Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas kru kabin jelajah Eropah tiga bulan berbekal beg galas

Ingin lihat sama ada boleh hidup tanpa banyak wang, pilih jadi sukarelawan semasa kembara
Dec 29, 2025 | 5:30 AM
Encik Zairie Yusri nikmati panorama di Vradeto, sebuah perkampungan gunung terpencil di wilayah Zagori, Greece. Kampung yang terletak pada ketinggian 1,340 meter dari aras laut itu merupakan kawasan tertinggi di Zagori, tersorok di bahagian utara Gaung Mezaria atau Lembah Mezaria.
Encik Zairie Yusri nikmati panorama di Vradeto, sebuah perkampungan gunung terpencil di wilayah Zagori, Greece. Kampung yang terletak pada ketinggian 1,340 meter dari aras laut itu merupakan kawasan tertinggi di Zagori, tersorok di bahagian utara Gaung Mezaria atau Lembah Mezaria. - Foto ihsan ZAIRIE YUSRI

Kejutan pertama yang menyambutnya sebaik sahaja melangkah turun dari bas di Patras – kota di barat Greece – ialah kereta yang meluncur laju melintas di hadapannya. 

Secara tiba-tiba didepannya kelihatan berbondong-bondong manusia di tengah-tengah kota dan secara mendadak deru bunyi mengejutkan dirinya.

Encik Zairie Yusri mula terasa rimas.

“Apabila sudah terlalu lama menghabiskan masa di gunung-ganang dan pulau, kita mudah terlupa wujudnya sebuah kota,” katanya.

“Jadi apabila saya tiba (di kota itu), rasanya seperti segala-galanya datang menerpa ke muka,” ujar Encik Zairie, 24 tahun.

Kota Patras hanyalah salah satu tempat persinggahan dalam pengembaraannya selama tiga bulan di Eropah yang berakhir pada Disember 2025.

Sepanjang tempoh itu, beliau merentas enam negara – bermula di Italy, menyeberangi Albania, Kosovo, Montenegro, Macedonia Utara, dan akhirnya Greece.

Setelah singgah di kota Patras, beliau meneruskan perjalanannya ke Kiato – sebuah bandar pesisir pantai di wilayah Corinthia, Greece. Di sana, beliau menetap di rumah seorang penduduk selama 13 hari sambil bekerja sebagai sukarelawan – mereka bentuk dan mengecat kediaman tersebut.

Bekas kru kabin Jetstar itu memulakan pengembaraan tersebut setelah diberhentikan kerja pada Julai 2025 apabila syarikat penerbangan itu menghentikan operasinya.

Ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini, wajahnya yang lembut dan berkulit sawo matang memancarkan sikap tenang – seperti watak pengembara solo yang menempuh pengembaraan yang bergolak. 

Sekilas pandang, beliau yang masih hidup membujang itu tampak kecil dan rapuh. 

Namun, parut-parut di jari dan tapak tangannya, yang terdedah ketika beliau menghulurkan tangan, menceritakan kisah yang jauh berbeza.

Ketika menuruni sebuah gunung berhampiran Agios Gordios – perkampungan di Pulau Corfu, Greece – pada ketinggian sekitar 250 meter dari aras laut, Encik Zairie tersasar dari laluan.

Kian lama kian lebat rimba yang dilalui; langit seakan lenyap dari pandangan. Dalam kelam rimba, beliau tergelincir, lalu terjatuh lapan meter ke bawah cerun.

Dengan saki-baki tenaga, beliau merangkak ke kawasan yang kurang berbatu, memanjat dan turun dari pokok, berpaut pada kulit kayu, memeluk seluruh berat tubuhnya pada sebatang dahan – lalu menghayun, seperti bandul jam, ke dahan yang lain.

Beliau jatuh lagi, kali ini setinggi lima meter; tubuhnya terhempas ke belakang. Mujur beliau tidak mengalami kecederaan serius, kecuali luka di lengan dan kaki.

Akhirnya, beliau mendapatkan bantuan dan menumpang sebuah kereta milik penduduk tempatan sebelum turun di Paralia Agios Gordios – sebuah pantai panjang berpasir untuk berehat, sebelum meneruskan perjalanannya.

“Saya dah biasa dengan perkara yang mencabar dan ngeri sewaktu jalani Perkhidmatan Negara (NS). Tapi kemalangan ini luar biasa dan benar-benar membuat saya rasa takut,” katanya.

Beliau berkata meskipun pernah berkhidmat sebagai anggota bomba semasa Perkhidmatan Negara, dan terbiasa dengan situasi yang mencabar dan ngeri, namun insiden itu telah mengujinya pada tahap yang lain, membuat pengalaman itu benar-benar ngeri baginya.

Di Agios Gordios, beliau juga menghabiskan hampir sebulan di sebuah resort, Pink Palace, untuk memasak, membersih, memudah cara serta mengurus kebun.

Di Ioannina, satu lagi bandar di Greece pula, beliau menetap di sebuah hostel selama 12 hari, bertugas di kaunter penerima tetamu dan membersihkan bilik.

“Keseluruhan perjalanan ini menelan belanja sekitar $3,500,” katanya. “Saya ingin melihat sama ada saya boleh hidup tanpa banyak wang, sebab itulah saya memilih untuk bekerja sebagai sukarelawan.”

View post on TikTok

Menunjukkan juga gambar dan rakaman video di telefon bimbitnya kepada wartawan, beliau mengisahkan pengembaraan yang lain – berkhemah di hutan dan lembah Albania, memanjat istana lama di Greece, bermalam di pantai, meneroka runtuhan purba, terkandas di jalanan Amfilochia, Greece, serta menikmati kudapan blueberry sambil mendaki sejauh 20 hingga 30 kilometer setiap hari, merentas gunung dan menuruni lembah, dengan beg galas seberat 16 kilogram diangkatnya.

Encik Zairie Yusri turut berkongsi beberapa barangan yang menjadi kenangan sepanjang pengembaraannya di Eropah. Antara yang paling menonjol ialah kemeja-T Pink Palace, tempat beliau bekerja sebagai sukarelawan di resort tersebut selama sebulan, sebagai pertukaran untuk makanan dan tempat tinggal.
Encik Zairie Yusri turut berkongsi beberapa barangan yang menjadi kenangan sepanjang pengembaraannya di Eropah. Antara yang paling menonjol ialah kemeja-T Pink Palace, tempat beliau bekerja sebagai sukarelawan di resort tersebut selama sebulan, sebagai pertukaran untuk makanan dan tempat tinggal. - Foto BH NUR DIYANA TAHA

“Saya sebenarnya tidak mempunyai rancangan yang jelas. Kebanyakan perancangan akan tersasar atau tak menjadi apabila kita berada di tempat seperti ini,” katanya. “Tapi saya memang tertarik dengan gaya hidup ini – pengembara yang meneroka dengan hanya beg galas.”

“Sewaktu bertugas sebagai kru kabin, saya banyak bertemu pengembara nomad. Itu yang mendorong saya. Rasanya seperti satu jeda kecil untuk mengalihkan fikiran daripada hal lain,” tambah Encik Zairie, yang belum lagi kembali bekerja sepenuh masa.

“Kini, saya lebih mudah menyesuaikan diri, dan lebih terbuka minda… lebih memilih untuk menikmati apa yang saya lakukan… apa yang benar-benar saya mahu lakukan, daripada terus mengejar wang dan status,” kongsi anak sulung daripada dua beradik itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg