Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setelah Sabar Menanti, Surya muncul kini

Nama gerai diambil sempena nama Allahyarhamha kakak tercinta, tawar hidangan warisan Minang seperti restoran asal di North Bridge Road 
May 23, 2025 | 3:12 PM
surya, sabar menanti, henderson, nasi padang
Encik Mohamad Iszahar Tambunan Rosman (kiri) dan Cik Mariam Moni (kanan) berdiri di hadapan gerai mereka, Surya iaitu jenama dari Sabar Menanti, yang terletak di Apex @ Henderson. Gerai itu menyajikan hidangan Nasi Padang tradisional sebagai penghormatan kepada Allahyarhamha Surya Tambunan, kakak kepada Encik Mohamad Iszahar, yang meninggal dunia pada 2024. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Tiga tempat nasi Padang ini ada cerita tersendiri. Surya, gerai baru oleh pemilik Sabar Menanti, dibuka sebagai penghormatan kepada kakak tersayang. Rumah Makan Minang pula membuka cawangan ketiga di Jurong, manakala Hjh Maimunah kini boleh didapati di Parkway Parade.

Terletak di kawasan perindustrian Apex @ Henderson, gerai nasi Padang, Surya bukan sekadar gerai nasi Padang baru.

Ia merupakan penghormatan tulus kepada seorang kakak yang telah pergi pada Julai 2023.

Pemilik generasi ketiga restoran legenda, Sabar Menanti di North Bridge Road, Encik Mohamad Iszahar Tambunan Rosman, menamakan gerai baru itu sempena kakak tercintanya, Allahyarhamha Surya Tambunan.

View post on Instagram
 

Surya baru sahaja dibuka pada 15 Mei tetapi sudah menjadi tumpuan ramai.

Setiap hari, barisan pelanggan panjang kelihatan dan lauk-pauk utama sering habis dijual menjelang 2 petang.

“Membuka Surya memang sudah lama saya impikan.

“Arwah kakak saya sangat bermakna dalam keluarga kami dan saya mahu semangat serta legasinya terus hidup melalui Surya,” luah Encik Mohamad Iszahar.

“Kebetulan pula, beliau pernah tinggal di Kim Keat dan pernah mengajar di Sekolah Gan Eng Seng yang terletak berdekatan sini. Apabila unit ini tersedia, saya rasa ia sangat kena pada tempatnya.”

Bagi Encik Mohamad Iszahar pula, selepas 25 tahun dalam industri perkapalan, beliau kembali ke akar warisan keluarganya pada penghujung 2022 dan mengambil alih Sabar Menanti daripada ibunya.

Kini, Surya pula diurus bersama rakan lamanya, Encik Isrudy Shaik, pemilik restoran stik halal terkenal, ASAP & Co, serta isteri Encik Isrudy, Cik Mariam Moni.

Gerai itu menawarkan hidangan warisan Sabar Menanti yang dimasak di dapur Sabar Menanti setiap pagi.

“Kami mula memasak seawal 5 pagi. Setiap hari kami bawa sekitar lima kilogram rendang ke Surya dan biasanya ia antara yang pertama habis,” ujar Encik Mohamad Iszahar.

Antara lauk paling laris ialah rendang daging yang kaya dengan rempah-ratus, dimasak perlahan selama berjam-jam hingga empuk dan penuh aroma serai, lengkuas dan kerisik.

Ia masih dimasak secara tradisional dikacau dengan menggunakan tangan tanpa henti.

Ayam kalio pula merupakan ayam dalam kuah kari lemak Minang berwarna kuning, dengan rasa rempah dan sedikit pedas. Hidangan itu pekat, lemak dan menyelerakan.

Tidak ketinggalan, ayam bakar, ayam panggang yang berperisa enak dimakan dengan sambal belado.

“Kami pilih lauk-pauk utama dahulu.

“Insya-Allah, akan datang, kami mahu tambah pilihan sayur-sayuran yang lebih sihat seperti peria, tanpa lari jauh daripada rasa tradisional,” kata Encik Mohamad Iszahar.

Menurut Cik Mariam pula, suasana kerja di Surya jauh berbeza dari restoran.

“Segalanya pantas dan padat dalam tempoh empat jam yang kami buka. Tapi ia memberi semangat, saya seronok layan pelanggan.”

Pelanggan Surya terdiri daripada pekerja sekitar kawasan perindustrian itu, termasuk ramai bukan Melayu dan pelanggan Muslim yang telah lama menanti pilihan makanan halal di kawasan itu.

“Sambutannya sangat luar biasa. Ini masalah yang bagus bahawa lauk cepat habis. Kami sedang cuba menambah lebih banyak lauk demi (memenuhi) permintaan yang tinggi,” ujar Encik Mohamad Iszahar.

“Nasi Padang ialah makanan yang saya dan keluarga dibesarkan dengannya.

“Saya gembira apabila pelanggan seronok makan masakan kami. Kalau arwah kakak saya dapat lihat Surya sekarang, pasti dia bangga,” tambahnya.

Alamat: 201 Henderson Road, Apex @ Henderson, Chill Bar, Singapura 159545

Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 4 petang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg