Sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 akan menampilkan siri mikrodrama enam episod berjudul Heartbeats sebagai usaha melibatkan penonton melalui penceritaan digital ringkas.

Ia mengisahkan perjalanan seorang wanita yang mengharungi cabaran peribadi dalam menemukan suaranya di sebuah konsert NDP di kawasan kejiranan.

Ini merupakan kali pertama mikrodrama diketengahkan dalam NDP.

Sambutan NDP tahun ini (2026), yang menandakan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-61, akan kembali diadakan di Stadium Negara buat kali pertama sejak 2016 dan dijangka menampung sekitar 42,000 penonton.

Selain itu, NDP 2026 juga akan memperkenalkan satu pertunjukan dron dalaman yang digabungkan dengan persembahan udara di Stadium Negara, sebagai usaha memberikan pengalaman persembahan yang lebih mendalam, dengan visual lebih dinamik.

Ketika ditemui pada acara media NDP 2026 di Infinite Studios, yang terletak di Media Circle, pada 21 Mei, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP, Brigadier Jeneral (BG) Lim Han Yong, berkata sambutan NDP tahun ini dirangka bagi memperkenalkan idea segar dan berani, yang mencerminkan bab baharu Singapura.

Menurut BG Lim, lokasi ini memberi peluang baharu bagi mencipta semula pengalaman NDP.

“Oleh kerana ini merupakan permulaan dekad baharu, persembahan NDP di lokasi baharu benar-benar memberi banyak peluang melakukan sesuatu yang segar dan berbeza. Justeru, pada tahun ini kami dapat memperkenalkan ciri-ciri baharu.

“Kami dapat memanfaatkan keseluruhan ruang menegak bagi menghasilkan rekaan set yang lebih mengagumkan dan membawa penonton menghayati situasi yang dipaparkan dan yang melengkapkan penghibur bagi pelbagai persembahan mereka,” ujarnya.

Segmen Perbarisan & Upacara (P&C) bagi NDP 2026 akan menampilkan acara kegemaran ramai seperti terbang lalu bendera negara gergasi, tembakan perayaan atau ‘feu-de-joie’, dan Tembakan Meriam Presiden (PGS), yang akan diadakan di Kallang Basin buat kali pertama.

Ini akan dilengkapi dengan pertunjukan bunga api.

Edisi NDP 2026, yang bertemakan ‘Majulah Singapura, Terbang Lebih Tinggi!’, menandakan 50 tahun sejak acara ini diadakan di Stadium Negara yang dahulu.

Mengulas lebih lanjut tentang tema tersebut, BG Lim berkata ia merupakan seruan kepada rakyat Singapura agar mencapai aspirasi lebih tinggi bersama-sama.

“Ini bermaksud kita (rakyat Singapura) harus saling menjaga antara satu sama lain serta masyarakat yang lebih luas ketika kita meneruskan perjalanan ke hadapan,” kongsi beliau.

Dalam pada itu, acara kegemaran ramai seperti pendaratan pasukan payung terjun, Red Lions, perarakan kenderaan tentera dan pasukan Home Team, serta pertunjukan udara tidak akan diadakan bagi NDP 2026.

Menyentuh mengenai ketidakhadiran acara sedemikian, BG Lim menjelaskan aspek keselamatan dan operasi telah diambil kira apabila mereka bentuk NDP 2026.

“Sama ada pasukan Red Lions akan kembali, saya rasa keputusan tahun ini (2026) tidak seharusnya menghalang penyertaan mereka dalam edisi NDP akan datang,” jelas BG Lim.

Dalam pada itu, mikrodrama berjudul Heartbeats mengandungi enam episod, dengan tempoh setiap video antara dua dengan tiga minit.

Dibintangi Iman dan juga seorang lagi artis tempatan, Yung Raja, penceritaan Heartlands turut disampaikan melalui lagu, dengan penonton boleh menantikan susunan semula lagu klasik NDP serta lagu ciptaan untuk NDP 2026.

Sedutan episod pertama dan kedua Heartbeats telah dikeluarkan di saluran YouTube NDPeeps pada 21 Mei.

Episod tiga dan empat pula akan dikeluarkan pada 23 Mei, diikuti dua episod terakhir pada 26 Mei.

Dalam langkah memperkenalkan unsur baharu, rakyat Singapura juga akan disajikan dengan album berjudul Go Beyond, yang mengandungi tiga lagu asal.

Ini berbanding edisi NDP sebelum ini, yang hanya mengeluarkan satu lagu tema.

Lagu-lagu tersebut ialah You’ll Be Okay, Sparkle, dan Giants, yang dinyanyikan Iman.

Ia dilancarkan buat kali pertama pada 21 Mei di saluran YouTube NDPeeps dan di saluran Spotify NDPeeps pada 22 Mei.