Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas kartunis ST lancar barangan inspirasi lingo S’pura
Bekas kartunis ST lancar barangan inspirasi lingo S’pura
Bekas kartunis ST lancar barangan inspirasi lingo S’pura
Sejak 1990-an, artis tempatan, Lee Chee Chew, telah menggambarkan kelucuan kehidupan seharian di Singapura menerusi kartun-kartunnya yang tersendiri dan bijak.
Pembaca The Straits Times (ST) pasti mempunyai kenangan indah terhadap siri komik ‘Chew On It’ miliknya, yang disiarkan dalam The Sunday Times dari 1991 sehingga penghujung 2025.
Kini, buat julung-julung kalinya, dan bertepatan dengan Hari Kebangsaan, mereka akan berpeluang membeli barangan yang menampilkan karyanya.
Lee, 59 tahun, telah bekerjasama dengan XOGI Marketing, pengedar berlesen di Singapura bagi jenama gaya hidup seperti Craftholic dan MofmoFriends, untuk mereka bentuk ‘Chew On Singapore Lingos’, satu koleksi barangan yang termasuk loket beg dan beg tote.
Barangan tersebut akan dijual secara eksklusif di Takashimaya Department Store, Orchard Road, bermula 29 Julai.
Reka bentuk itu menampilkan watak-watak baharu ciptaan Lee, serta bahasa pasar tempatan, yang lebih dikenali sebagai ‘Singlish’. Watak-watak itu diilhamkan daripada jenis orang yang lazim dilihat di sekitar Singapura.
“’Singlish’ ialah sebahagian daripada identiti rakyat Singapura,” katanya.
“Antara reka bentuk watak, kami ada ‘Lobang Queen’, seseorang yang sentiasa tahu di mana untuk mencari tawaran terbaik; ‘Wayang King’, seorang individu yang berlakon untuk memberi kesan kepada atasan; dan ‘Eat Grass’, yang bermaksud ‘tiada duit lagi’.”
Sebanyak 27 reka bentuk ditampilkan pada gantungan beg atau ‘bag charm’ ($16.90 setiap satu). Di bahagian belakang setiap gantungan beg itu akan disertakan dengan penjelasan mengenai bahasa ‘Singlish’ yang ditampilkan.
Kartun-kartun terpilih akan tersedia pada beg tote ($19.90), kusyen ($19.90) dan folder diari ($24.90).
“Orang ramai boleh mendapatkan barangan ini untuk diri sendiri, sebagai hadiah untuk orang lain, atau untuk rakan di luar negara bagi membantu menyebarkan ‘Singlish’ kebanggaan kita melangkaui sempadan negara,” kata Lee.
“Sekiranya pelancaran pertama ini berjaya, fasa seterusnya akan menampilkan boneka lembut berdasarkan watak daripada komik saya.”
Bagi meraikan pelancaran barangan itu serta ulang tahun ke-61 Singapura, Takashimaya akan mengadakan sesi tandatangan bersama Lee menjelang 9 Ogos.
Pada setiap sesi, 50 kad poster yang telah ditandatangan akan diberikan kepada hadirin secara “siapa cepat, dia dapat”.
Sejak bersara pada penghujung 2025, Lee sibuk berkongsi karyanya di Instagram (@chewonit.comics).
“Saya suka memuat naik karya saya di sana kerana ia seronok untuk mencipta animasi ringkas dan melihat komik saya menjadi hidup,” katanya.
Beliau menambah bahawa barangan baharu itu merupakan peluang untuknya meneruskan usaha pengumpulan dana jangka panjangnya untuk seorang yatim piatu Vietnam, Thien Nhan, yang ditinggalkan sejak bayi oleh ibunya yang ketika itu masih remaja.
Beliau juga mempunyai masalah perubatan sepanjang hayat akibat diserang anjing liar semasa zaman kanak-kanaknya, mengakibatkan kehilangan kaki kanannya.
Lee telah membantu Thien Nhan, yang kini berusia 20 tahun dan mengambil jurusan sains komputer di VinUniversity, Hanoi — sejak 2008, selepas ST menyiarkan sebuah artikel mengenai penderitaannya.
“Saya cuba melakukan seberapa yang saya mampu untuk membantu budak itu. Beliau masih memerlukan satu lagi pembedahan. Justeru, bahagian keuntungan saya daripada jualan barangan baharu ini akan disalurkan untuk pendidikan dan pemulihan Thien Nhan,” kata Lee.