Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pensyarah ITE ‘bakar’ semangat di Charrbo Grill

Buka gerai di kedai kopi di Yishun jual hidangan barat dengan aroma arang kayu bakau
May 30, 2025 | 3:31 PM
Jessica Tan, Norhaidah Ramlee, Charrbo Grill
Cik Norhaidah Ramlee (kanan) dan Cik Jessica Tan, dua bekas pensyarah kulinari yang kini bergelar usahawan wanita dalam industri makanan dan minuman (F&B) di gerai Charrbo Grill, meneruskan semangat mendidik dengan menggajikan bekas pelajar secara sambilan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dalam landskap kulinari tempatan yang semakin berkembang, dua jenama makanan tampil dengan pendekatan berani dan inovatif, mencipta kelainan tersendiri.

Charrbo Grill, yang diasaskan oleh dua bekas pensyarah wanita Institut Pendidikan Teknikal (ITE), mengetengahkan sajian barat berasaskan arang di kedai kopi di Yishun – sambil mencabar norma industri makanan dan minuman (F&B), yang lazimnya dikuasai kaum lelaki.

Sementara itu, Fluffy Chef, mengetengahkan sajian Neapolitan moden dengan menu baru berasaskan daging, yang dirangka berdasarkan maklum balas pelanggan setia.

View post on Instagram
 

Daripada rakan sekerja di bilik darjah ke rakan kongsi perniagaan, dua bekas pensyarah kulinari kini menerajui Charrbo Grill, gerai makanan Barat berasaskan arang yang terletak di kedai kopi di Yishun sejak Februari 2024.

Cik Norhaidah Ramlee, 36 tahun, dan Cik Jessica Tan, 35 tahun, bukan sekadar usahawan wanita, malah bekas cef profesional dan pendidik yang tidak takut mencabar norma industri makanan dan minuman (F&B) yang dikuasai kaum lelaki.

Nama Charrbo merupakan gabungan antara ‘charcoal’ (arang) dengan frasa Hokkien ‘char bor’, yang bermaksud wanita.

“Dulu ramai tengok kami seperti tidak percaya kami sendiri yang masak.

“Ada yang sangka kami cuma jaga gerai dan upah orang lain buat kerja,” kongsi Cik Norhaidah, yang pernah berkhidmat di restoran bertaraf tinggi seperti Joel Robuchon dan Forlino.

“Namun apabila mereka nampak kami yang bakar ayam dan mengendalikan kedai ini setiap hari, baru mereka hormat,” tambahnya.

Charrbo Grill dikenali dengan teknik memasak unik menggunakan arang kachi iaitu arang kayu bakau dan kepingan kayu epal yang menghasilkan aroma salai yang kaya berbanding memasak menggunakan gas.

‘Chicken Chop’ ($8.90), dimasak dua kali, dipanaskan di atas kuali leper tidak melekat atau ‘griddle’ sebelum dipanggang di atas bara. Ia disajikan dengan sos cendawan, kentang lecek dan sayur.
‘Chicken Chop’ ($8.90), dimasak dua kali, dipanaskan di atas kuali leper tidak melekat atau ‘griddle’ sebelum dipanggang di atas bara. Ia disajikan dengan sos cendawan, kentang lecek dan sayur. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Hidangan seperti Chicken Chop ($8.90), Lamb Chop ($14.90) dan Ribeye Steak ($16.90) dimasak dua kali, dipanaskan di atas kuali leper tidak melekat atau griddle sebelum dipanggang di atas bara untuk rasa salai yang menyerlah.

Hidangan disajikan bersama kentang lecek dan sayur, serta pilihan sos lada hitam atau sos cendawan.

Hidangan lain yang menarik termasuk, Charred Beef Fries dengan pilihan sos sambal kicap ($7.90) atau keju Truffle Parmesan ($8.50); serta hidangan ‘fusion’, Charrbo Laksa ($6.90), iaitu laksa berkuah pekat dengan udang dan telur setengah masak atau sous vide.

“Kami nak cipta rasa klasik yang ada sentuhan ‘wok hei’ (aroma arang dalam masakan Cina), tapi dalam bentuk makanan Barat,” kata Cik Tan, yang pernah bertugas di beberapa restoran di bawah Les Amis Group seperti Au Jardin, Les Amis Restaurant dan La Taperia.

Sebagai bekas pensyarah di ITE College West, mereka juga meneruskan semangat mendidik dengan menggaji bekas pelajar secara sambilan.

“Mereka belajar segalanya, daripada mengambil pesanan, panggang ayam, basuh pinggan, sediakan bahan mentah hingga buang sampah,” jelas Cik Norhaidah.

“Pelajar atau bekas pelajar yang bekerja di sini secara sambilan berkata: ‘Cef, ini jauh lagi penat daripada restoran atau hotel’.

“Di sini mereka kena buat semua, jadi juruwang, masak pasta, bersihkan dapur, semua sekali.”

“Di restoran, ada bahagian khusus, tukang panggang, tukang sediakan bahan,” tambah Cik Tan.

“Tapi di sini, mereka kena buat semua. Kami sengaja beri pendedahan awal supaya apabila mereka ke industri nanti, tak terkejut dengan realiti kerja,” tambahnya.

Cik Jessica Tan (kanan) dan Cik Norhaidah Ramlee, menyiapkan hidangan istimewa mereka, ‘Chicken Chop’. Sebagai wanita dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang lazimnya dikuasai kaum lelaki, mereka perlu bekerja dua kali lebih keras untuk membuktikan kemahiran, ketahanan dan tempat mereka dalam dunia kulinari.
Cik Jessica Tan (kanan) dan Cik Norhaidah Ramlee, menyiapkan hidangan istimewa mereka, ‘Chicken Chop’. Sebagai wanita dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang lazimnya dikuasai kaum lelaki, mereka perlu bekerja dua kali lebih keras untuk membuktikan kemahiran, ketahanan dan tempat mereka dalam dunia kulinari. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dalam usaha mengembangkan Charrbo Grill, Cik Tan dan Cik Norhaidah turut mencari pelabur serta rakan kongsi ketiga.

Mereka akhirnya teringat kepada bekas rakan sekelas mereka, Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee, pengasas jenama burger halal terkenal, Ashes Burnnit.

Encik Syafiq pernah kembali ke ITE sebagai penceramah jemputan, dan menjadi antara alumni yang menyuntik semangat agar pelajar merealisasikan impian membuka gerai sendiri.

Kini, beliau turut menyumbang sebagai pelabur dan rakan usaha sama di Charrbo Grill.

Namun, perjalanan tersebut bukan mudah, lebih-lebih lagi sebagai wanita dalam dapur profesional.

“Kalau nak setanding dengan lelaki, kita memang kena usaha dua kali ganda.

“Suara harus kuat, kemahiran harus tajam, keyakinan harus ditunjukkan. Kita tak boleh malu atau tunggu disuruh,” tegas Cik Tan. 

Sebagai mantan pensyarah, mereka juga melatih pelajar perempuan menghadapi realiti sebenar industri dengan soalan yang mencabar sejak awal.

“Kami pernah tanya mereka, ‘Adakah kamu selesa kerja dalam dapur yang semuanya lelaki?’

“Tujuannya supaya mereka lebih bersedia. Industri ini pantas, tegas dan penuh kejutan budaya.

“Kami pernah lalui semua itu dan kami faham,” kata Cik Tan.

Sementara itu, Cik Norhaidah menambah: “Ada yang fikir wanita tak boleh tahan dalam bidang ini.

“Tapi kalau ada semangat dan minat, insya-Allah kita boleh berjaya.”

Alamat: Blok 156, Yishun Street 11, Singapura 760156

Waktu operasi: Isnin hingga Ahad, 11.30 pagi hingga 3.15 petang, 4.15 petang hingga 8.30 malam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg