NJ Studio diasaskan seorang anak Melayu Singapura pertama yang memasuki Royal College of Music di London dan lulus dengan kepujian, Nabillah Jalal.
Pada 2018, Nabillah melancarkan NJ Studio, sebuah sekolah piano yang menumpukan kepada pengajaran satu dengan satu (one-to-one) bersama guru.
Pendekatan pengajaran NJ Studio ialah berasaskan naratif penceritaan untuk mengubah cara kanak-kanak mentafsir dan mengaitkannya dengan muzik.
Nabillah berkata beliau menekankan disiplin dan kebingkasan dalam diri pelajarnya.
“Dalam kelas, saya pastikan pelajar saya memaksimumkan potensi mereka sejauh mungkin.
“Saya mahu pelajar saya bermain piano dengan sempurna.
“Mana-mana bahagian yang kurang, saya akan pastikan mereka mengulanginya sehingga capai apa yang dikehendaki daripada diri mereka,” katanya.
Alamat: 406 Joo Chiat Pl, #03-24 The Yards, Singapura 428084
Aureus Academy menyediakan kelas piano, biola, gitar dan vokal yang disesuaikan kepada keperluan pelajar dari semua peringkat usia dan kebolehan.
Menerusi satu tinjauan yang dibuat Aureus Academy dengan syarikat penyelidikan Dynata, 76 peratus ibu bapa dengan kanak-kanak berumur antara dua dengan 14 tahun di Singapura mahu pendekatan yang lebih menyeronokkan diterap di dalam kelas muzik.
Mereka turut mahu merangsang daya kreatif anak mereka sambil mengekalkan tumpuan dan minat si cilik dalam bidang muzik.
Untuk memenuhi permintaan ini, Aureus Academy akan melancarkan satu program interaktif baru tidak lama lagi, yang dapat menarik kanak-kanak menyusuri satu dunia penerokaan berdasarkan naratif penceritaan yang turut mengandungi skor muzik asli.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aureus Group, Encik Lawrence Holmefjord-Sarabi berkata:
“Kami percaya pencapaian sebenar bermula dengan rasa ceria dan ingin meneroka dalam diri kanak-kanak.
“Program baru kami akan menggabungkan elemen kreatif di mana mereka bukan hanya belajar mengenai muzik tetapi turut jatuh cinta pada seni itu.”
Alamat: Terdapat 25 cawangan seluruh Singapura termasuk di Jurong Point dan Northpoint.
The Radiant Spectrum sekolah muzik pertama dan satu-satunya di Singapura yang menyediakan pendidikan muzik kepada kanak-kanak dan belia berkeperluan khas berusia 4 hingga 20 tahun.
Cik Samantha, pengasas The Radiant Spectrum berkata:
“Saya tahu terdapat ramai kanak-kanak berkeperluan khas yang suka muzik.
“Malangnya, sekolah muzik yang sedia ada tidak boleh mengambil kanak-kanak ini kerana tiada kepakaran dalam mengendalikan mereka seperti yang kita ketahui, menghadapi masalah bertutur, menulis atau mempunyai emosi yang tidak boleh terjangka.”
Dibuka pada April 2021, The Radiant Spectrum kini mempunyai 200 murid berkeperluan khas termasuk yang didiagnos autisme, Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD) dan yang tidak mampu bertutur.
Alamat: 10 Anson Rd, #16-16 International Plaza, Singapura 079903
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg