saya kini semakin bersemangat dan mempunyai lebih tenaga untuk anak-anak.
“Badan saya pun lebih ringan dan saya sudah tidak rasa malas,” katanya.
“
“Melihat pencapaian saya sejauh ini, saya yakin yang saya boleh membuat perubahan yang lebih baik. Saya kini semakin bersemangat dan mempunyai lebih tenaga untuk anak-anak. Badan saya pun lebih ringan dan saya sudah tidak rasa malas.”