Sejak 1990-an, artis tempatan, Lee Chee Chew, telah menggambarkan kelucuan kehidupan sehari-hari di Singapura menerusi kartun-kartunnya yang bijak dan tersendiri.

Pembaca The Straits Times (ST) pasti mempunyai kenangan indah terhadap siri komik Chew On It miliknya, yang disiarkan dalam The Sunday Times dari 1991 sehingga penghujung 2025.

Kini, buat julung-julung kalinya, dan bertepatan dengan Hari Kebangsaan, mereka akan berpeluang membeli barangan yang menampilkan karya Lee.

Lee, 59 tahun, telah bekerjasama dengan XOGI Marketing, pengedar berlesen di Singapura bagi jenama gaya hidup seperti Craftholic dan MofmoFriends, untuk mereka bentuk Chew On Singapore Lingos, satu koleksi barangan yang termasuk loket beg dan beg tote.

Barangan tersebut akan dijual secara eksklusif di Gedung Serbaneka Takashimaya, yang terletak di Orchard Road, bermula 29 Julai.

Barangan tersebut menampilkan watak-watak baharu ciptaan Lee, serta bahasa pasar tempatan, yang lebih dikenali sebagai Singlish.

Watak-watak itu diilhamkan daripada jenis orang yang lazim dilihat di sekitar Singapura. 

Singlish ialah sebahagian daripada identiti rakyat Singapura.

“Antara watak yang kami ada ialah Lobang Queen, istilah bagi seseorang yang sentiasa tahu di mana untuk mendapat tawaran terbaik; Wayang King, istilah bagi individu yang berpura-pura untuk dapat perhatian orang atasan; serta Eat Grass, yang bermaksud seseorang yang sudah tidak mempunyai duit,” kata Lee.

Sebanyak 27 jenis reka bentuk loket beg dicipta, yang berharga $16.90 setiap satu.

Di bahagian belakang setiap loket beg itu akan disertakan dengan penjelasan mengenai bahasa Singlish yang ditampilkan.

Kartun-kartun terpilih akan tersedia pada beg tote ($19.90), kusyen ($19.90) dan kulit buku untuk diari ($24.90).

Beberapa watak kartun terpilih turut akan tersedia pada beg tote (dalam gambar), folder diari dan kusyen.
Beberapa watak kartun terpilih turut akan tersedia pada beg tote (dalam gambar), folder diari dan kusyen. - Foto LEE CHEE CHEW

“Orang ramai boleh mendapatkan barangan tersebut untuk diri sendiri, sebagai hadiah untuk orang lain, atau untuk rakan di luar negara, bagi menyebarkan slanga Singlish yang menjadi kebanggaan kita melangkaui sempadan negara.

“Sekiranya pelancaran pertama ini berjaya, fasa seterusnya akan menampilkan mainan lembut berdasarkan watak daripada komik saya,” kata Lee.

Bagi meraikan pelancaran barangan itu serta ulang tahun ke-61 Singapura, Takashimaya akan mengadakan sesi tandatangan bersama Lee menjelang 9 Ogos.

Dalam setiap sesi, 50 kad poster yang telah ditandatangani akan diagihkan kepada hadirin berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’.

Sejak bersara pada penghujung 2025, Lee sibuk berkongsi karyanya di akaun Instagram, @chewonit.comics.

“Saya suka memuat naik karya saya di Instagram kerana seronok mencipta animasi ringkas dan melihat komik saya menjadi hidup,” katanya.

Barangan kartunis Lee Chee Chew menampilkan watak-watak baharu ciptaannya, serta bahasa pasar tempatan yang lebih dikenali sebagai Singlish.
Barangan kartunis Lee Chee Chew menampilkan watak-watak baharu ciptaannya, serta bahasa pasar tempatan yang lebih dikenali sebagai Singlish. - Foto LEE CHEE CHEW

Beliau menambah bahawa barangan baharu itu merupakan peluang untuknya meneruskan usaha pengumpulan dana jangka panjangnya untuk seorang anak yatim piatu di Vietnam yang bernama Thien Nhan.

Thien Nhan ditinggalkan ibunya sejak bayi dan turut kehilangan kaki kanannya, akibat pernah diserang anjing liar.

Lee telah membantu Thien Nhan, yang kini berusia 20 tahun dan mengambil jurusan sains komputer di VinUniversity, Hanoi, sejak 2008, selepas ST menyiarkan sebuah artikel mengenai penderitaannya.

“Saya cuba melakukan seberapa banyak yang saya mampu untuk membantu budak itu.

“Beliau masih memerlukan satu lagi pembedahan.

“Justeru, bahagian keuntungan saya daripada jualan barangan baharu ini akan disalurkan untuk pendidikan dan pemulihan Thien Nhan,” kata Lee.

“Orang ramai boleh mendapatkan barangan tersebut untuk diri sendiri, sebagai hadiah untuk orang lain, atau untuk rakan di luar negara, bagi menyebarkan slanga Singlish yang menjadi kebanggaan kita melangkaui sempadan negara.
Lee Chee Chew, kartunis siri komik ‘Chew On It’.