Pertandingan realiti kegemaran ramai, Gegar Vaganza 11 (GV11), sudah masuk pusingan ketujuh pada 5 Januari.
Namun secara peribadi, saya rasakan setelah sekian lama, barulah ‘enjin’ peserta mula dipanaskan bagi menyahut cabaran pihak penerbitan.
Buktinya, pada konsert minggu keenam yang berlangsung di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 29 Disember, barulah saya terpandang muka terkejut dan bagaikan tak sangka peserta dalam segmen penentuan, ‘Ada Lagu, Ada Lagi.
Kalau tidak, saya asyik lihat kebanyakan peserta termasuk yang handal belaka (di tiga tangga teratas), asyik dapat lagu ‘makanan’ mereka sahaja.
Liza Aziz, 61 tahun, telah bawa lagu dansa seperti Bermula Cerita, Lagu Sambaria dan Lady Marmalade atau lagu balada sedih seperti, Jauh Di Sudut Hati dan Wajah Siapa Di Hatimu.
Semuanya pernah didendangkannya sebelum ini pada acara televisyen atau majlis korporat.
Dadali Dyrga, 43 tahun, pula telah membawa lagu balada mendayu-dayu yang kena dengan suara romantisnya seperti Alasanmu, Biar Menjadi Kenangan dan Aishiteru.
Semua lagu itu boleh didendangkan beramai-ramai dengan penonton persis sesi karaoke berskala besar.
Sheila Abdull, 36 tahun, pula tampil dengan lagu yang memerlukannya melontar suara pada nada tinggi seperti, Ku Bersuara, Setia Ku Korbankan dan Nirmala.
Beliau yang dianggap sebagai peserta ‘underdog’ atau tidak disangka-sangka akan menang, biasanya mampu menonjolkan bakat luar biasanya itu, yang diakui semua juri.
Jadi, tak seperti musim-musim sudah, saya tidak terasa cabaran sengit yang timbul kali ini kerana memang dah sah-sah, juri akan pilih peserta dengan suara paling mantap (selama empat minggu orangnya sama), iaitu Liza sebagai juara mingguan.
Kejutan, justeru itu, tiada. Bahkan, ramai yang kata, mengikut rekod pencapaian, dah tahu dah siapa yang akan masuk ke konsert akhir sekitar Februari.
Nama yang disebut-sebut adalah Liza, Dyrga, Sheila, The Lima, Ronnie Hussein dan Ning Baizura.
Tidak keterlaluan kalau saya katakan, pertandingan GV11 sudah jadi seperti konsert dengan berbilang artis, yang mana anda hanya menikmati vokal yang baik dan mendengar perkongsian kisah peribadi peserta.
Anda bahkan belum lagi disajikan dengan dinamik persembahan peserta, di luar jangkaan.
Beza pula dengan dahulu apabila saya lihat juara GV2, Siti Nordiana Alias, 40 tahun, dan naib juara GV2, Farah Dhiya Mohd Amin, 40 tahun, bagaikan berlakon dan bertukar wajah di pentas.
Kadang mereka berdangdut, kadang mereka jadi ‘rocker’ ganas.
Saya pun seronok tonton juara GV4, Datuk Wan Aishah Wan Ariffin, 59 tahun, sekejap bawa lagu penuh emosi penyanyi asal Canada, Celine Dion, dan pernah berusaha menari rancak sambil membawa lagu Tina Turner meskipun ketika itu, beliau mengakui mencabar kerana berat badan dan kaki yang tak larat.
Aishah juga tidak kekok nyanyikan lagu ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU), Tergantung Sepi, yang dipopularkan Haqiem Rusli.
Peserta GV kegemaran saya, Suki Low, 34 tahun, yang bertanding di GV8 pula memang peserta ‘berani mati’.
Beliau banyak ‘belanja’ peminat dengan persembahan yang saya anggap kelas dunia dan bukan biasa-biasa sahaja.
Walaupun juara One In A Million itu tidak bergelar juara GV8 dan hanya berpuas hati dengan tempat ketiga, saya puas menontonnya mencuba pelbagai genre.
Beliau bermain piano sambil mendendangkan lagu Korea, You Are My Everything.
Suki sampai menanggalkan kasut kerana nak menjiwai irama dansa, Titanium.
Beliau juga mencabar diri memakai sut pelumba kereta sambil mendendangkan lagu hip hop ‘ganas’ Pop Shuvit, Marabahaya.
Suki juga tidak gentar bahkan mendapatkan guru untuk mengajarnya menyanyikan lagu tradisional Datuk Seri Siti Nurhaliza, Badarsila, dengan begitu baik.
Datuk Ramli MS, sebagai ketua juri, malahan, kagum dengan penguasaan bahasa Suki dalam lagu berkenaan serta lenggok kemelayuannya.
Justeru, saya mengharapkan kelainan bagi konsert minggu ketujuh kelak yang bertema ‘Kencana’.
Liza yang memukau ramai dengan versi akapela Jauh Di Sudut Hati diberi lagu BBNU kumpulan Dolla, Damelo.
Meskipun dalam kategori dansa yang kena dengan konsep identiti lagu Liza, ia pastinya menawarkan pengalaman baru buat anak biduan Aziz Jaafar dan biduanita Normadiah.
Dadali pula dicabar dengan lagu dikir barat Kapilla, Dikir Rambong.
Kita juga bakal melihat Sheila menunjukkan potensinya dalam lagu tradisional, Es Lilin.
Bagaimana pula jika The Lima menyanyikan lagu P. Ramlee, Aneka Ragam, yang melucukan.
Begitu juga, pasti lucu apabila Zehra Zambri yang mempunyai latar belakang sebagai pembaca berita dan pengacara televisyen mengubah sisinya yang anggun untuk membawa lagu daripada filem klasik, DoReMi, Hai Obat.
Ronnie pula nampaknya perlu fikir lebih jauh bagaimana nak menyampaikan lagu pelawak, Mr Os, Durian Dah Berbunga.
Siapa nak dengar versi, Beh Soba Beh, Ning Baizura? Tak sabar nak tengok beliau mendendangkan lagu, Cinta Setandan Pisang, yang tular itu.
Malahan, kreativiti penyanyi dinanti-nanti dengan dua lagi peserta, Fairuz Selamat dan Arrora Salwa juga tak kurang cabarannya apabila diberikan lagu Tamil dan Hindustan.
Fairuz ditugaskan mendendangkan lagu Oh My Kadhale (OMK) yang mempunyai sisipan lirik Tamil bercampur Melayu, manakala Arrora pula perlu menggalas amanah menyanyikan lagu, Wada Karo Nahin Chodoge Tum Mera Saath.
Bagi saya, pentas GV11 harus menjadi universiti atau ruang peserta menimba dan mengasah ilmu.
Kalau tidak cuba, tidak tahu. Inilah peluang keemasan untuk kita melihat keupayaan serba boleh peserta dalam menyahut cabaran keluar dari zon selesa mereka.
Peminat pun perlu tengok usaha dan kreativiti peserta.
Dalam pusingan ini, sesiapa sahaja boleh berjaya. Bagi peminat GV, apa yang diharapkan ialah program ini tidak kelihatan mendatar dan menjenuhkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg