WELLINGTON: New Zealand bakal menaikkan harga kemasukan bagi pelancong hampir tiga kali ganda, kata pemerintah pada 3 September, mencetuskan kritikan daripada sektor pelancongan utama bahawa levi lebih tinggi akan menghalang pengunjung.
Pemerintah berkata dalam satu kenyataan bahawa ia akan menaikkan Levi Pelancongan dan Pemuliharaan Pengunjung Antarabangsa ke NZ$100 ($81) daripada NZ$35 bermula 1 Oktober bagi “memastikan pengunjung menyumbang kepada pengalaman bermutu tinggi dan perkhidmatan awam ketika berkunjung ke New Zealand.”
Seperti banyak tempat pelancongan global popular, New Zealand bergelut dengan kesan pelancong ke atas sekitaran semula jadi, dengan prasarananya dibebani bilangan pengunjung tinggi.
Bayaran NZ$35 diperkenalkan pada Julai 2019, tetapi ini tidak cukup untuk menampung kos yang dikaitkan dengan ramainya pengunjung.
Pemerintah berkata bahawa bayaran tersebut berdaya saing dan yakin New Zealand akan terus dilihat sebagai destinasi pengunjung yang menarik.
Namun, persatuan industri pelancongan negara tersebut percaya bayaran lebih tinggi akan membuat pengunjung tawar hati, lebih-lebih lagi sedang sektor tersebut, yang pernah menjadi penjana eksport terbesar New Zealand, masih berdepan kesukaran untuk pulih daripada penutupan sempadan ketat yang dilaksanakan sewaktu pandemik Covid-19.
“Pemulihan pelancongan New Zealand ketinggalan berbanding negara lain di dunia, dan ini akan semakin menjejas daya saing global kami,” kata Cik Rebecca Ingram, ketua eksekutif persatuan tersebut.
Data daripada Stats NZ yang dikeluarkan sebelum ini pada 3 September menunjukkan bahawa penerimaan eksport perjalanan bagi tahun berakhir 30 Jun adalah pada NZ$14.96 bilion, turun 5 peratus berbanding sebelum pandemik itu.
Bilangan pengunjung, menurut biro itu, adalah kira-kira 80 peratus daripada tahap sebelum penutupan sempadan Covid-19. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg