Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muzik bantu kanak-kanak berkeperluan khas urus emosi, tingkat tumpuan

Aug 21, 2025 | 5:30 AM
dr haslina hassan, mindchamps allied care, muzik, terapi, berkeperluan khas
Dr Haslina Hassan, Konsultan Kanan Pendidikan di MindChamps Allied Care berkongsi bahawa muzik dapat membantu menguruskan emosi kanak-kanak berkeperluan khas. - Foto fail

Bukan sekadar hiburan, muzik juga merupakan satu bentuk terapi yang dapat menenangkan emosi, meningkatkan tumpuan serta keyakinan dalam kanak-kanak berkeperluan khas.

“Muzik merupakan elemen penting dalam perkembangan kanak-kanak terutama sekali bagi kanak-kanak berkeperluan khas kerana ia dapat membantu dalam perkembangan kognitif, sosial dan pergerakan mereka,” terang Konsultan Kanan Pendidikan, Dr Haslina Hassan dari MindChamps Allied Care, sebuah pusat terapi kanak-kanak.

Dr Haslina kemudian menceritakan bagaimana muzik dapat membantu muridnya yang mempunyai autisme dan Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD) mengurus emosi mereka dengan lebih baik.

“Saya mempunyai seorang murid autistik yang suka menyanyi lagu kanak-kanak di dalam kelas serta gemar bermain dram dan kerincing.

“Sepanjang kelas muzik yang dihadirinya semasa sesi intervensi, dia sentiasa menunjukkan sikap yang tenang dan tidak pernah meltdown,” kongsi Dr Haslina.

Meltdown merujuk kepada keadaan apabila seseorang hilang kawalan ke atas kelakuannya dan mengamuk.

“Murid saya yang mempunyai ADHD juga begitu.

“Muzik dapat menenangkan fikirannya, meningkatkan tumpuan serta membantunya memahami arahan.

“Ini dapat diperhatikan semasa sesi intervensi dan kaunseling apabila guru akan memainkan muzik sebagai latar.

“Ibu bapa murid saya ini juga perasan bahawa anaknya itu akan bermain piano selepas penat seharian di sekolah untuk bantunya mengurus tekanan dan mengendali emosinya dengan lebih baik,” jelas Dr Haslina yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan khas.

Bagi murid disleksia yang menghadapi kesukaran membaca dan menulis, muzik dapat membina keyakinan diri, yang mungkin mereka tidak dapat merasa dalam hal berkaitan akademik.

“Murid saya satu ini, yang mempunyai disleksia, selalu gagal dalam peperiksaan di sekolah dan ini meletakkan keyakinan dirinya pada tahap yang rendah.

“Namun setelah dia menemui minatnya dalam gitar, dia dapat merasakan ‘kemanisan’ meraih kejayaan menerusi penglibatannya dalam persembahan di sekolah dan majlis tertentu.

“Dia dapat membuat ramai kawan dan kini merupakan ketua kelab gitar yang merupakan kegiatan kokurikulumnya di sekolah.

“Ini secara langsung meningkatkan lagi keyakinan dirinya,” tambah Dr Haslina.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg