Seramai 17 peserta, terdiri daripada kanak-kanak dan ibu bapa daripada lima keluarga, menyertai kem yang dianjurkan buat julung-julung kali oleh Al-Mizan Singapura dengan Masjid Ahmad.

Kem itu, yang berlangsung pada 20 Jun, mengajar peserta tentang kemampanan, serta bagaimana ia berkait rapat dengan Islam.

Tidak sekadar mendengar perkongsian oleh asatizah daripada Al-Mizan Singapura tentang kemampanan dan Islam, peserta turut mempelajari cara mengambil wuduk dengan menggunakan air secara berhemah, selaras dengan amalan sunah yang menggalak mengelakkan pembaziran.

Ini memberi peserta ilmu yang boleh mereka bawa pulang dan cuba lakukan di rumah, kata penyelaras bersama kem itu, Encik Fuad Hasan Damanhuri.

“Kemampanan mesti bermula di rumah dengan keluarga sama-sama mengamalkan tabiat lestari.

“Dengan cara itu, semua usaha kita dapat menghasilkan perubahan, kerana kita semua memainkan peranan dalam melindungi planet kita,” katanya.

Al-Mizan Singapura merupakan inisiatif baru di bawah AMP Singapura bagi memperkasa masyarakat Islam ke arah gaya hidup mampan.

Ini kali pertama ia bekerjasama dengan masjid untuk menganjurkan kem untuk kanak-kanak dan keluarga.

Seorang lagi penyelaras bersama kem itu, Cik Izzah Mohd Jailani, berkata:

“Kami percaya dengan menganjurkan program seperti ini dengan kerjasama sekolah dan masjid, kami akan mempunyai jangkauan yang lebih luas dan mula memberi inspirasi kepada orang ramai sejak usia muda.”

Peserta kem itu turut menyertai acara berjalan kaki di Taman Kent Ridge dan bermain kuiz serta permainan bertema kemampanan.

Masjid Ahmad, yang terletak di Pasir Panjang, turut mengajar peserta muda tentang Kaabah dan ibadah umrah serta haji, sempena bulan Zulhijah yang baru berlalu.

“Kami percaya dengan menganjurkan program seperti ini dengan kerjasama sekolah dan masjid, kami akan mempunyai jangkauan yang lebih luas dan mula memberi inspirasi kepada orang ramai sejak usia muda.”
Cik Izzah Mohd Jailani, penyelaras bersama kem kemampanan anjuran Al-Mizan Singapura dengan Masjid Ahmad.