Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bawa anak ke konsert agar mereka fahami tugas penghibur

Jul 2, 2024 | 5:30 AM
Datuk Seri Siti Nurhaliza ingin anak-anaknya Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa memahami tuntutannya sebagai anak seni dan penghibur lantas membawa mereka ke konsert yang dijayakan.
Datuk Seri Siti Nurhaliza ingin anak-anaknya Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa memahami tuntutannya sebagai anak seni dan penghibur lantas membawa mereka ke konsert yang dijayakan. - Foto INSTAGRAM SITI NURHALIZA

Soalan ini bermain di fikiran anak sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Aafiyah Khalid: “Mengapa semua orang suka Ibu? Mengapa semua orang nak bergambar dengan Ibu?”

Dalam menangani soalan-soalan sebegini, penyanyi legenda dan tersohor Malaysia ini akur beliau perlahan-lahan perlu mendedahkan anak-anaknya, Aafiyah dan Muhammad Afwa pada tugasannya selaku penghibur.

Kerana itu, beliau membawa anak-anaknya ke konsert yang dijayakannya termasuk di Singapura jika diberi peluang dan kesempatan.

Sebagaimana kongsinya dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) selepas tamatnya konsert Fenomena - Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore di The Star Theatre:

“Aafiyah selalu bertanya kepada saya mengapa ramai yang meminati saya dan mengapa ramai yang ingin bergambar dengan saya.

“Dengan saya membawa Aafiyah dan Afwa ke konsert saya, mereka akan memahami tuntutan saya sebagai anak seni.

“Ini kerja saya. Kalau saya ada tugasan di luar negara, mereka dah tahu bahawa ibu mereka ada ‘show’.

“Seberapa boleh, saya tak naklah anak-anak memilih kerjaya seni. Rasanya ramai ibu lain pun bimbang tetapi saya serahkan segalanya kepada mereka untuk pilih kerja apa yang ingin dilakukan.

“Saya serahkan kepada Allah demi masa depan mereka. Saya hanya mahukan yang terbaik buat mereka.”

Kembaranya ke Singapura kali ini juga membuatnya terkenangkan persembahan pertamanya di negara ini pada 2000.

Konsert diadakan di Harbour Pavilion pada usia Siti masih 21 tahun lagi.

“Pada masa itu, saya masih mentah lagi. Masih baru. Saya hanya fokus ingin beri yang terbaik bagi nyanyian dan persembahan saya.

“Makin usia saya meningkat, makin banyak yang saya belajar. Saya kini lebih relaks dan santai. Saya tahu macam mana nak bergurau. Dulu, tak pandai mengusik.

“Saya sekarang tahu mengusik penonton itu perlu agar suasana jadi lebih meriah lagi dan ada perkara yang boleh menyentuh perasaan mereka,” katanya lagi.

Siti juga berterima kasih kepada peminatnya khususnya yang sanggup datang ke konsert di The Star Theatre selama dua hari berturut-turut.

“Saya senang sekali dapat menghiburkan mereka. Saya memberikan sebaik mungkin bahkan memastikan saya dapat menyampaikan kepada mereka pengertian Singapura dalam kerjaya saya.

“Ini termasuk segmen untuk Jalan Ampas dan juga lagu pembuka tirai, Mawarku, yang menaikkan nama saya di negara ini,” ujarnya.HARYANI ISMAIL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg